www.Hypersmash.com

Jumat, 12 Februari 2010

Bukan Cinta Biasa

June 06, 2006


Pagi-pagi lagi Siti sudah menjerang air dalam periuk besar. Sambil-sambil itu, tangannya pantas
mengupas kulit pisang nipah yang sudah masak ranum. Isinya kuning, kalau digoreng garing memang
membangkit selera. Lebih-lebih lagi dimakan waktu pagi-pagi begini.Kena dengan air kopi. Uhhh….Siti
menelan liur.
Dia membancuh tepung gandum. Dicampur sedikit dengan tepung beras. Kemudian, telur
dipecahkan. Bubuh sedikit garam. Kemudian gaul rata-rata. Siti senyum puas. Dimasukkan satu persatu
pisang yang telah dikupas kulitnya. Isinya elok, dan tidak bonyok. Biasanya pisang yang masak dipokok
lebih manis rasanya dibandingkan dengan yang diperam dengan kobalt. Sebab itu dia tidak suka kalau
emaknya beli pisang di luar. Kalau nak makan, tunggulah pisang-pisang keliling rumah masak. Kadangkadang
dalam satu masa, 2-3 tandan pisang masak serentak . Jenuh pula hendak dimakan. Kalau Kak
Melah atau Abang Mohsin balik, mereka memang angkut ke bandar. Siti tahu, anak-anak mereka
memang suka makan pisang goring.
Dulu, ada juga peraih datang naik lori, untuk bawa semua pisang-pisang ke bandar. Tapi, sejak
kejadian banjir setahun lepas, banyak pokok-pokok pisang yang mati. Kalau ada pun sepokok dua yang
hidup subur tepi parit.Setelah minyak panas, Siti masukkan dua-tiga ketul pisang ke dalam kuali. Dia
mejenguk seketika periuk besar yang berasap. Sekejap lagi, bila air masak, dia ingin membancuh kopi
pula. Lepas bancuh kopi, dia perlu menyidai kain di ampaian depan rumah.. Biasanya pagi-pagi begini,
emak yang menyidai kain. Tapi hari itu, pagi lagi emaknya sudah turun ke bawah. Ke kebun kelapa
untuk memetik pucuk ubi. Entah apa angin emak, tiba-tiba teringin nak masak pucuk ubi. Siti bukannya
suka sangat.
Siti menjenguk ke luar. Kelibat emak tidak kelihatan. Siti perhatikan saja ke arah kebun kelapa
tidak jauh dari rumahnya. Kelapa-kelapa di situ semuanya sudah tua-tua belaka. Sudah tidak banyak
hasilnya. Tapi di hujung kebun, ada sungai kecil yang airnya jernih tapi cetek. 2-3 ekor lembu bapa
ditambat di situ. Siti cepat-cepat beralih ke dapur semula untuk mengangkat pisangnya. Dia
membancuh kopi, dan meletakkannya di atas meja. Terlihat bapanya sedang mengelap topi keledar.
“Bapak nak kemana ni. Tak menoreh ke hari ni?”Siti bersuara. Dilihat bapanya berpakaian kemas
pagi itu. Biasanya kalau ke kebun getah, bapa pakai baju kemeja pendek yang sudah capuk-capuk di
seluruh bahagian. Seluar kain khaki pula sudah keras, berbintik-bintik hitam kesan susu getah yang
melekat. Baunya tengik. Selalu bapa sangkutkan di dinding luar supaya kering di sapa angin.
“Bapak nak ke bandar kejap. Mak kau mana?”
“Mak cari pucuk ubi.”Balas Siti pendek.Dituangnya air kopi ke dalam cawan. Asap berlegar-legar di
permukaan cawan sebelum pecah dibawa angin pagi.
“Pergi teriak mak kau..”Bapanya tarik kerusi lalu duduk menyandar.
“Mak kat bawah sana…..”Siti rasa malas sangat hendak turun ke bawah. Malam tadi hujan lebat.
Tanah tepi sungai mesti becak dan selut.
“Pergi panggil mak kau…”
“Iyerlah..iyerlah…..”Siti cepat-cepat beredar. Menyarung selipar jepun yang sudah haus tapaknya.
Tapi baru beberapa langkah di atur, Siti tersenyum lebar bila melihat emak berjalan ke arahnya.
“Kau dah buat air Siti?”Plastik berisi pucuk ubi di sangkut atas paku tepi pintu.
“Dah….”
“Sidai kain?”
“Belum…”
“Pergi bukak reban ayam. Tu…hampas kelapa tu pi bagi ayam makan….”Siti cepat-cepat masuk ke
rumah, mencapai mangkuk plastik berisi hampas kelapa.
“Conit dengan Lonjang jangan kasi keluar. Nanti berak depan rumah. Busuk. Musim hujan ni tanah
lembab….”Mak Jah mengibas muka dengan tuala kecil.
“Bapak panggil mak…”Siti bersuara sebaik selipar disarung semula. Mak Jah tidak menyahut. Tapi
Siti tahu, emaknya pasti bersarapan dengan bapa. Bapa memang tak suka sarapan atau makan sorangsorang.
Walau jauhnya emak waktu itu, bapa akan suruh jugak Siti pergi mencari. Siti sudah faham
benar.
Siti berjalan ke arah reban ayam yang diperbuat dari papan dan jaring dawai. Sekali ditarik, pintu
dawai terbuka. Bercempera haiwan-haiwan tersebut melepaskan diri. Suara riuh rendah memecah
hening pagi. Siti berundur ke belakang takut ayam-ayam itu menerpa ke arahnya. Hampas kelapa
ditabur di sekeliling reban. Berceratuk ayam-ayam itu memagut hampas. Berebut sesama sendiri.
Selesai semua hampas ditabur, Siti ke reban kecil di bawah pokok nangka. Dia membongkokkan
badan. Conit dan Lonjang, dua ekor angsa kesayangannya menjulurkan kepala.Siti menghulurkan
tangannya dicelah-celah jaring. Dia tidak pernah rasa takut kalau-kalau angsa-angsa itu memagut
jemarinya.
Rasa simpati melihat kedua-dua ekor angsanya. Siti berhasrat hendak membuka saja pintu reban
tersebut. Dia lebih suka kalau Conit dan Lonjang dapat berjalan-jalan mencari makan sendiri sekeliling
rumah. Tapi emak tidak benarkan. Emak marah kalau Conit dan Lonjang berak depan pintu. Busuk.
Hari-hari emak terpaksa kambus tahi Conit dan Lonjang yang berlonggok depan pintu dapur. Conit dan
Lonjang angsa manja. Walau dihalau pergi, tetap berkeliaran di sekitar depan dapur rumah. Menunggununggu
kalau dicampakkan nasi sejuk. Akhirnya pintu reban di buka. Conit dan Lonjang terkedek-kedek
keluar sambil leher panjangnya teroleng-oleng. Sekejap menjulur tinggi, sekejap menyudu-nyudu di
tanah basah. Siti tersenyum lagi. Kalau emak marah, Siti janji akan kambus tahi angsa-angsa itu.
Walaupun Siti sendiri tidak suka dengan kerja itu.
Siti kembali ke dapur. Dilihatnya bapa dan emaknya masih belum habis bersarapan. Siti
menghampiri emaknya.
“Dah bagi ayam makan?” Siti angguk perlahan.
“Dua ekor ayam yang dalam sangkar tu jangan dilepaskan pulak. Itu bapak kau nak sembelih
nanti”Sambung Mak Jah lagi.
“Mak nak masak ayam ke hari ni?”Tanya Siti lalu menarik kerusi.
“Mak nak buat rendang….nanti Siti tolong perah santan ye…”Siti angguk, tapi dia pelik.
“Kak Melah nak balik ke mak?”Tanya Siti lagi.
“Tak lah….”
“Habis tu?” Air kopi dituang dalam cawan.
“Kawan bapak nak datang….Siti bukannye kenal pun…”Balas Mak Jah.
“Emmm…..patutlah bapak nak ke bandar. Bapak nak beli buah ye?” Pak Seman tersengih
mendengar pertanyaan anaknya itu. Dia mengangguk-angguk.
“Nanti Siti tolong sapu sikit depan rumah. Mak nak masak. Lepas tu Siti mandi, pakai baju cantikcantik
ye…”Siti renung mata Mak Jah. Pakai baju cantik-cantik? Siti semakin pelik. Kenapa mesti pakai
baju cantik-cantik. Emak dan bapak nak berjalan jauhkah?
Siti tinggalkan kedua orang tuanya menyambung bual. Dia tidak mahu masuk campur. Ada banyak
kerja yang harus dia lakukan. Sejak Kak Melah berkahwin dan mengikut suaminya ke Melaka, Sitilah
yang diharapkan untuk menolong emaknya. Kalau emak dan bapanya pergi menoreh, sehari
suntuk Siti di dapur. Kadang-kadang sampai emak dan bapanya balik pun, dia belum sempat memasak.
Pagi, dia membasuh kain, bagi ayam makan, mengemas rumah. Petang, dia melipat kain. Kalau banyak
sangat daun nangka yang gugur depan rumah, dia akan sapu sampai bersih. Kadang-kadang dia akan
ikut emaknya ke kebun ubi tidak jauh depan rumah. Tapi biasanya dia akan curi-curi keluar waktu
petang. Pergi ke padang bola sebelah Balai Raya. Di sana, ada ramai kawan-kawan sekolahnya yang
suka berkumpul bersama.Di situ dia akan bertukar-tukar cerita terutamanya dengan kawan baiknya
Murni dan Shidah. Murni dah Shidah sama nasib dengannya. Sehingga sekarang masih belum mendapat
kerja. Untuk menyambung pelajaran, rasanya mustahil. Siti sudah putus asa setelah 4 kali
permohonannya tidak ada sebarang jawapan. Siti tidak mahu menunggu lagi. Dia yakin permohonannya
itu gagal. Siti bergegas ke depan rumah menyidai kain. Sambil itu dicapainya penyapu lidi di bawah
kolong rumah. Disapunya daun-daun nangka yang gugur di laman. Terasa berat tangannya menolak
penyapu lidi itu. Tanah yang lembab menyalut helaian-helaian daun. Dia mengaut dedaun dengan
pongkis rotan, lalu melonggokkannya di perdu pokok kelapa yang tinggal tunggul.
Esok kalau hari cerah, dia akan baker sampah-sampah itu. Waktu hujan-hujan begini, jirus
sebotol minyak tanah pun, tak akan hidup api pada longgokan sampah tersebut. Selesai semuanya, Siti
masuk ke rumah semula. Diseka peluh didahi. Terasa melengas badannya. Sekejap lagi dia ingin
mencurahkan tubuhnya dengan air kolah yang dingin. Pagi itu pasti bertambah dingin dek hujan yang
turun malam tadi.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 2
Dari celah tingkap biliknya, Siti melihat dua buah kereta masuk ke laman rumahnya. Dia menjadi
pelik. Sejak bila pula bapanya punya kawan yang berkereta besar-besar begini? Dia tidak pernah
nampak pun. Saudara mara? Tentunya tidak kerana dia mengenali kenderaan kepunyaan saudara mara,
baik belah emak atau bapanya. Paling mewah pun kereta Honda milik bapa saudaranya di Kuala Lumpur.
Kak Melah dan Abang Mohsin pun hanya punya Kancil. Habis tu, siapa pula yang bawa kereta-kereta
besar itu? Siti kembali mengadap cermin. Dia menyikat rambutnya yang basah baru disyamfu. Membuka
gerobok kayu, sambil matanya tertancap pada helaian-helaian baju yang tersangkut. Satu persatu,
tetapi tidak ada satupun yang berkenan di hati. Takkan tengahari buta nak pakai baju kebaya? Gila! Hari
Raya pun aku tak pakai baju kebaya. Siti membelek-belek kebaya Kak Melah yang diwariskan
kepadanya.
“Habis tu, nak pakai apa? Mak kata pakai baju cantik-cantik….ahhh…lecehlah!”Rengus Siti.Ditutup
kembali gerobok tersebut lalu beralih pula pada rak rotan yang termuat pakaian basahannya setiap hari.
“Emm….pakai yang ni je lah!”Ditariknya sepasang baju kurung kedah dari lipatan.”Ini pun cantik
jugak apa! Tak pun susah-susah sangat, aku pakai je kain batik…”
Dia tersengih memandang wajahnya di cermin. Dibelek-belek seketika tubuhnya yang hanya
bersalut tuala paras lutut. Dia suka sekali merenung tubuhnya di balik cermin itu. Dia suka melihat
pinggangnya yang ramping, kakinya yang panjang, pinggulnya yang penuh. Dan yang paling dia suka,
melihat kulitnya yang putih mulus. Hanya rambutnya saja yang agak ikal. Dia tidak begitu
menggemarinya. Dia lebih suka kalau rambutnya lurus seperti rambut Shidah. Dia sedikit cemburu
melihat rambut Shidah secantik itu. Siti mengenakan baju kurung kedah itu ke tubuhnya. Rambutnya
yang masih basah disimpul dengan tuala. Sedang membelek wajahnya, dia terdengar panggilan
emaknya dari arah dapur. Cepat-cepat Siti menempek bedak bayi Johnson di pipinya.
“Buat apa lama sangat kat bilik tu?”Siti tersengih malu. Rambutnya yang diseka perlahan.
Diperhatikan emaknya yang sedang mengatur hidangan dalam dulang. Semerbak bau rendang ayam
menusuk ke hidung.
“Tu, air tu tuang dalam cawan, bawak ke depan…..”Mak Jah memuncung ke arah jag air.
“Hantar ke depan?”Siti terkejut.
“Tolong mak hantar ke depan. Mak dah bentang tikar kat depan sana…”Balas Mak Jah.
“Alah……Siti malaslah. Siti hantar sampai depan pintu je. Seganlah Mak…..”
“Nak segan apa? Bukan tak ada batang hidung.”Mak Jah angkat dulang berisi lauk pauk Siti
merengus. Dia memang tak suka benar bab yang ini. Dia tak mahu menonjolkan dirinya di depan
tetamu-tetamu yang tak dikenalinya itu. Kalau boleh dia hendak memerap saja di dalam bilik. Biarlah
emak dan bapa saja yang melayan mereka itu. Tapi, dia tahu, dia tak boleh melawan kata emaknya.
Siapa lagi yang hendak diharap kalau bukan dia! Siti berjalan lambat-lambat menuju ke ruang tamu. Dia
perlu menaiki anak tangga untuk sampai ke situ. Dulang berisi minuman digenggam erat.


Terasa
berpeluh jari jemarinya. Dia seperti hendak menjerit memanggil emaknya, tapi mulutnya seperti
terkunci. Perasaannya berdebar tatkala sampai di ruang tamu. Terasa semua mata beralih ke arahnya
serta merta. Ya Allah… jangan terlepas dulang ni sudahlah…..Siti gigit bibir sampai sakit.
“Dah besar sangat Siti, ni Cik Jah….cantik….”Satu suara kedengaran menegur.Ish!!…Siti mencaricari
suara itu. Siapa diorang ni? Boleh kenal pula aku? Sambil tangan lincah mengatur cawan, matanya
sempat melingas mencari arah suara tadi. Sebaik terpandang wajah perempuan yang duduk
menghadapnya itu, hati Siti semakin berdebar.
“Eh..macam kenal je makcik nih!”Dahi Siti berkerut, cuba mengingatkan. Cepat-cepat dia susun
cawan dan mahu beredar.
“Siti tak makan sekali?”Perempuan itu menegurnya lagi. Siti menoleh, pura-pura melempar
senyum.
“Eh…jemputlah makan, makcik. Saya baru lepas….”Siti menunjukkan isyarat untuk berlalu. Dia
rasa mukanya sudah naik merah. Dia pelik kenapa semua orang terarah kepadanya tadi. Atau……aku ker
yang perasan?..Siti menggeleng-geleng. Siti kembali ke bilik lalu merebahkan tubuhnya ke katil. Dia
memandang atap zink yang bersawang sambil fikirannya mula mencongak sesuatu. Siapa mereka ya?
Hati Siti tertanya-tanya. Dia teringat perempuan yang menegurnya tadi. Rasa-rasa macam pernah lihat,
tapi di mana?Agaknya saudara jauh….ahhh….biarlah…buat apa nak sakit kepala fikir ni semua? Petang ni
jumpa Murni dan Shidah lagi bagus!
“Mek Ti, cuba kau tengok siapa yang datang tu?”Shidah memuncungkan mulutnya ke satu arah.
Siti dan Murni menoleh serentak. Seorang lelaki kelihatan sedang berjalan ke arah mereka..
“Emm…cik abe mu dah datang Mek Ti….”Murni ketawa kecil.Dia menyinggul bahu Siti
menyuruhnya bangun. Tapi Siti tidak bergerak. Dia memerhatikan saja langkah Huzair satu persatu.
Akhirnya lelaki itu sudah berdiri di hadapannya. Wajah Siti merona merah.
“Mek Ti, apa kau buat kat sini?”Huzair menegur. Siti mendongak, menatap wajah anak muda itu.
Wajahnya dibasahi renek-renek peluh. Siti tahu setiap petang, Huzair bermain bola di padang balai raya
itu.
“Saja duduk-duduk….”Balas Siti acuh tak acuh.
“Eh…kan rumah kau ada orang datang?”
“Mana kau tahu?”Mata Siti membulat.
“Eh…errr…aku…aku nampak tadi…”Huzair telan liur.
“Mana kau nampak? Rumah kau kan jauh dari rumah aku?”Siti renung Huzair sungguh-sungguh.
Lelaki itu kelihatan sedikit tak keruan. Murni dah Shidah sudah menekup mulut menahan ketawa.
“Aku lalu depan rumah kau tadi…..”Huzair alih pandangan. Tak mahu bertentang mata dengan
Siti.”Aku nampak ada kereta besar depan rumah kau…”
“Kereta besar?”Murni dah Shida bersuara serentak. Siti mendengus. “Kawan bapak aku lah…..”Siti
menolak Murni yang menempel di sebelahnya. “Aku tak kenal pun…”
“Eh..kot-kot orang datang pinang kau tak?”Shidah dah Murni ketawa serentak. Siti mendengus.
Asal nampak kereta besar, orang datang pinang….Ishh….menyampah betullah….. Huzair disebelah
tersenyum penuh makna.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 3
“Mek Ti, cuba kau tengok siapa yang datang tu?”Shidah memuncungkan mulutnya ke satu arah.
Siti dan Murni menoleh serentak. Seorang lelaki kelihatan sedang berjalan ke arah mereka..
“Emm…cik abe mu dah datang Mek Ti….”Murni ketawa kecil.Dia menyinggul bahu Siti enyuruhnya
bangun. Tapi Siti tidak bergerak. Dia memerhatikan saja langkah Huzair satu persatu. Akhirnya lelaki itu
sudah berdiri di hadapannya. Wajah Siti merona merah.
“Mek Ti, apa kau buat kat sini?”Huzair menegur. Siti mendongak, menatap wajah anak muda itu.
Wajahnya dibasahi renek-renek peluh. Siti tahu setiap petang, Huzair bermain bola di padang balai raya
itu.
“Saja duduk-duduk….”Balas Siti acuh tak acuh.
“Eh…kan rumah kau ada orang datang?”
“Mana kau tahu?”Mata Siti membulat.
“Eh…errr…aku…aku nampak tadi…”Huzair telan liur.
“Mana kau nampak? Rumah kau kan jauh dari rumah aku?”Siti renung Huzair sungguh-sungguh.
Lelaki itu kelihatan sedikit tak keruan. Murni dah Shidah sudah menekup mulut menahan ketawa.
“Aku lalu depan rumah kau tadi…..”Huzair alih pandangan. Tak mahu bertentang mata dengan
Siti.”Aku nampak ada kereta besar depan rumah kau…”
“Kereta besar?”Murni dah Shida bersuara serentak. Siti mendengus.
“Kawan bapak aku lah…..”Siti menolak Murni yang menempel di sebelahnya.
“Aku tak kenal pun…”
“Eh..kot-kot orang datang pinang kau tak?”Shidah dah Murni ketawa serentak. Siti mendengus.
Asal nampak kereta besar, orang datang pinang….Ishh….menyampah betullah….. Huzair di sebelah
hanya tersenyum memerhatikan Siti. Wajah gadis itu yang berkerut ditatap dalam-dalam. Walau
berkerut begitu, tetap ayu di matanya.
"Habis, kalau betul orang pinang kau, macamana?"Shidah cuit bahu Siti.
"Alah....sapa nak pinang aku tu....memang malang!"Siti mencebik.
"Kenapa pulak?"Murni menyampuk.
"Iyerlah....aku ni bukannyer ada kerja pun. Lagipun...sapa je yang nak kan aku ni. Aku takde
kenal pun dengan lelaki-lelaki kat kampung ni. Kat luar kampung lagi lah..."Siti tarik muka. Dipandang
nya Huzair yang sedari tadi asyik memerhatikannya.
"Huzair ni ada!"Shidah tersengih.
"Ishh...."Siti alih pandangan. Tapi Huzair hanya tersenyum. Dia tidak kisah kalau dilaga-laga
dengan Siti begitu.
"Si Zair ni, tak nak lah aku!"Siti bangun. Dia sebenarnya rasa segan juga dengan lelaki itu. Dia
tidak tahu kenapa Murni dan Shidah selalu mengusik dia dengan Huzair. Padahal Huzair tidak pernah
cakap apa-apa pun tentang perasaan walaupun mereka memang selalu berjumpa berdua.
"Eh, aku nak balik lah!"Siti bergegas menyarung selipar.
"Eh, nantilah dulu Mek Ti"Huzair cuba menghalang. Cepat-cepat dia berdiri di depan Siti.
"Aku nak balik, nanti mak aku cari. Aku keluar ni pun curi-curi tau....mesti dia marah sebab aku
tak tolong kemas..."Suara Siti mengendur. Dipandangnya ke arah Huzair yang berdiri tegak di
hadapannya.
"Aku hantar kau nak?"
"Tak payah lah...."Siti mula melangkah. "Murni, esok kau bawak novel yang kau beli hari tu, eh?
Kau dah habis baca belum?"Berpaling ke arah Murni. "Sikit lagi. Malam ni aku try habiskan. Esok kau
nak datang cepat sikit tau. Aku nak gi bandar la. Mak aku tu....suruh aku temankan dia beli rak
pinggan.." Shidah ketawa kecil mendengar kata-kata Murni. "Okaylah....tak pun...kalau susah
sangat...sebelum kau pegi bandar tu, kau singgah la rumah aku dulu...ya!"Murni mengangguk sambil
memerhatikan langkah Siti yang diekori Huzair.
Huzair berjalan beriringan. Cepat langkah Siti, cepat juga langkahnya. Siti buat-buat tak endah
dengan kehadiran lelaki itu. Dia cuba melangkah dengan lebih cepat lagi."Mek Ti..."Huzair memecah
kesunyian. "Mek Ti....aku ada hal nak cakap ni..."
"Emmm...apa dia?"Siti menoleh sekilas.
"Aku.....err...aku...."Siti mengeluh. Apasal mamat ni? Tergagap-gagap aje. Selalu tak macam ni.
"Kau nak cakap apa ni, Zair....dari tadi aku...aku....."
"Tak pelah....Mek Ti balik le dulu...nanti Mek Ti tahu la..."
"Tahu apa?"
"Mmm....ala...nanti Mek Ti akan tahu juga..."Huzair tersenyum. Dia menunduk, cuba bersaing
dengan Siti yang semakin laju. Minah ni, macam lipas kudung!
"Habis tu, itu je yang kau nak cakap?" Siti berhenti di tepi jalan. Melihat ke kiri dan kanan sekilas
sebelum meneruskan langkah. Mereka baru saja melalui kawasan perumahan kakitangan guru.Kelihatan
beberapa orang anak muda sedang bermain takraw di kawasan rumput di situ.
"Mek Ti.."Huzair pegang lengan Siti. Siti sedikit terkejut. Langkahnya terhenti. Dipandangnya
wajah lelaki itu.
"Esok aku nak jumpa kau?"
"Buat apa? Aku tak boleh janji"
"Aku...aku nak tahu keputusan kau.."
"Keputusan.....keputusan apa?"Siti makin bingung.
"Mmm...keputusan kau..."Terdiam sejenak."Esok je lah kita cerita ok!"Huzair tersenyum sebelum
berpaling melangkah. Siti mendengus. Pelik dengan sikap lelaki itu. Sasau ke apa?
*********************************************
Lepas habis makan malam itu, Siti berkira-kira untuk menonton rancangan "Bachelor' siaran televisyen
Singapura. Tapi bila dia menjenguk ke ruang tamu, kelihatan emak dan bapanya masih tekun menonton
tv. Siti gumam. Ah....tak dapat la aku tengok hero bujang aku tu.....Siti masuk semula ke dalam bilik.
Direbahkannya tubuh ke katil besi yang selalu berkeriut. Kenapa mak dan bapak masih belum tidur?
Selalunya waktu-waktu beginilah mereka sudah masuk tidur. Diorang ni tak ngantuk ke?
Siti golek ke kiri, sekejap ke kanan pula. Matanya masih belum mengantuk. Kalau tidak silap dia,
malam itu siaran terakhir siri tersebut. Dia ingin tahu siapakah wanita yang dipilih oleh hero tersebut.
Antara 2 orang wanita yang terakhir, siapakah yang berjaya menjadi pasangan hero handsome itu?
Issh..kalau lah aku dapat lelaki sehensem itu! Siti tersenyum, cuba membayang sesuatu. Wajah Huzair
pula tiba-tiba menerpa. Cepat-cepat Siti menggeleng.
Sedang bergolek-golek, dia terdengar namanya dipanggil. Siti bingkas. Dia berjalan perlahan ke
ruang tamu. Emaknya yang masih lagi mengait, manakala bapanya pula sedang menggulung rokok
daun. Bau enak tembakau menerpa deria bau.
"Mak panggil Siti ke?"Tegur Siti sebaik melabuhkan punggung. Mak Jah berhenti mengait.
Dipandangnya wajah Siti sejenak, kemudian beralih pula ke arah Pak Seman yang leka menggulung
rokok daun. Menunggu-nunggu kalau suaminya itu mahu membuka mulut.
"Emm....."Mak Jah telan liur. Tak tahu bagaimana untuk memula bicara.
"Paknya...awak jelah yang bagitahu..." Pak Seman angkat muka.
"Awak je lah yang cakap....orang pompuan..."Pak Seman bersuara malas sambil menyalakan
hujung rokok. Menyedutnya dalam-dalam. Ada kepuasan pada riak wajah orang tua itu sebaik asap
dihembus keluar. Mak Jah mengerling Pak Seman yang buat tak tahu saja.
"Ni ha....Siti....tadi petang yang datang ramai-ramai tu......makcik Zanariah dan suaminya..."Mak
Jah memandang Siti yang duduk tegak macam patung.
"Makcik Zanariah?"Dahi Siti berkerut."Siapa tu, mak?"
"Zanariah....kau dah lupa ke. Anak Nek Selamah....atuk si Huzair"
"Ha...."Mata Siti membulat. Kalau Zanariah itu emak kepada Huzair, dia memang kenal. Kenal
melalui gambar yang pernah ditunjukkan Huzair sewaktu dia datang beraya ke rumah neneknya tahun
lepas. Patutlah dia rasa macam cam wajah perempuan itu petang tadi.
"Buat apa dia datang ke sini, mak? Mak kenal dia ke?"
"Apa pulak tak kenal.....masa kecik-kecik dulu kan...dia pernah duduk sini...lepas kawin aje
dia pindah ke Kuala Lumpur ikut suaminya. Suaminya dulu kerja askar. Dah pencen dah...."
Siti mengangguk. Dia maklum dan tahu serba sedikit tentang keluarga Huzair. Itupun Huzair yang
selalu bercerita. Dia kenal Huzair sejak lelaki itu berpindah ke sini, tinggal dengan neneknya. Dia ingat
waktu mula-mula Huzair mendaftar di sekolahnya. Ramai pelajar perempuan yang tertarik padanya.
Mungkin kerana Huzair orang bandar, caranya sedikit bergaya.
"Ohhh..patutlah...."Siti mendengus. Patutlah Huzair beriya-iya mengingatkan dia tentang tetamu
yang datang petang tadi. Dan patutlah dia boleh tahu semua itu. Yang datang berkereta besar tadi
adalah ahli keluarganya. Ohh...pandai dia mempermainkan aku ye! Siti gigit bibir. Dipandangnya wajah
emaknya sejenak. Tapi.....apa tujuan keluarga Huzair datang ke rumah?
"Err....kenapa diorang datang, mak?"Mak Jah tersenyum.
"Mak tak tahu pulak yang Siti berkawan dengan Huzair...."Balas Mak Jah perlahan.
"Memang la Siti kawan dengan dia. Kan dia satu sekolah dengan Siti dulu...."Dada Siti mula
berdebar-debar. Takut kalau mak dan bapanya melenting kerana dia berkawan dengan lelaki.Selama ini
memang dia t
"Mak ni bukannya apa...."Mak Jah terhenti, menoleh ke arah Pak Seman yang hanya mendengar.
"Siti kan muda lagi. Belum pun bekerja. Tak tahu pulak mak, Siti kawan rapat dengan Huzair tu.
Mak bukannya kenal sangat dengan Huzair tu. Dia pun baru je pindah ke kampung ni, kan?" Siti
angguk. Debaran semakin terasa. Dia tak sanggup hendak menentang pandangan dengan kedua orang
tuanya.
"Tapi mak tahu dia baik...."
"Kenapa mak ni, cerita pasal Huzair pulak?"
"Keluarga Huzair datang petang tadi..... merisik Siti...."
"Haa??"Siti tersentak. Dipandang ke wajah emaknya. Beralih ke arah bapanya pula.
"Merisik?....merisik Siti...merisik untuk apa?"Soalan itu terpacul dari mulutnya.
"Ish...budak ni...merisik untuk apa...merisik untuk anak dialah..si Huzair tu...."
Ya Allah! Siti bagai mahu tumbang. Betulke apa yang aku dengar ni? Matanya berpinar-pinar.
Huzair merisik aku? Alamak....mimpi apa pulak ni?...Siti tersandar kaku di atas sofa. Dia benar-benar
terkejut.
"Habis tu....mak cakap apa? Mak setuju ker?"Mati aku kalau mak setuju. "Mak dan bapak belum
bagi keputusan lagi. Mak nak tanya Siti dulu. Betulke Siti berkawan dengan Huzair tu..."
Siti bangun. Dia jadi resah. Panas terasa meruap naik ke muka. Kembali dia duduk di sebelah Mak
Jah. Ditekupkan mukanya di bahu Mak Jah.
"Huzair ni gila la, mak..."
"Kenapa pulak?"
"Ish...gila...memang gila!"Siti bingkas bangun. Malas dia hendak menunggu lama di situ.Dia tak
sanggup hendak mendengar lagi. Ini semua mimpi ngeri!
Huzair...sampai hati kau! Siti jerit dalam hati.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 4
Air yang mengalir di celah-celah batu itu amat jernih. Kelihatan lumut-lumut hijau di permukaan
batu, beralun mengikut riak air. Dua tiga ekor ikan kecil berenang-renang di sekeliling lumut. Cuba
melawan arus. Siti ambil batu kerikil kecil, lalu dilontarkan ke arah anak-anak ikan itu. Hatinya betulbetul
pedih.
"Janganlah baling ikan-ikan tu...mati nanti..." Siti tarik muka. Malas dia hendak menentang wajah
lelaki itu.
"Kenapa diam je ni, Mek Ti?" Huzair duduk di sebelah Siti.
"Habis, aku nak cakap apa. Kau yang buat aku begini, kan?"Mata Siti bulat merenung Huzair.
Huzair tersenyum.
"Mek Ti marah?"
"Kau tak pernah cakap dengan aku. Tiba-tiba je kau buat macam ni. Kau ni gila!"
Syy....janganlah kuat sangat. Nanti orang dengar..."Huzair memberi isyarat tangan.
"Biar orang dengar......" Huzair ketawa kecil. Suka dia melihat Siti marah-marah begitu.
"Kenapa kau buat aku macam ni?"Siti bersuara lirih.
"Buat apa?'
"Kenapa kau suruh keluarga kau datang rumah aku. Aku tak suka lah...."
"Biar mereka saling berkenalan...."
"Untuk apa...."
"Untuk memudahkan kerja di kemudian hari..."
Siti mendengus. Dia bingkas bangun. Menjarakkan dirinya dari lelaki itu. Ditepuk-tepuk baju
kurungnya yang terpalit tanah.
"Aku tak suka.."Siti berpaling. Cepat-cepat Huzair menarik tangan Siti.
"Mek Ti, janganlah marah-marah aku macam ni, aku serius. Aku sukakan kau..."
"Suka tak bermakna kau boleh pinang aku sesuka hati kau....tak bagitahu aku, tak bincang
dengan aku...tiba-tiba je kau datang macam tu aje. Aku pun ada perasaan juga.." Siti meninggikan
suara.
"Mek Ti, aku minta maaf kalau cara aku itu tak betul. Tapi aku rasa itu cara yang lebih baik. Aku
sangka kau faham perasaan aku selama ini.." Huzair mendepani Siti. Siti tarik nafas dalam-dalam. Kalau
ikutkan rasa marahnya, mahu saja dia tolak lelaki itu ke sungai.
"Aku ni bukan ahli nujum yang boleh baca perasaan orang, Huzair. Aku tak tahu hati kau tu. Suka
ke, benci ker....Aku tak reti nak tafsir perasaan orang. Yang aku tahu, hati aku sendiri. Aku belum
bersedia nak bercinta..bertunang...berkahwin.... Itu semua takde dalam kepala aku."Wajah Huzair
mendung. Di tatapnya Siti lama.
"Tapi aku sukakan kau Mek Ti....."
"Aku tahu, aku tak kisah kalau kau suka kat aku....tapi aku tak boleh terima cara kau tu. Bercinta
pun belum, kau dah hantar rombongan..."
"Jadi, kita boleh bercinta?" Siti kehilangan kata.
"Maksudnya, bermula dari saat ni, kita boleh mula bercinta..."Huzair tersenyum ceria. Siti
menggeleng. Mula bercinta? Ishh..pelik betul ayat tu. Macamana nak memulakan cinta. Boleh
dirancang-rancangke?
"Okay...mulai sekarang kita adalah pasangan kekasih..."
"Cukup..cukup. Kau ni cerita merepek je la...pasangan kekasih apabenda...aku tak retilah nak
berkasih-kasih ni...."Siti menarik tangannya. Dia merengus lagi. Rimas dia dengan pelakuan lelaki itu.
Selama ini Huzair tidak pernah mahu meluahkan perasaan. Tapi bila sekali diluahkan, begitu beriya-iya
lagaknya. Seram Siti dibuatnya.
"Mek Ti...."Huzair mengeluh
"Janganlah macam ni Zair. Nanti orang lain tahu, malu aku"
"Apa yang nak dimalukan?"Huzair jengil mata.
"Iyelah....aku ni belajar tak pas, keja pun tak dapat. Duk rumah pun mengadap ayam itik mak
aku jer..."Siti telan liur."Tiba-tiba je nak kawin...nanti apa org cakap?"
Huzair menggeleng. Bibirnya mengukir senyuman. "Apalah yang Mek Ti pikir susah-susah sangat
sampai ke situ. Biarlah orang nak pikir apa pun. Kau kan gadis pingitan. Duk rumah, terus dipinang
orang"
Siti mendengus. Malas dia hendak mendengar omelan lelaki itu lagi. Dia bersedia untuk angkat
kaki. Tapi sekali lagi jemari Huzair tersangkut di hujung baju kurungnya.
"Aku nak tahu keputusan kau sebelum hujung bulan ni. Kalau kau setuju, aku akan balik KL" Siti
tatap wajah Huzair tunak. "Lepas kita bertunang, aku akan balik KL untuk cari kerja di sana. Kerja kat
sini pun berapa sen sangat yang dapat. Lagipun, mama aku minta aku pulang ke KL dulu Dah 3 tahun
aku kat sini..." Siti tidak bersuara. Dia berpaling, bersedia untuk melangkah. Huzair segera mengekori.
Sama-sama menyusuri akar-akar kayu yang berselirat di permukaan tanah.Dedaun semalu yang berduri
menguncup terkena sapaan angin. Siti melangkah laju, mengelak dari terpijak duri semalu.
"Mek Ti.....aku nak tahu keputusan kau.."Huzair bersuara.
"Aku tak tahu."Balas Siti pendek.
"Kau cuma perlu berkata ya atau tidak."
"Kalau aku kata 'tidak'?"Huzair berhenti melangkah.
"Tidak ada sedikit perasaan pun pada aku?"
"Tidak buat masa sekarang..."
"Akan datang?" Ish....Siti merengus. Banyak betul songehnya!
"Bagi aku masa..."
"Kau tak akan kecewakan aku, kan?"Siti tersengih.
"Aku tunggu....."Jemari Huzair memaut jemari Siti. Siti menarik pantas. Baru bagi masa, dah nak
pegang-pegang tangan! Siti merengus.
"Kalau Mek Ti setuju...aku akan segera cari kerja di KL..."Sekali lagi Huzair mengulangi.
"Baru nak cari duit?"Siti ketawa kecil."Maknanya kau belum ada duit nak kahwin. Habis tu, kenapa
pinang aku?"
"Sebab aku tak nak kau di sambar orang!" Huzair renung Siti dalam-dalam Siti cepat-cepat alih
pandangan.
Udara malam itu agak panas. Siti membuka cermin tingkap biliknya luas-luas.Dari jauh dia
melihat kerlipan cahaya lampu yang samar-samar dari luar.Sudah hampir jam 12. Banyak rumah-rumah
sekeliling yang sudah bergelap. Dan baru sebentar tadi dia baru mematikan suis lampu biliknya. Itupun
setelah ditegur bapanya yang kebetulan ke bilik air.
Siti rasa rimas malam itu. Awal-awal lagi dia sudah membalut tubuhnya dengan kain batik. Angin
tidak terasa langsung. Sebab itu dia lebih selesa berkemban begitu.Kipas meja pula sudah agak uzur.
Pusingannya yang menghasilkan bunyi keriut itu tidak mendinginkan suasana. Ahh...bilalah agaknya
bapak nak ganti kipas buruk ni. Ish.. panas betul! Siti bingkas bangun, Dikibas-kibasnya kain batik yang
terikat paras dada. Agaknya, hati aku yang panas kot...Siti gumam. Dia kembali merenung ke luar
rumah. Bulan tidak kelihatan. Hanya cahaya lampu yang samar-samar.
"Apa harus aku buat?"Siti mengeluh. Wajah Huzair yang bersungguh-sungguh menerpa di ruang
mata.
"Nak tolak....atau terima?"Dia telan liur.
"Nak tolak..kesian....tapi kalau nak terima.....mmmmm....aku suka kat dia ker?" Siti geleng
kepala.
"Aku suka pun....suka gitu-gitu jer....takdelah sampai nak kawin....si Zair ni...gila lah........"
Siti sendiri tidak perasaan, bila masa Huzair punya perasaan terhadap dia. Mereka kenal bukannya
lama. Walaupun sudah 3 tahun Huzair menetap di kampung itu, cuma setahun yang lepas mereka mula
berkawan. Sejak Huzair bertukar ke kelas nya sewaktu di menengah 5. Kebetulan pula Nek Selamah
selalu membeli telur angsa untuk dibuat telur masin. Maka hampir setiap minggu, Huzairlah yang
menjenguk ke rumahnya. Setiap kali Huzair datang, Sitilah yang terpaksa melayannya. Kadang-kadang
Siti sangkutkan saja bungkusan telur itu dipaku luar rumah. Tahulah Huzair mengambilnya. Tahu-tahu
esoknya Huzair hulurkan duit kepadanya. Sejak itu Huzair selalu senyum-senyum kepadanya. Dan selalu
mereka berjumpa di tepi padang Balai Raya sambil disaksikan Shidah dan Murni.
"Itu saja......setakat jumpa, borak-borak biasa.....takdelah aku jiwang-jiwang kat dia pun...."Siti
gigit bibir.
"Macamana dia boleh tergerak hati nak pinang aku pulak... pelik lah budak Zair nie...."
Siti biarkah cermin tingkap terus terbuka. Dia rebahkan badan semula ke atas katil. Sambil
melonggarkan ikatan kain batiknya, otaknya berpusing-pusing mencari alasan terbaik untuk menolak
hasrat Huzair. Petang tadi, emaknya bertanya lagi. Ahhh....aku nak cakap apa? Nak tolak mentahmentah
macam tu aje?
"Nak bagi alasan sambung study.....study pun tak kemana. Nak kerja...kerja pun tak dapat-dapat
lagi.Duk rumah lama-lama, orang datang pinang pulak....ishh...payah betul lar jadi pompuan ni. "Siti
tersengih dalam gelap. Dia cuba pejamkan matanya. Cuba memadamkan bayangan Huzair yang
semakin berasak-asak muncul dibenaknya. Sejak 2-3 hari ini, wajah lelaki itu ada di mana-mana!
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 5
"Siapa ni?"Suara di hujung talian kedengaran
"Siti!"
"Ohh...Siti...akak tengah masak ni..."
"Ala..Kak La....orang nak cakap ngan kak La nie....."Siti sandar badan tepi bendul pintu.
"Kejap-kejap....akak nak kecikkan api dapur jap..."Siti tersenyum. Dia menanti seketika sambil
hujung jari menguit-nguit wayar telefon.
"Ha..Siti, pagi-pagi dah telefon akak ni, ada apa?"Suara dihujung talian kedengaran lagi.
"Mm....Siti ada hal nak cakap ngan akak ni..."Siti toleh ke dapur. Takut kalau-kalau emaknya ada
di situ.
"Apa dia?"
"Mmm....Siti nak kerjalah kak. Kat tempat akak ada kerja kosong tak?"Siti kebam bibir.
"Hai...dulu akak suruh datang sini cari kerja, kau tak nak. La ni, dah tukar pikiran pulak.
Kenapa?"Melah ketawa kecil.
"Takdelah...Siti dah boring duduk kat rumah jer. Mm...lagipun....Siti ada masalah ni..."Suara Siti
mengendur. Dia tidak mahu emaknya tahu dia mengadu pada Kak Melah.
"Masalah apa?"
"Mmm...susah nak cakap.....malu laa..."
"Ishh...kau ni. Masalah apa sampai nak cakap pun malu."Dengus Melah.
"Masalah peribadi lah kak La......macam ni...eemm...errrr.."
"Apa bendanya? Nak pakai duit ker?"
"Eh, takdelah. Bukan pasal duit. Emm...macam ni. Hari tu, ada orang datang rumah"
"Siapa?"
"Ntah, sapa ntah. Siti tak kenal sangat...."Siti pejamkan mata. Dia tahu Kak Melah tak akan
percaya kalau dia cerita perkara sebenarnya.
"Habis tu, kenapa?"
"Diorang kan....diorang datang...nak pinang Siti..."Siti rasa nak tergelak.
"Pinang sapa?"
"Pinang Siti!" Siti tutup muka kerana malu. Hujung talian senyap seketika
"Kak La...dengar tak?"Siti kuatkan suara.
"Pinang kau?"Siti angguk walaupun dia tahu Kak Melah takkan melihatnya.
"Biar betul!"
"Laa...tak percaya pulak. Tu yang masalahnya tu...."Siti mengeluh. Dia mendengar gelak tawa di
hujung talian.
"Ala...Kak La ni, ketawakan orang pulak...."Siti muncung.
"Akak macam tak percaya pulak adik akak ni dah dipinang orang. Muda-muda lagi kau dah
bercinta ye Siti....."Masih ketawa. Siti jadi geram mendengar kata-kata kakaknya itu.
"Oo...ingat muka cam kita ni takde orang nak ker?"
"Habis tu, Siti nak ke?"
"Siti tak nak......tapi tak tahu nak cakap macamana ngan bapak. Mak kata kalau dah tak kerja,
tak belajar baik kawin jer....tapi Siti tak naklah...."Siti julur tangannya untuk capai kerusi rotan tepi tv.
Lenguh kakinya berdiri begitu.
"Kalau tak nak...buat apa bercinta...jiwang sana jiwang sini...."
"Mana ada! Orang tak bercinta pun lah...."Cepat-cepat dia tutup mulut bila menyedari suaranya
semakin kuat.
"Habis tu, kau nak lari ke sini la ye?"Siti sengih. Kalau dia dapat kerja, bolehlah dia bagi alasan
pada orang tuanya untuk tolak pinangan tersebut. Bolehlah dia beritahu Huzair sebab dia tak mahu
terikat sekarang. Dia dah dapat kerja!
"Kak La carikanlah kerja.....nanti Siti boleh pergi sana....tak payah kawin..."Sitimerengek.
"Issh..budak ni..tak paham aku....kalau tak nak kawin...buat apa gatal bercinta..."
"Ala...Kak La..tak paham...nantilah kalau Kak La balik...Siti cerita...."Siti merengek lagi.
"Mmm....."Melah masih ketawa.
"Siti nak akak pujuk mak supaya jangan terima pinangan tu ker?"
Siti tarik nafas dalam-dalam. Kepalanya ligat berfikir.
"Tak payah pujuk. Akak tolong carikan kerja je. Takpun....akak pura-pura bagitahu mak, ada kerja
kosong untuk Siti. Mesti mak suruh Siti kerja dulu....."
"Nak bohong kat mak ler ni?" "Ala....bohong sunat"Pandailah kau....."Melah merengus. Seketika
dia terdiam. Siti menunggu kata-kata dari kakaknya itu.
"Sebenarnya, hujung minggu ni memang kak Melah nak balik kampung pun. Abang Jais kau dapat
cuti, tu yang ingat nak balik kampung sekali tu....."Melah bersuara semula.
Senyum Siti melebar.
"Betul ker....bestnya....kak La jangan lupa carikan kerja ye. Kerja sapu sampah pun jadiklah
kak..."Siti ketawa halus.
"Kang akak dah cari, kau jangan tolak pulak...."Siti geleng kepala.
"Taklah.....Siti tak kisah kerja apa. Kali ni Siti tak nak tolak punya. Kalau boleh Siti nak lari dari si
Huzair tu.."
"Sapa? Huzair? Budak yang pinang kau tu ker?"Alamak....dah terlepas cakap pulak. Siti gigit bibir.
"Okaylah kak La. Bye...."Cepat-cepat Siti letak gagang. Dia bergegas masuk ke bilik lalu
menjenguk ke tingkap. Terlihat emaknya terbongkok-bongkok menyapu sampah depan rumah.
Fuuhh.....Siti tarik nafas lega.
****************************************
Kereta kancil putih meluncur perlahan memasuki perkarangan rumah. Siti yang sedang menyidai
kain tersenyum lebar. Dia bergegas masuk ke rumah setelah menyiapkan kerjanya. Kak Melah kelihatan
sedang memunggah beg keluar dari bonet kereta. Si kecil Fariana, membontoti ibunya. Manakala Abang
Jais pula sedang menyalami emak.
"Bapak mana mak?"Melah bersuara sebaik tangan emak disambut.
"Bapak kau ke mana lagi. Ke kebun getah la..belum balik lagi..."Mak Jah mencium pipi si kecil
Fariana. Meronta-ronta anak kecil itu dalam pelukan Mak Jah. Siti tersengih sambil menyambut huluran
beg-beg dari kakaknya.
"Bawak masuk bilik beg ni, Siti "Melah bersuara. Siti angguk. Setelah meletakkan beg dalam bilik,
dia kembali mendapatkan mereka yang sedang berkumpul di meja makan. Tak sabar rasanya hendak
mendengar keputusan Kak Melah. Tapi Kak Melah hanya tersenyum padanya.
"Lama ke cuti Melah?"Mak Jah bersuara.
"3 hari mak. Tapi esok dah nak balik semula. Abang Jais ni nak singgah rumah akak dia kat
Melaka. Ada kenduri sikit.."Balas Melah perlahan
"Pegi buat air Siti.."Mak Jah cuit bahu Siti. Siti hampir-hampir mengeluh. Tapi cepat-cepat dia
bangun dari kerusi takut didengar emaknya. Silap-silap berbekas pehanya dikutil emak.Sambil
membancuh minuman, sesekali dia memanjangkan lehernya, cuba mendengar perbualan mereka.
Kalau-kalau mereka bercerita tentang dirinya. Tapi, Kak Melah tidak pula menyentuh hal peminangan
tersebut. Siti menunggu-nunggu juga kalau Kak Melah bercerita tentang kerja kosong yang dimintanya.
Siti kembali ke meja makan lalu mengatur gelas minuman satu persatu. Abang Jais terus mengambil
dan meneguknya laju. Siti tersengih. Dia kembali duduk di sebelah Mak Jah.
"Esok Siti ikut Kak La balik KL "Tiba-tiba terpacul kata-kata dari Melah. Siti gamam. Dia pandang
wajah Kak Melah bagai tidak percaya. Mak Jah juga sedikit terkejut.
"Eh, kenapa nak bawa Siti ke KL pulak?"Mak Jah bersuara.
"Ada kerja kosong kat KL mak, itupun kalau Siti nak...."Balas Melah.
"Nak, nak.."Siti tidak sedar dia telah menyampuk.
"Ish budak ni..."Mak Jah tepuk tangan Siti. Siti tersengih.
"Kerja apa kat sana tu, Melah?"
"Emm...kerja kat rumah orang. Jaga budak. Macam babysister la. Bukannya orang lain. Sedara
jugak dengan Abang Jais ni. Memang Melah kenal..."Melah bersuara lambat-lambat. Dia bimbang juga
kalau emaknya tidak bersetuju. Siapa yang nak jadi orang gaji!
"Jadi orang gaji?"Jengil Mak Jah. Siti gumam. Dia benar-benar terkejut. Tak ada kerja lain ke?
Orang gaji? Jaga budak? Ishh...tak glamer langsung.
"Bukanlah orang gaji betul, mak. Diorang memang dah ada orang gaji. Ni untuk jaga budak je.
Tak lama. Sebulan dua. Kebetulan anak makcik tuan punya rumah tu sakit. Tengah berubat kat luar
negeri. Tak ada sapa nak jagakan anak dia....dia mintak tolong dengan Abang Jais carikan siapa-siapa
yang boleh tolong untuk sebulan dua je ni. "
Melah pandang Siti. Siti hanya menunduk. Dia tidak menyangka kerja yang Kak Melah carikan
seperti itu. Dia sangkakan kerja di ofis atau di kilang. Dapat juga dia melaram.
Mak Jah mengeluh. Dipandangnya Melah sungguh-sungguh. Abang Jais bangun tiba-tiba. Mungkin
dia tidak mahu ikut campur dengan urusan tersebut. Biasanya dalam hal keluarga, Abang Jais lebih
banyak mendengar dari bersuara. Tapi seketika kemudian dia kembali semula duduk di sebelah Kak
Melah sambil tangannya mengenggam sesuatu.
"Ni ha.. .kalau mak nak tengok. Mereka ni ada pertalian saudara dengan sebelah atuk saya. Tapi
atuk dah meninggal."Abang Jais menghulurkan album gambar. Mak Jah mengambil album tersebut lalu
menatap foto yang dimaksudkan. Siti memanjangkan lehernya.
"Emm.....orang berada..."Mak Jah bersuara perlahan.
"Ala...orang biasa je mak...."Abang Jais bersandar.
"Apa sakit anaknya ni?"Tanya Mak Jah lagi.
"Kanser...."Balas Melah. "Kesian mak. Dah lama dia sakit. Berubat kat sini, tak jalan.Seminggu
lepas, mereka ke luar negeri. Tak tahulah berapa lama kat sana. Tu yang anak-anak dia ditinggalkan kat
rumah orang tuanya. Tapi Mak Engku tu dah dah uzur mak. Tak larat nak jaga cucu-cucu dia tu. Tu yang
diorang suruh Abang Jais carikan penjaga untuk sebulan ni.."Melah teguk air seketika.
"Kenapa tak dihantar ke tempat orang jaga budak tu. Apa nama dia..."
"Nurseri!"Celah Siti tiba-tiba.
"Susah nak hantar sana mak. Pagi kena hantar, petang nak kena ambik semula. Yang dua orang
tu pula dah bersekolah. Senang nak uruskan kalau tinggal di rumah. Kalau hantar nurseri susah pula
nak ke sekolah nanti."Balas Melah lagi. Sesekali dipandangnya wajah Siti yang tekun mendengar.
Siti ambil album gambar tersebut lalu menatap photo sebuah keluarga yang sedang duduk di
kerusi mewah. Berlatar belakangkan sebuah ruang tamu yang luas. Emmm....memang kaya. Rumah
besar...bisik hati Siti. Anak-anak pasangan itu comel-comel belaka. Tampak bahagia. Tak sangka
keluarga sebahagia itu sedang berperang dengan kesulitan yang amat. Siti tahu penyakit barah
bukanlah penyakit yang mudah diubati. Paling tidak, pasti harus menjalani pembedahan atau proses
kimoterapi yang selalu Siti baca diakhbar-akhbar. Amat menyeksakan!
"Habis tu, kau nak Siti jaga budak-budak ni?"Mak Jah bangun dari kerusi. Menjenguk ke pintu,
kalau-kalau Pak Seman sudah pulang dari menoreh.
"Dari Siti ni duduk rumah tak buat apa. Biarlah dia ke sana, mak. Bukannya lama. Sebulan je.
Lagipun bukannya jauh sangat dari rumah saya. Abang Jais ni pun selalu ke sana tengok-tengokkan
anak-anak mereka tu."Melah pandang Abang Jais yang sedang menyelak helaian akhbar. Mak Jah
kembali duduk. Dia menarik nafas panjang.
"Mak ni tak kisah kalau Siti ni nak bekerja. Kat bandar tu kan banyak kerja. Tapi dia tak nak. Nak
ke KL jugak. KL tu lagi susah nak cari kerja..."Mak Jah renung Siti lama.Siti jadi serba salah. Dia
pandang Kak Melah yang tersengih penuh makna.
"Kerja kat rumah Mak Engku tu pun bagus jugak mak. Makan minum tempat tinggal semua
cukup. Gaji pun diberi. Saya pulak boleh tengok-tengokkan. Kalau kerja kilang ni,saya tak percaya
sangat budak-budak sekarang ni. Lagi-lagi macam Siti ni.." Siti jengil mata ke arah Melah.
"Siti ni nak ke kerja jaga budak ni? Tak percayalah mak. Masak pun tak reti...."Mak Jah muncung
bibir. Siti gigit bibir sampai sakit. Dadanya berdebar tiba-tiba. Ahh...kalaulah mak tahu aku sanggup
buat semua ni semata-semata kerana ingin lari dari Huzair!
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 6
Lama Siti menanti. Sudah lenguh lututnya berdiri di bawah pokok jambu batu tepi sungai itu.
Sekejap dia menyandar, sekejap dia bertinggung. Sesekali dia memandang ke langit. Mencongak-congak
sudah jam berapakah waktu itu.
Seingat dia selepas Asar tadi dia terus bergegas ke situ. Sebelum itu dia sudah ingatkan Huzair
melalui telefon. Dia ingat lagi suara ceria Huzair sebaik mendengar dia ingin berjumpa. Agaknya dia
ingat aku nak terima dia. Ahh....kesiannya....tapi!
Dia memandang ke bawah. Sekejap-sekejap ke arah anak-anak ikan yang berenang di takungan
jernih celah-celah batu. Sekejap-sekejap ke deretan semut-semut hitam yang susup sasap bawah daundaun
kering. Sudah dua tiga kali juga kakinya pedih digigit semut-semut hitam itu. Tergaru-garu dia
menahan gatal sambil mulutnya mula membebel. Ahh..lain kali aku suruh bapak buat bangku kat sini.
Senang aku nak dating! Getus Siti.
"Si Huzair ni pun satu. Aku nak jumpa dia buat-buat lambat pulak. Kang aku pegi tak cakap ngan
dia, merana pulak!"Siti toleh ke hujung jalan.Menanti kelibat Huzair.
Malam tadi, sewaktu menonton tv, setelah puas dipujuk Siti dan panjang lebar diterangkan Kak
Melah, akhirnya emak bersetuju juga melepaskan dia ke KL. Itupun dengan berbakul pesanan yang Siti
sendiri tidak berapa ingat. Yang dia ingat, emak bagi tempoh sebulan dua saja bekerja di rumah orang
kaya itu. Bila mereka pulang dari luar negara, Siti harus berhenti kerja. Cari kerja lain atau pulang saja
ke kampung. Siti tersengih mendengarnya. Dia tahu dia akan pilih yang pertama dari yang kedua. Dia
akan cari kerja sampai dapat. Untuk balik ke kampung dan bersetuju untuk berkahwin dengan Huzair,
adalah mustahil!
Walaupun Siti sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana dia boleh menerima kerja tersebut,
tapi setelah difikir dalam-dalam, dia rasa itu adalah jalan yang paling baik buat masa sekarang. Paling
baik kerana dia sendiri tiada pilihan lain. Daripada duduk rumah dan menanti hari-hari untuk bergelar
seorang isteri, lebih baik dia mengadap budak-budak tu. Lagipun tempohnya bukanlah lama sangat. Kak
Melah kata, pasangan tersebut ke luar negara untuk berubat mungkin mengambil masa sebulan saja.
Paling lama pun dua bulan. Dalam tempoh itu dia perlu menjaga dan menguruskan anak-anak mereka.
Sambil menjaga mereka, bolehlah dia memohon apa-apa kerja lain di bandar KL itu. Dalam masa
sebulan tentu boleh dapat. Kak Melah dan Abang Jais pun boleh tolong carikan.
Lagipun, apalah susah sangat jaga budak-budak tu......bisik hati Siti. Walaupun aku tak ada adik,
tak pernah jaga budak kecil, itu bukan bermakna aku tak boleh buat. Setakat tengok-tengok aje,
kemaskan pakaian diorang, buatkan bekalan diorang, rasanya mudah saja!.Siti tersengih lagi.Dia
pandang ke belakang sekali lagi. Isssh.....bencinya aku! Siti hentak kaki. Tak guna punya lelaki.Aku
tunggu bagai nak gila, dia tak datang jugak. Tak apa, lepas ni kau tak dapat jumpa aku lagi!
Siti beredar dari bawah pokok jambu batu itu. Dia berjalan laju. Baju kurungnya berkibar-kibar
diterpa angin. Tangannya menyeluk kocek di tepi baju. Mengeluarkan sekeping kertas putih yang dilipat.
Kertas itu disiapkannya malam tadi. Untuk diberikan kepada Huzair.
Siti berlari-lari anak. Dia ingin ke rumah Shidah yang jauhnya hanya beberapa batang tiang lampu
dari situ. Dia tahu Shidah ada dirumah kerana mereka tidak berjanji untuk keluar ke padang hari
ini. Lainlah kalau Shidah ke bandar, menjaga kedai pengantin emaknya.
" ...Shidah..."Siti mencungap sebaik tiba di laman rumah Shidah. Dia pandang ke arah
tingkap yang terbuka. "Shidahh!!"Siti memanggil lagi. Pintu terbuka dan Shidah terjengul dengan wajah
mengantuk.
"Kau ni mesti tengah tido!"Siti menapak ke depan pintu. Shidah tersengih.
"Rumah aku tak ada orang lah....mak bapak aku pergi jemputan kawin kat kampung. Adik-adik
aku semua gi main tak ingat nak balik rumah."Dia bertinggung depan pintu. "Habis tu, aku nak buat
apa. Nak tengok tv tak ada cerita best. Baik aku tido....."Dia menguap lagi.
"Aku datang ni nak ucapkan selamat tinggal kat kau...."Siti bersuara perlahan. Shidah
mendongak,memandang Siti tanpa reaksi.
"Aku nak pegi KL.."
"Ada apa kau gi KL, kau gi dengan sapa?"Shidah bertanya malas.
"Pegi dengan akak aku..."Balas Siti.
"Emm....kau nak tanya aku nak kirim apa eh?"Shidah angkat kening."Emmm....nak kirim apa
ek....."
"Wei...tak payah nak kirim-kirim. Aku bukannya nak pegi makan angin. Aku nak duduk rumah
akak aku. Nak kerja kat sana..."
"Haa?"Mata Shidah membulat. Dia bingkas bangun.
"Kau nak duduk sana?"
"Ha'ah....tu sebab aku jumpa kau ni. Kejap lagi aku nak bertolak dengan akak aku."
"Tiba-tiba je kau nak ke sana, kenapa? Kau dah dapat kerja ke?" Siti terdiam sejenak. Lama
kemudian baru dia mengangguk.
“Eh...kerja apa ha?"Shidah tampak teruja. Siti mendengus.
"Kerja apa?"Shidah goncang bahu Siti. Siti serba salah.
"Emm...kerja kat...ofis mana ntah. "Siti senyum tawar.
"Bestnya!"Shidah terlonjak."Dapat jugak kau kerja ye.....:
"Alah.....akak aku yang carikan...."Balas Siti perlahan.
"Kau nak pergi hari ni ker?"Shidah muram."Kenapa cepat sangat.....nanti tak dapat jumpa kau
lagi.."
"Alah..bukannya aku tak balik lagi. Nanti kau kirim salam kat Murni ye. Aku tak sempat nak jumpa
dia."Siti hulurkan kertas putih tadi."Emm...yang ni, kau tolong bagi pada Huzair..."
"Wow..surat apa ni?surat cinta eh?"Shidah cepat-cepat sambar kertas tersebut.
"Surat cerai!"Siti ketawa."Kau jangan baca pulak....Okaylah..aku nak balik dulu.."Siti depangkan
tangannya. Shidah pantas memeluk erat temannya itu. Airmatanya hampir menitis. Tak dapatlah lagi
mereka lepak-lepak dan bersembang seperti biasa.
"Jangan lupa tepon eh!"Laung Shidah sebaik Siti mula beredar. Siti angkat tangannya sebelum
hilang dibalik rimbunan lalang.
*****************************
"Kenapa lambat sangat ni?"Mak Jah menegur Siti sebaik melihat anaknya itu terkocoh-kocoh
memunggah beg.
"Jumpa buah hati mak...."Sahut Melah bersahaja.
"Mana ada. Orang pegi jumpa Shidah lah!"Siti tarik muka. Melah ketawa. Dia mendukung anak
kecilnya, Fariana yang terlena.
"Dah cepat masukkan beg tu. Kita nak singgah Melaka ni. Takut terlepas kenduri tu nanti.."
Melah buka pintu kereta lalu membaringkan anaknya di kerusi belakang. Abang Jais sudah menanti
di dalam kereta.
"Melah balik dulu, mak..."Melah mencium tangan Mak Jah. Mak Jah mengangguk. Tiba giliran Siti,
dia mula mengesat mata.
"Mak janganlah nangis. Siti pergi tak lama."Siti terharu. Dia menyeka air mata yang tidak dapat
ditahan lagi. Tubuh Mak Jah dirakul erat. Mak Jah mengusap rambut Siti.
"Kat tempat orang nanti, perangai tu jaga elok-elok. Jangan melawan cakap..."Mak Jah
mengingatkan. "Sembahyang jangan tinggal..."
Siti terangguk-angguk. Dia menyeka air mata lalu mencium pipi kedut Mak Jah. Sayu hatinya bila
mengenangkan selepas ini hanya emak dan bapanya saja yang tinggal dirumah. Pasti emaknya
kesunyian. Tapi apa boleh buat. Dia harus menurut kata hati. Dia juga ada kehendak sendiri. Yang pasti
kehendaknya itu bukanlah untuk menerima sesiapa buat masa ini.
Siti masuk ke dalam kereta. Sebaik kereta mula bergerak, dia melambai ke arah Mak Jah yang
tegak berdiri di tepi pintu. Dalam hati, dia sedikit terkilan kerana tidak sempat bertemu bapanya.
Bapanya mengikut jiran sebelah ke bandar atas sedikit urusan. Tapi bapanya awal-awal sudah memberi
keizinan untuk dia bekerja. Kerana itu walaupun dengan berat hati, Siti tetap berasa lega kerana
hasratnya tidak dihalang.
Kereta mula meluncur laju. Semakin lama kampungnya ditinggalkan, semakin berdebar perasaan
di hati. Berdebar kerana dia sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan dia nanti.
Bagaimana dia akan hidup dalam sebuah rumah yang asing, dan dikelilingi manusia-manusia asing.
Betahkah dia? Walaupun hanya untuk tempoh yang singkat, tapi semua itu tetap memerlukan
penyesuaian. Bagaimana kalau dia tidak betah tinggal di situ. Atau dia tidak mampu membuat kerja
yang diamanahkan dengan baik? Walaupun menjaga budak-budak itu seperti satu kerja yang enteng,
tapi pasti menggugat kesabaran. Pasti mencabar dirinya yang langsung tidak punya pengalaman.
Ahh...kenapalah kerja sebegini yang aku inginkan!
"Kalau ngantuk, tidurlah Siti. Jauh lagi ni.."Melah bersuara, memecah kesunyian. Siti mengalih
pandangan. Menatap wajah Fariana yang lena disebelahnya. Matanya juga sudah semakin layu. Dia
malas lagi hendak memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang akan dihadapi nanti.Biarlah.Biarlah
masa yang menentukan. Siti terlena seketika. Sehinggalah dia tersedar semula, hari sudah menggelap.
Fariana sudah berada dipangkuan ibunya. Abang Jais pula masih tekun memandu. Siti menggosok mata
lalu memandang sekeliling. Deretan kereta di kiri kanan jalan menyaingi perjalanan mereka. Siti
tersenyum.Sudah lama dia tidak berjalan jauh seperti ini.
"Dah sampai mana ni, kak?"Tanya Siti. "Pagoh. Kejap lagi sampai la ni..."Siti pandang jam pada
dashboard. Sudah jam 8.15. Dia kembali menyandar sambil mata tertancap pada lampu di kiri kanan
jalan. Semakin lama semakin layu. Akhirnya dia kembali terlelap.
Sedar-sedar mereka sudah sampai di rumah kakak Abang Jais. Kenduri sudah pun bermula. Oleh
kerana orang sudah ramai di ruang tengah, Siti mengekori kakaknya masuk melalui dapur. Di dapur
juga sudah ramai orang. Siti bersalaman dengan beberapa orang makcik di situ walaupun dia sedikit
segan dan tidak mengenali mereka. Selepas meletakkan beg di dalam bilik, dia duduk bersama-sama
tetamu lain yang sedang membaca surah Yassin. Kak Melah sudah hilang dari pandangan. Tapi Siti
sudah tidak mahu memikirkan. Dia cuma ingin cepat-cepat menyambung tidur dan tidak sabar untuk
menanti perjalanan ke Kuala Lumpur esok.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 7
Jam 8.30, Siti sudah siap mandi dan berdandan. Pagi itu dia mengenakan sepasang baju kurung
warna biru laut dan tudung juga berwarna biru, sedikit gelap. Seperti biasa, hanya bedak bayi Johnson
tercalit di wajahnya. Dan sedikit pelembap bibir dioles pada dua bibir. Warna merah samar. Teragak juga
dia hendak mengenakan lipstik sekali kala,tapi sebatang lipstick pun dia tidak punya. Hendak pinjam
dengan Kak Melah, dia malu. Akhirnya, minyak wangi pemberian Shidah dan Murni pada hari lahirnya
tahun itu disembur di seluruh badan. Semerbak bau memenuhi ruang bilik yang kecil itu. Siti tersenyum
puas.
Beg tangan yang Kak Melah beri pada hari raya tahun lepas masih elok untuk dipakai. Siti
menyandang beg tangan tersebut lalu memandang dirinya dicermin. Dia tersenyum lagi. Dia rasa
gelihati. Ahh....bersopannya aku! Macam nak jumpa mak mentua! Dia membelek-belek seketika
sehingga puas. Kemudian,dia beredar ke ruang tamu menanti Kak Melah yang menghantar anaknya
Fariana ke rumah jiran sebelah. Sudah 2 tahun, makcik sebelah rumah itu menjaga Fariana.
Perutnya sejak tadi berkeroncong, tapi dia malas untuk makan. Dia cuma sempat meneguk
nescafe yang Kak Melah buat pagi tadi. Sarapan yang ada hanya roti dan jem. Dia kurang gemar
menikmati sarapan seperti itu. Kalau dikampung,emak rajin buat jemput-jemput, goreng pisang atau
nasi lemak. Kalau roti pun, dia lebih suka makan cicah sardin atau telur hancur goreng. Tiba-tiba dia
berasa kecur bila teringat itu semua. Semakin berkeroncong perutnya dirasakan.
Terdengar bunyi pagar rumah dibuka. Siti terus meluru keluar lalu menyarung sandal tali warna
hitam. Mendapatkan kakaknya yang sedang menghidupkan enjin kereta.
"Tolong kuncikan pintu, Siti" Melah menghulurkan seberkas anak kunci.Siti menurut. Terkial-kial
dia cuba mengunci mangga pintu tersebut. Kemudian, mengunci pagar rumah pula setelah kereta
dikeluarkan. Sebaik dia masuk, kereta mula bergerak.
Perjalanan yang dilalui agak lama juga. Siti tidak berapa pasti arah perjalanan mereka. Dia cuma
nampak banyak signboard di kiri kanan jalan. Kereta pula berpusu-pusu bagai saling mengejar.
Beberapa kali mereka terpaksa memperlahankan kereta dan terpaksa menunggu lama di persimpangan
lampu isyarat. Siti berasa agak rimas dengan keadaan itu. Apalagi pagi mula memancarkan terik
matahari. Dia rasakan KL agak panas dibandingkan dengan kampungnya yang sejuk dan rimbun dengan
tumbuhannya. Bagaimana dia dapat hidup dalam suasana kelam kabut seperti ini?
Lepas dari lampu isyarat, mereka mula melalui jalan yang agak lengang dibandingkan di bandar
tadi. Siti menarik nafas lega. Kali ini barulah matanya terbuka sedikit, melihat bandaraya KL yang penuh
dengan bangunan-bangunan tinggi.Dia sedikit kagum dan menyedari betapa sudah lamanya dia tidak
menjejak kaki ke daerah pesat itu. Paling akhir seingatnya, ketika mengikuti rombongan sekolah ke Zoo
Negara 10 tahun yang lalu. Sudah terlalu lama!
Tidak banyak perbualan antara mereka kerana Siti lebih asyik memerhatikan sekelilingnya. Dia
begitu teruja melihat rumah-rumah yang tersergam indah di kiri kanan jalan. Dua tiga kali ganda besar
dari rumahnya di kampung. Tinggi-tinggi pula.Siti terfikir, alangkah bertuahnya dia andai dapat memiliki
rumah semewah itu. Seumur hidup pun mungkin dia tidak akan dapat memilikinya. Rumah Kak Melah
yang kecil itu pun sudah beribu harganya. Apalagi rumah-rumah semewah ini!Siti menggeleng kepala.
"Kita dah nak sampai ni..."Melah memecah sepi. Mereka sampai di satu selekoh. "Kat sini?"Siti
tertoleh.
"Rumah mereka kat area-area ni jugak le..."Balas Melah, memperlahankan kereta ketika melalui
bonggol berbelang hitam kuning.
"Kayanya diorang. Rumah kat sini besar-besar...."Gumam Siti.
"Sini memang perumahan orang-orang kaya. Golongan elit...."Melah senyum.
"Siti takutlah Kak.....orang kaya mesti sombong..."Siti kebam bibir.Melah ketawa.
"Orang kaya ramai yang sombong. Tapi yang ni tak sombong langsung. Mak Ungku memang baik.
Family dia semua okay...." Balas Melah. Dipandangnya wajah Siti yang berkerut.
"Jangan risaulah. Akak kan ada."
"Tapi akak jauh. Bukannya duduk satu rumah pun..."
"Abang Jais kan selalu datang sini..."
"Emm....."Siti terdiam. Hatinya semakin berdebar. Tatkala Melah memberhentikan keretanya di
depan sebuah rumah besar, Siti pejamkan mata seketika . Dia rasa seperti bermimpi. Beginikah rasanya
orang yang baru mula bekerja?
"Jom, cepatlah turun..."Melah ketuk cermin kereta. Dia sudah pun berdiri di tepi kereta. Siti
mengeluh.Dia benar-benar rasa takut. Dia berjalan perlahan, lalu berdiri di samping
Melah,memerhatikan pagar besi berukiran perak itu mula bergerak. Terbuka sedikit demi sedikit. Macam
iklan yang pernah dia lihat di kaca tv suatu ketika dahulu. Tetapi yang ini saiznya dua kali ganda besar
lagi. Tidak mengeluarkan bunyi langsung.
Melah menarik tangan Siti. Dia dapat rasakan jemari adiknya itu dingin bagai ais. Melah
tersenyum. Dulu masa mula-mula Abang Jais bawa dia ke sini, dia juga seperti Siti. Seram sejuk dan
berdebar tak tentu pasal. Dia tidak pernah berhadapan dengan orang-orang mewah seperti ini. Sekali,
dia serba tak keruan. Dua kali, dia mula selesa. Hari-hari berikutnya, dia berasa senang setiap kali ke
rumah itu. Berbual-bual dengan Mak Ungku yang peramah dan rajin bercerita. Walaupun orang
berharta, mewah pula tetapi pergaulannya dengan orang-orang biasa sama saja. Tidak sombong atau
berlebihan.Mak Ungku seorang wanita yang terserlah sifat keibuannya. Sudah agakuzur tetapi masih
kuat semangat dan jarang mengeluh. Walaupun hampir saban hari terpaksa menghabiskan masa di
kerusi roda.
Seorang wanita muda muncul dari tepi rumah. Memakai uniform dan apron putih. Siti tersenyum
melihat pakaian wanita itu yang tak ubah seperti jururawat zaman 70-an.Kot-kot aku pun kena pakai
macam ni. Ishh!
"Ooo Ibu Melah sudah sampai...."Sapanya ramah. "Puan sudah lama tunggu di atas..."Melah
mengangguk. Wanita itu membuka pintu lalu mempersilakan mereka masuk.Sebaik melangkah, Siti
gamam seketika. Matanya terpana melihat keindahan rumah tersebut. Benar-benar mewah.Melihat
lampu kristal yang tergantung di siling ruang tersebut saja sudah membuatkan hatinya gerun. Agaknya
harga lampu ni saja boleh beli sebiji motor bapak! bisik hatinya.
"Ibu Melah bisa naik ke atas saja. Puan sudah tunggu di kamar bacanya." Wanita itu bersuara
sebaik mereka sampai di kepala tangga. Melah angguk sambil tersenyum. Dia tarik tangan Siti, ikut
sama menaiki tangga.
"Orang Indon ye kak?"Bisik Siti. Melah mengangguk.
"Itu Kartini. Dialah yang memasak untuk orang rumah ni."
"Nanti Siti kena pakai baju macam tu ke?"
"Tak tahu pulak akak. Agaknya kot!"
"Isshh...tak nak lah Siti. Kelakarlah pakai macam tu. Macam orang portugis zaman dulu..."Melah
ketawa kecil mendengar omelan Siti. "Takkan jaga budak pun nak pakai formal macam tu?"
"Habis, kalau dah disuruh, nak buat macamana. Ikut je la..."Siti muncung mendengar jawapan
kakaknya.
"Ini bilik bacaan Mak Ungku....biasanya mereka sekeluarga suka membaca di sini..."Melah
bersuara sebaik mereka sampai di depan pintu. Perlahan, dia mengetuk pintu. Ada suara menyahut dari
dalam sana, menyuruh mereka masuk.
Sekali lagi Siti terpegun. Rasa-rasanya, bilik bacaan tersebut tak ubah seperti perpustakaan di
sekolahnya. Cuma bilik ini agak kecil sedikit. Tetapi susunan buku-buku di setiap bahagian dinding
membuatkan ia kelihatan luas dan selesa. Seorang wanita berjubah kelihatan di tepi tingkap. Sedang
duduk membaca sesuatu sambil menikmati minuman. Dia menoleh dan tersenyum memandang mereka.
Bila dihampiri ternyata bukanlah jubah yang dipakai wanita itu, tetapi kain tebal yang diselubung ke
seluruh badan. Macam orang kesejukan di musim salji.
"Apa khabar Mak Ungku?"Sapa Melah seraya menyambut huluran tangan wanita itu. Wanita yang
dipanggil Mak Ungku itu ketawa kecil.
"Macam ni lah Melah. Sihat tak sihat, sakit pun tak sakit..."Melah ketawa sama.
"Senyap sunyi je rumah ni Mak Ungku. Mana diorang semua?"
"Emmm....Pak Amin baru kejap tadi hantar budak-budak tu ke sekolah.Lisa ke kelas. Wari
biasalah. Pagi-pagi lagi dah keluar. Ke mana ntah. Katanya ikut kawan pergi konvoi. Tak tahulah
makcik...."Mak Ungku menghampiri Siti.
"Ni ke Siti yang Melah dan Jais cerita hari tu?"Matanya tunak memandang Siti. Siti tersipu.
"A'ha..ni lah adik saya kat kampung tu, Mak Ungku. Siti Nuranis. Panggil Siti boleh, panggil Mek Ti
pun boleh. " Isshh akak ni! Nama glamour aku kat kampung pun dia pergi kepoh! Rengus Siti dalam
hati.
"Haa....muda lagi. Sebaya dengan Wari agaknya. Wari tahun ni masuk 24....."
"Saya 20 tahun, Mak Ungku.."Siti bersuara.
"Oo...lebih kurang Lisa la. Lisa tahun ni baru nak ambil SPM" Siti terangguk-angguk. "Habis tu,
datang sini, mak izinkan tak?"
"Mak izinkan. Lagipun bukannya lama sangat..."Siti tak tahu kata-katanya itu betul atau tidak.
Nak bercakap pun dia teragak-agak.
"Emm...memang tak lama. Anak makcik tengah berubat kat London. Makcik pun tak tahu berapa
lama mereka di sana. Mungkin sebulan dua. Jadi makcik minta, kalau Siti tak keberatan, Siti tolong jaga
cucu-cucu makcik yang dua orang tu. Makcik yakin Melah sudah ceritakan pada Siti..." Siti angguk lagi.
"Budak dua orang tu nakal sikit. Tapi dengar cakap. Cuma kat rumah ni tak ada orang nak tengoktengokkan.
Si Kartini tu datangnya pagi. Basuh kain, masak, kemas rumah. Petang dia balik semula.
Malam kadang-kadang Lisa pergi tuition. Kadang-kadang tak balik rumah. Ada study group dengan
kawan-kawan asrama dia. Si Wari pulak, memang tak lekat langsung kat rumah. Kalau tak pukul 12
memang tak nampak batang hidung. " Mak Ungku meneguk air seketika. Nampak seperti keletihan.
Uzur benar orang tua ni, bisik hati Siti.
"Makcik ni dah tak kuat nak jaga budak-budak. Kalau kaki ni tak sakit,tak apa jugak. Bila dah naik
atas, rasa malas benar nak turun bawah. Tak ada orang nak tolong pimpin. Lisa tu,nak ambil SPM. Dia
malas sikit nak jaga budak-budak tu...."Sambungnya lagi.
"Eh, kita turun bawahlah. Terperap kat dalam ni, tak bernafas...meh kita turun bawah..."Mak
Ungku tarik tangan Siti. Siti sedikit terkejut. Tapi diturutkan saja. Kerusi roda itu ditolak perlahan-lahan.
Sampai di tangga,Mak Ungku bangun perlahan-lahan. Dia masih boleh berjalan. Cuma tidaklah selancar
orang lain. Langkahnya mendengkot sedikit dan memerlukan sokongan orang lain. Melah memeluk
pinggang Mak Ungku sementara Siti mengampu bahu. Nasib baik tangga tidak terlalu tinggi. Mengah
juga Siti dibuatnya.
Dibawah rupanya terdapat sebuah lagi kerusi roda. Melah memimpin Mak Ungku duduk di kerusi
roda tersebut lalu menyorongnya ke luar rumah. Mereka sampai di laman rumah yang dipenuhi pokokpokok
bunga.Agak redup sedikit dan berangin. Di tengah laman ada kolam mandi yang airnya jernih.
Mata Siti terpaku memandang air kolam yang berkaca-kaca itu. Ahh....bahagianya hidup di dunia seperti
ini!
"Duduklah Siti, Melah..."Mak Ungku menunjuk ke arah kerusi batu berhampiran kolam renang. Siti
duduk di sisi Mak Ungku. Diperhatikan sekeliling laman tersebut. Terasa seperti berada dalam dunia lain.
Dia selalu menonton drama-drama televisyen yang memaparkan kehidupan seperti itu.Ada kolam
renang, ada kerusi batu, ada bunga-bungaan. Tak sangka hari ini, dia merasai semua itu!
"Kalau Siti setuju, Siti boleh terus tinggal di sini. Bilik Siti,makcik sudah suruh Kartini siapkan.
Nanti Kartini boleh tunjukkan. "Mak Ungku senyum pada Siti.
"Kartini....kartini..."Suaranya sedikit kuat, memanggil Kartini.
"Ya, Puan!"Kartini muncul tergesa-gesa dari dalam. Tangannya memegang sudip. Siti tersenyum
gelihati melihat gelagat wanita Indon itu.
"Tolong buat air ya. Kek yang Lisa beli semalam tolong keluarkan sekali..."Kartini mengangguk
"Hari ni, kamu masak apa?
"Emm...seperti yang Puan pesan malam tadi. Ayam dimasak lemak cili padi. Ikan terubuk harus
dibakar. Saya juga ada buat percal...."Mak Ungku terangguk-angguk.
"Ayam tu jangan dimasak semua. Separuh gorengkan untuk Didi dan Fifi.Dan telur goreng kicap
jangan lupa. Budak-budak tu memang suka sangat telur goreng kicap..."
"Bisa saja Puan..."Balas Kartini terangguk-angguk. Dia masuk semula ke dalam. Siti menelan liur.
Teringat perutnya yang berkeroncong sejak tadi. Lepas ni, dia nak makan banyak-banyak!
"Emm...Mak Ungku, rasanya saya tak boleh lama di sini. Saya masuk kerja setengah hari ni. Saya
ingat nakberansur dulu la..."Melah tiba-tiba bersuara.
"Eh, tunggulah kejap. Kita makan kat sini..."Mak Ungku menahan Melah yang sudah bersedia
untuk bangun.
"Dah pukul 10 ni, Mak Ungku. Nak balik ofis ni, paling tidak pukul 12 baru sampai. Saya gerak
dulu la Mak Ungku.."
"Minumlah dulu.....sekejap je lagi...."Mak Ungku tarik tangan Melah. Melah serba salah.
"Emm..iya la..."Akhirnya dia mengalah. Dia pandang Siti sejenak.
"Saya serahkan Siti ni pada Mak Ungku. Mak Ungku tolongla jaga dia ya.Kalau dia buat salah, Mak
Ungku nasihatkanlah dia. Kalau nak marah pun, marahlah..."Melah renung Mak Ungku. Mak Ungku
ketawa.
"Apa nak marah pulak. Siti ni kan dah besar. Dah pandai buat kerja.Lagipun jaga budak bukannya
payahbenar. Buat macam adik-adik jer..."Siti senyum mendengar kata-kata Mak Ungku. Ternyata wanita
separuh usia ini berhati lembut. Tutur katanya lunak. Benar kata Kak Melah.
"Siti pun, janganlah malu-malu kat rumah makcik ni. Rumah ni memang besar, tapi tak ada
orang. Kalau pagi-pagi macam ni memang senyap sunyi. Pukul 12 nanti, budak-budak tu balik,
haa...barulah meriah sikit."Mak Ungku tepuk bahu Siti. Siti mengiyakan.
Kartini muncul kembali menatang dulang berisi minuman. Siti memerhatikan gerak geri wanita itu.
Rasanya Kartini dalam lingkungan 30-an. Tubuhnya sedikit berisi tetapi kulitnya putih. Wajahnya agak
cantik juga. Rambutnya kerinting kasar di ikat dua macam budak-budak sekolah. Dulu, Siti juga selalu
tocang rambut begitu. Tocang ekor kuda.
"Minumlah Melah...Siti.."Pelawa Mak Ungku. Siti mengangkat gelas berisi air limau. Diteguknya
laju. Kak Melah juga minum. Tapi dia minum sedikit saja. Mungkin dia perlu bergegas untuk ke tempat
kerja.
"Terima kasihlah Mak Ungku. Saya nak gerak sekarang ni..."Melah hulur tangan. Mak Ungku
merengus.
"Melah ni selalu macam ni. Kalau datang rumah makcik, selalu nak balik cepat. Ajak makan sekali
pun tak nak....."Mak Ungku muncung. Melah ketawa. Dia tahu Mak Ungku memang begitu.
"Saya bukan tak nak terima pelawaan Mak Ungku tu. Saya cuma minta cuti setengah hari je. Lain
kali lah Mak Ungku ya..."Melah bangun. Siti turut bangun. Dia mengiringi Melah sehingga ke pintu
pagar.
"Bawak beg ni masuk dalam.."Melah keluarkan beg besar berisi pakaian Siti. "Akak nak pergi
kerja ni..."
"Kak...Siti takutlah......"
"Nak takut apa. Mak Ungku tu tak makan orang la. Siti tengok sendiri kan. Mak Ungku tu baik, tak
sombong.."Melah berdiri di depan Siti.
"Siti seganlah...."
"Emm....mula-mula segan. Lama-lama nanti ok la. Kesian Mak Ungku tu.Keadaan dia macam tu,
mana larat nak jaga cucu. Anak-anak dia pun dah besar panjang. Tak lekat kat rumah. Siti duduk je la
kat sini. Sementara budak-budak tu sekolah, Siti temankan Mak Ungku. Ajak dia berbual." Siti tarik
nafas panjang.
"Jaga perangai elok-elok tau. Jangan buat benda tak senonoh. Ingat, ni rumah orang. "
"Kalau diorang degil, Siti pukul-pukul aje....."
"Ishh....anak orang. Tak baik buat macam tu...."
"Ala...Kak La ni. Takkanlah orang nak buat macam tu. Nanti kena buang kerja pulak..."Siti
tersengih.
"Dah la....akak nak balik ni..."Siti mengangguk. Dia perhatikan saja Melah masuk ke kereta,
hidupkan enjin,kemudian kereta mula bergerak. Siti melambai sehingga kereta hilang dari pandangan.
Hatinya mula berdebar kembali. Dia tidak tahu apa yang hendak dibualkan dengan Mak Ungku nanti.
Perlahan-lahan dia menghampiri Mak Ungku. Wajah tenang itu di tatap.Mulutnya terkunci. Tidak
tahu apa yang harus ditanyakan. Mak Ungku seperti mengerti keadaan Siti. Dia tersenyum
"Siti takut ke?"Tanya Mak Ungku. Siti tersenyum malu.
"Apa yang nak ditakutkan. Makcik tak makan orang...."Mak Ungku ketawa.Siti tertawa sama. Rasa
debar mula mereda.
"Saya tak biasa duduk rumah orang Mak Ungku...."Balas Siti perlahan. Mak Ungku mengangguk.
"Melah kata, Siti ni anak manja. Mana pernah berenggang dengan emak.."Wajah Siti merona merah.Ah
Kak Melah ni, apa saja yang dia cerita pada Mak Ungku?
"Tak adalah Mak Ungku. Siti bukannya manja. Tapi sejak kecil memang duduk dengan mak. Tak
pernah pergi mana-mana. KL ni pun baru dua kali datang termasuk yang ini. Siti ni memang asal
kampung Mak Ungku" Siti merendah diri.
"Kampung pun banyak istimewanya Siti. Mak Ungku pun ada kampung kat Perak sana. Tapi dah
tak ada sapa-sapa kat sana. Lama dah tak balik. Sejak arwah suami makcik meninggal, makcik pulak
sakit macam ni,memang makcik tak pernah lagi ke sana.."Dia merenung jauh. Bagai mengingati masa
silam.
"Kadang-kadang rasa rindu juga pada kampung halaman...." Siti hanya menunduk.
"Makcik ni kalau boleh nak cerita banyak benda pada Siti, ,tapi tak apalah. Siti pun baru sampai.Lain
kalilah kita cerita panjang."Mak Ungku genggam jemari Siti.Terpancar sinaran kasih dari matanya. Siti
dapat rasakan. Hatinya tersentuh.
"Mari masuk. Makcik nak tunjukkan bilik Siti. Nanti bila Didi dan Fifi balik, boleh kita makan samasama.."
Siti bangun lalu menyorong kerusi roda masuk ke rumah.
"Didi dan Fifi tu nakal sikit. Biasalah budak-budak. Selalu nak bergaduh. Lisa memang tak tahan
dengan diorang tu. "Mak Ungku bercerita lagi. "Tapi diorang tu dengar kata.Kalau kita suruh makan, dia
makan. Kalau suruh mandi dia mandi. Suruh tidur lagi senang."Siti tergelak kecil."Saya tak ada adik
kecil, Mak Ungku. Anak Kak La sorang tu la anak saudara saya. Pernah juga merasa jaga budak kecil
masa Kak La berpantang dulu. Tapi tak adalah pandai sangat."
"Ala...Didi dan Fifi tu tak susah jaganya. Cuma nak ditengok-tengokkan makan pakai dia. Jadual
belajar dia....Kalau tak dikawal, memang main saja sepanjang hari..."
"Mari masuk. Makcik nak tunjukkan bilik Siti. Nanti bila Didi dan Fifi balik, boleh kita
Siti tergerak hati untuk bertanya lebih lanjut tentang anak Mak Ungku yang menghidapi barah itu. Tapi
hati Siti berbelah lagi. Dia takut kalau-kalau pertanyaannya itu nanti akan mengguris hati Mak Ungku.
Atau mungkin Mak Ungku akan beranggapan dia seorang yang suka mengambil tahu hal orang lain.
Banyak perkara yang hendak dia tanyakan, tapi lidahnya kelu.Wajarkah dia bertanya hal-hal keluarga
itu pada hari pertama bekerja? Rasanya tidak wajar. Tunggulah sehari dua lagi. Dia ingin bertanyakan
Mak Ungku tentang keluarganya. Tentang anak-anaknya,tentang cucu-cucunya. Tentang kakinya yang
separa lumpuh itu. Pasti Mak Ungku tidak keberatan menceritakannya.
"Kartini!" Panggil Mak Ungku sebaik mereka sampai di ruang tamu. Siti nampak Kartini berjalan
lenggang lengguk dari arah dapur.
"Ya, Puan..."Dia mendekati Mak Ungku.
"Tunjukkan Siti bilik tidurnya. Saya nak naik ke atas."Dia berpaling ke arah Siti pula. "Siti rehat
dulu ya. Makcik pun nak berehat sekejap. Orang tua macam makcik ni cepat saja letih. Nanti kita makan
sama-sama. Lepas makan kita boleh berbual lagi ya.."
"Mak Ungku nak naik sekarang ke?"Siti cepat-cepat memeluk pinggang Mak Ungku yang terkialkial
cuba berdiri. Siti cuba mengimbangi badannya agar tidak sama terdorong ke depan. Badan Mak
Ungku sedikit gempal, tidak setara dengan tenaga Siti. Tetapi dia cuba juga untuk mengampu orang tua
itu. Siti menoleh ke arah Kartini, tetapi wanita itu hanya memandang tanpa reaksi hendak menolong.
Hati Siti sedikit geram. Tapi mulutnya tidak mampu bersuara. Dia memimpin Mak Ungku perlahan-lahan
hingga sampai di atas.Setelah didudukkan di atas kerusi roda, Siti sorong pula hingga ke dalam bilik.
Bilik Mak Ungku begitu luas. Lengkap dengan set meja untuk bersantai dan juga televisyen untuk
menonton. Langsir yang beropol-ropol meredupkan suasana. Macam bilik pengantin! bisik hati Siti.Rasarasanya
bilik pengantin anak ketua kampungnya yang paling kaya itupun tidak setanding dengan bilik
Mak Ungku.
"Mak Ungku nak baring?"Tanya Siti.
"Eh, tak apalah Siti. Makcik boleh buat sendiri. Siti pergilah rehat dulu. Kalau nak mandi boleh
mandi,kalau nak makan boleh minta dengan Kartina.."Siti tersenyum. Baik hati betul orang tua ni!
Siti beredar dari bilik. Dia menuruni tangga lalu masuk ke ruang dapur. Ruang dapur juga luas. Di
luar sana ada set meja makan. Di ruang dapur juga ada meja makan tetapi kecil sedikit. Tertarik dia
melihat dinding yang dihiasi gambar buah-buahan. Kalau dia punya dapur secantik ini, pasti dia rajin
memasak tiap-tiap hari. Pagi petang siang malam! Siti sengih lagi. Dia menghampiri Kartina yang
sedang mengacau sesuatu di dalam periuk besar. Semerbak bau masakannya menusuk hidung.
"Kak Tini..."Tegur Siti. Kartini berpaling. Wajahnya berkerut sedikit memandang Siti.
"Mau apa kamu?"Tanyanya dalam loghat Indonesia.
"Emmm...bilik saya di mana? Boleh tunjukkan?"Balas Siti lambat-lambat. Dia berdiri tegak
menghadap Kartini.
"Apa kamu tidak nampak saya sedang perbuat apa? Nggak bisa tungguin saya?"Kartini merengus.
Dikecilkan api dapur lalu menuju ke sinki, membasuh tangan.
Siti terdiam sebentar. Aku salah cakap ke?
"Tadi Mak Ungku suruh Kak Tini tunjukkan. Saya tidak tahu di mana biliknya...."Siti bersuara lagi.
"Issh ... gaya apa kamu ini, terus-terusan nanyain saya."Dia sedikit meradang."Ayo cepat, saya
nggak punya banyak masa...!"
Kartini berjalan laju. Siti mengekori dari belakang. Geram juga dia melihat gelagat pembantu
rumah itu. Baru tanya sedikit, sudah mahu marah-marah. Aku tanya baik-baik, dia meradang pulak.
Cengil! gerutu Siti. Tapi dia hanya diam saja. Walaupun hatinya sakit ditengking begitu, tapi dia sedar
dia orang baru sedangkan Kartini sudah lama bekerja di situ. Jadi tidak wajar dia melawan kata-kata
wanita itu. Teringat dia akan pesanan emaknya. Tapi....kenapa Kartini tiba-tiba marah-marah begitu.
Tadi sewaktu mereka sampai,gayanya biasa-biasa saja. Nada suaranya juga agak lembut dan sopan.
"Nah, di sini kamar kamu." Kartini menunjuk ke arah pintu coklat yang tertulis perkataan
'WARINA'. Siti angkat beg besarnya lalu pintu bilik itu dibuka. Dia tercegat seketika di muka pintu.
Sedikit terkejut dia dengan keadaan bilik itu. Diperhatikannya satu persatu.
Bilik itu memang luas. Katilnya besar dan ada tiang pada setiap penjuru katil. Di satu sudut
terletak televisyen kecil yang menghala ke tingkap. Dari tingkap pula, terus menghadap kekolam
renang. Pemandangan di luar memang cantik. Agak redup melihat tumbuhan-tumbuhan hijau di luar
sana. Siti tersenyum lega. Walaupun bilik itu letaknya di tingkat bawah, tapi kedudukannya agak
tersorok dari pandangan kerana terlindung oleh tangga.
Siti berpaling untuk mengucapkan terima kasih kepada Kartini, tetapi wanita itu sudah tiada.
Sudah ke dapur agaknya, fikir Siti. Siti tutup pintu bilik lalu beg diletakkan di tepi katil. Sekejap lagi dia
akan kemaskan baju-bajunya.Dia buka pintu almari baju. Ada beberapa pasang baju tergantung di
dalamnya. Dia membelek belek helaian pakaian tersebut. Semuanya singkat-singkat belaka. Takkan
Kartini pakai baju macam ni pulak kot?...Siti kerut dahi. Baju Lisa agaknya....
Siti kembali ke katil. Direbahkan tubuhnya ke tilam. Dia tersenyum lebar. Seumur hidup rasanya
tidak pernah dia tidur di katil seempuk itu. Bagai tenggelam tubuhnya. Bilik orang gaji pun sebegini
besar, macamanalah agaknya bilik anak-anak Mak Ungku ya? Tentu lebih mewah lagi. Siti cuba
membayangkan. Kalau dia punya duit yang banyak, tentu dia dapat belikan katil secantik ini untuk emak
dan bapanya. Tak payahlah lagi emak merungut rungut setiap kali tulang belikatnya sengal-sengal
kerana tidur di katil uzur itu. Kesian mak! Bilalah agaknya aku dapat membahagiakan mereka? Siti
renung siling yang berukiran. Jauh sekali bezanya dengan atap rumahnya yang
bersawang.Tapi...secantik-cantik, semewah-mewah pun, bukannya rumah aku!. Rumah kat kampung
lagi seronok. Walaupun serba kekurangan,tetap memberi ketenangan. Buat apalah rumah besar kalau
hati tak seronok. Siti pejamkan matanya. Wajah Huzair pula yang tiba-tiba muncul. Dia bingkas bangun.
Rasa bersalah tiba-tiba bersarang dalam hati. Dia teringatkan lelaki itu. Apa agaknya perasaan Huzair
bila membaca surat terakhir dia itu? Kecewakah dia? Sakit hatikah? Mungkin Huzair tidak sekali-kali
menyangka dia akan diperlakukan sebegitu. Akan ditinggalkan begitu saja. Tapi..aku dah terangkan
semuanya dalam surat tu....hati kecil Siti berkata. Aku dah bagi alasan yang kukuh. Aku dapat kerja dan
ingin tinggal bersama Kak Melah. Huzair tiada hak untuk menghalang aku.
"Huzair...maafkan aku...."Keluh Siti perlahan. Dia kembali berbaring.Dipejamkan matanya rapatrapat.
Cuba menghapuskan bayangan Huzair. Dan akhirnya dia terlena.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 8
Dua wajah dihadapannya itu direnung lama. Mata mereka saling bertatapan. Lama kelamaan
senyuman mula terukir pada dua wajah itu. Siti tarik nafas lega. Wajah comel Didi dan Fifi bertukar
menjadi ceria.
"Nanti Kak Siti tolong jaga kita ke?"Didi mula bersuara. Siti angguk sambil senyum. Wajah Didi
bulat. Rambutnya lurus keperangan. Fifi pula rambut ikal panjang. Cantik macam rambut anak patung
yang selalu Siti lihat di kedai-kedai. Tapi wajah Fifi tidak seceria Didi. Anak kecil itu lebih banyak
menunduk sambil menyuap nasinya perlahan-lahan. Habis berterabur keliling pinggan.
"Kita tak pernah nampak Kak Siti pun. Kak Siti duduk mana?"Tanya Didi agi dengan mulut penuh.
"Kak Siti baru sampai pagi tadi....."Balas Siti.
"Abih tu, Kak Siti duduk mana?"
"Emmm.....Kak Siti duduk sini lah..."
"Dengan kita?"
"Dengan Didi dan Fifi lah....boleh tak?"
"Emm...boleh...tapi bilik kita kecik je......"
"Kak Siti tak tidur ngan Didi, Kak Siti tidur kat bilik bawah...."
"Ooo...kat bilik kak Rina....."
"Bilik sapa?"
"Bilik kak Rina...."Didi teguk air laju.
"Kak Rina tu siapa?"Siti beralih pada Fifi yang senyap sejak tadi.
"Kak Rina tu kawan Acik...."
Siti toleh ke arah anak tangga. Kartini kelihatan sedang memimpin Mak Ungku turun dari tanggga.
Cepat-cepat Siti basuh tangan dan bergegas menuju ke arah mereka. Niat hatinya untuk sama-sama
menolong. Tapi kelihatannya Kartini seperti tidak mengendahkan Siti. Dia mengerling dengan
pandangan kurang mesra. Siti bungkam seketika. Tetapi dipegangnya juga tangan Mak Ungku.
Perlahan-lahan jalan beriringan ke meja makan.
"Tadi saya masuk bilik Mak Ungku. Saya tengok Mak Ungku tengah tidur. Jadi saya tak
kejutkan..." Siti bersuara sebaik Mak Ungku melabuhkan punggung. Mak Ungku tersenyum.
Diperhatikan saja Kartini menyedukkan nasi ke dalam pinggannya. Wajahnya kelihatan segar selepas
bangun tidur.
"Tak apa, Siti. Biasanya Kartini yang kejutkan makcik untuk makan...."Siti angguk perlahan. Dia
beralih memandang Didi dan Fifi yang tekun menyuap. Anak-anak ini, tidaklah kelihatan nakal..bisik
hatinya.
"Emm...Didi, Fifi...dah kenal dengan Auntie Siti?"Mak Ungku pandang kedua-dua anak kecil itu.
"Dah!"Didi dan Fifi menjawab hampir serentak.
"Tadi Kak Siti yang cedukkan nasi kita...."Didi angkat kepala."Nanti Kak Siti jaga Didi ngan
Fifi....tul ke nek?"
"Emmm....Didi dan Fifi tak boleh nakal lagi lepas ni...." Mak Ungku usap kepala Didi.
"Mana ada nakal.....Didi kan baik....adik yang nakal...."
"Abang yang jahat....."Fifi terjerit kecil. Dia bangun, cuba memukul abangnya.
"Fifi...jangan pukul abang...abang kan tengah makan. Tak baik pukul orang tengah makan."Fifi
tidak jadi bangun. Dia kembali duduk dengan wajah muncung. Siti tersenyum.
"Budak-budak ni memang selalu nak bergaduh. Mana taknya.Si abangnya kuat menyakat. Adiknya
pulak cengeng... Pantang diusik...."Mak Ungku ketawa.
"Adik memang cengeng...."Didi menyampuk.
"Dah..dah...jangan kacau adik...."Mak Ungku tepuk bahu Didi. "Lepas makan ni, mandi ya
sayang....."Didi dah Fifi serentak mengangguk. Betul kata Mak Ungku. Mereka ni mendengar kata...
bisik hati Siti.
Selepas makan, Siti menemani mereka masuk ke dalam bilik. Sementara menunggu mereka
selesai mandi, Siti kemaskan bilik mereka yang bersepah. Buku-buku sekolah yang berterabur atas
meja disusun semula. Selimut dan cadar katil dilipat cantik-cantik. Anak-anak patung dan permainan
yang terselit di sana sini dimasukkan ke dalam kotak yang ada di situ. Penuh satu kotak barang
permainan mereka. Kemudian, dia keluarkan pakaian mereka untuk dipakai hari itu. Di letakkan di atas
katil.
"Fifi dah mandi?"Siti senyum pada Fifi yang baru keluar dari bilik air. Didi mengekori dari
belakang.
"Lepas ni, Kak Siti kena mandikan Fifi. Fifi tak reti mandi sendiri."Didi mengelap tubuhnya dengan
tuala.
"Iye ke? Kenapa tak cakap dengan Kak Siti tadi?"Siti dukung Fifi yang kesejukan.
"Selalu Mama mandikan Fifi .... "
"Emm...lepas ni, Kak Siti mandikan Fifi ye.."Siti cuit pipi Fifi yang tembam. Fifi tidak senyum. Dia
tersipu-sipu. Mungkin dia masih belum biasa dengan Siti.
"Dah...cepat pakai baju tu.."Siti hulurkan pakaian pada Didi. Kemudian dia pakaikan Fifi baju
gaunnya. Fifi tidak pula membantah. Siti sikatkan rambut dan sapu bedak pada pipi Fifi. Rambut ikalnya
yang basah dibiarkan lepas. Siti cium pipi anak kecil itu bertalu-talu. Dia geram melihat budak-budak
sekecil itu. Comel.
"Lepas ni, nak buat apa?"Siti tanya Didi. Dia memang tidak tahu jadual mereka berdua.
"Emm....tengok tv!"Didi terjerit riang.
"Tengok tv?emm.....betul ke Fifi?" Fifi geleng.
"Fifi boleh tengok tv...abang kena buat kerja sekolah.."Fifi bersuara.
"Mana ada. Abang tak ada kerja sekolah lah!!"Didi menjerit.
"Issh...janganlah jerit-jerit macam ni. Tak baik. Nanti nenek dengar. Jom kita turun. Didi, bawak
buku kerja sekali. Nanti Kak Siti tolong buat ye..."Siti keluar dari bilik sambil mendukung Fifi. Dia
tunggu Didi keluar dengan buku-bukunya. Kemudian mereka sama-sama turun ke bawah. Mak Ungku
sedang berehat di ruang tamu. Dia tersenyum memandang Siti.
"Dah mandikan budak-budak ni?"Siti angguk. Dia duduk di samping Mak Ungku sambil meriba Fifi.
Anak kecil itu terlentok di bahunya.
"Sejak Mamanya pergi ke London, Fifi selalu macam ni. Tak nak main. Makan pun tak banyak...."
"Dia rindukan Mama dia kut makcik..."
"Dia memang manja dengan Mamanya.....tapi sejak penyakit barahnya semakin teruk, tak dapat
dia nak luangkan masa dengan anak-anaknya. Didi tu dah besar. Dah boleh faham. Si Fifi ni...masih
tidur dengan Mama dia lagi..." Siti mengangguk.
"Di...tengok kat luar tu siapa yang datang?"Mak Ungku bersuara pada Didi yang leka menonton tv.
Didi segera bangun, terus berlari keluar. Siti terdengar bunyi enjin kereta berhenti di depan rumah.
"Nek....Acik balik!"Didi muncul tergesa-gesa. Fifi yang berada di pangkuan Siti terus terjun ke
bawah. Kanak-kanak itu tampak ceria benar.
"Yeh...Acik balik..."Fifi menjerit riang. Mak Ungku hanya menggeleng kepala.
"Diorang ni memang manja dengan Acik dia. Suka benar kalau Acik dia ada kat rumah..."Mak
Ungku bersuara. Siti hanya mengangguk. Sejurus kemudian, Didi dan Fifi kembali masuk ke rumah. Tapi
wajah mereka menjadi muram pula. Seorang lelaki muncul dari pintu memimpin kedua-dua kanakkanak
itu.
"Eh...Ma..."Lelaki itu sedikit terkejut. Dia toleh ke arah Siti pula.
"Kemana kau ni, Wari?"Mak Ungku pandang lelaki itu."Pagi-pagi lagi dah keluar...."
"Saya nak ke Langkawi ni, Ma..."Lelaki itu masuk. Seorang perempuan tiba-tiba muncul di tepi
pintu.
"Wari...cepat sikit. Diorang dah tunggu tu..."Dia terpandang Mak Ungku. "Eh..Mak Ungku...Mak
Ungku sihat?"Mak Ungku tidak menjawab. Dia hanya tersenyum.
"Ada apa ke Langkawi?"Tanya Mak Ungku.
"Emm..kitaorang konvoi ramai-ramai Ma...ke Kedah. Lepas tu, Ri ingat nak singgah Langkawi
kejap. Tak lama la Ma... 2-3 hari je..."Matanya mengerling Siti. Siti bungkam. Pada fikirannya lelaki itu
pasti anak Mak Ungku yang bernama Wari. Manakala perempuan yang tercegat tepi pintu itu teman
wanitanya. Sekejap-sekejap mata Siti mengerling pakaian wanita itu. Siti tidak pernah nampak orang
berpakaian seksi sebegitu. Di kampung mana ada orang pakai macam tu. Di bandar pun tidak ada
wanita Melayu yang berani berpakaian begitu. Selalu Siti tengok di televisyen saja.
"Nak pergi dengan Rina ker?"Mak Ungku tarik nafas. "Ala...ramai-ramai Ma. Bukan pergi berdua
je. Kawan-kawan Rina pun ikut sekali...."Wari bangun mendapatkan wanita yang dipanggil Rina itu.
"You tunggu sekejap ye. I nak pack baju...2 minutes!"Rina senyum manja. Didi dan Fifi sudah
duduk di sebelah Siti. Wajah kedua-dua mereka masam. Siti usap kepala kedua-dua kanak-kanak itu.
Dia tidak tahu kenapa mereka tiba-tiba senyap padahal sebentar tadi kelihatan begitu girang bila Acik
mereka balik.
Siti rasa tiba-tiba suasana menjadi sepi seketika. Mak Ungku hanya berdiam dan Siti sendiri tidak
tahu apa yang boleh dijadikan modal untuk berbicara. Wanita bernama Rina itu pula masih berdiri di tepi
pintu. Nampak keresahan. Agaknya dia rimas menunggu Wari. Padahal Siti rasa, tidaklah begitu lama
mereka baru sampai di situ.
"Kak...duduklah dulu.."Terpacul ayat itu dari bibir Siti tiba-tiba. Rina menoleh.
"Apa?"Dia angkat kening.
"Duduklah dulu...."Pelawa Siti sekali lagi.
"Emm..no thanks.."Balas Rina sambil tersenyum nipis. Siti rasakan betapa cantiknya wanita
bernama Rina itu. Cantik dan bergaya.
"Didi....kenapa senyap ni. Kata nak buat homework?"Siti cuit hidung Didi. Didi muncung.
"Tak ada keja sekolah!"Balasnya pendek.
"Betul? Takkan cikgu tak ada bagi langsung?"Siti cuba menduga.
"Betul....."Balasnya lambat-lambat.
"Ok, kalau betul....tak apa. Tapi kalau ada nanti...Kak Siti tak nak tolong..."
"Alaa..Kak Siti ni...sama macam Acik!"Didi merengus lalu turun dari sofa.
"Didi....nak pergi mana tu?"Mak Ungku bersuara.
"Nak amik buku....nak wat kerja sekolah...."Siti tersenyum gelihati.
"Pegi buat kat bilik komputer sana...."
"Tak nak....Didi nak buat kat sini aje....."Didi berlari-lari anak mencapai beg sekolahnya. "Dengan
Kak Siti"Beg diletakkan atas meja. Beberapa buah buku dikeluarkan..
"Ishh...budak ni....macamana nak belajar...tv depan mata..."Mak Ungku mengeluh. Siti ketawa
kecil.
Siti pandang ke anak tangga. Wari kelihatan tergesa-gesa menuruni tangga. Dua buah helmet
ber'visor' gelap tersangkut di lengannya. Berjaket hitam dan berkaca mata juga hitam, Siti akui anak
lelaki Mak Ungku itu punya wajah yang menarik. Walaupun ada sedikit garis-garis kesombongan pada
riak wajahnya. Tapi Siti akui, tidak patut dia menyimpan tanggapan yang bukan-bukan dengan hanya
sekali memandang. Wari duduk di sebelah Mak Ungku lalu menyarung stoking kakinya. Mak Ungku
pandang Wari tunak.
"Nak pergi juga ke Wari?"Tanya Mak Ungku perlahan. Wari mengangguk. Dipandangnya Siti yang
bertinggung tepi meja, sebelah Didi. "A'ha...Ma...."Balas Wari. "Ma jaga diri baik-baik ye..kalau ada
apa-apa hal suruh Lisa call handphone Ri..."Dikucupnya dahi ibunya lama. Siti hanya memerhati.
"Jangan bawa motor laju-laju Ri...."
"Mama janganlah risau. Bukannya baru ni Ri pergi konvoi macam ni..."Wari bangun. Dia hulurkan
helmet pada Rina.
"Emm....Ma, kereta Ri tinggalkan kat rumah. Jangan beri Lisa guna.."
"Didi...Fifi..Acik nak sayang sikit..."Wari dukung Fifi lalu diciumnya pipi anak kecil itu lama.
Meronta-ronta Fifi kelemasan.
"Nanti Acik balik, bawak kapal terbang ye....."
"Acik ni..asyik nak jalannnnnn.....ajelah..."Didi tiba-tiba menjerit. Wari ketawa. Dia cuba memeluk
Didi tapi Didi meronta-ronta minta dilepaskan.
"Acik nak sayang sikit le...."Pujuk Wari.
"Tak nak la....tak nak kawan dengan Acik..."Didi tolak dada Wari. Wari hampir-hampir tersungkur
ke belakang.
"Ooh.....tak nak kasi Acik sayang dia.....tak pe...Acik sayang orang lain le...."Wari bangun. Dia
mendapatkan Rina yang sudah tarik muka masam kerana lama menunggu.
"Acik asyik sayang Kak Rina ajer...."Didi bersuara perlahan sebaik Wari dan Rina beredar. Siti tarik
nafas panjang. Direnungnya wajah Didi lama. Kesian Didi. Patutlah dia mencuka. Siti jenguk kepala ke
luar. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana Rina boleh menunggang motor dengan skirt pendek
begitu.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 9
Selepas mengemas pakaiannya di dalam almari, Siti membersihkan dirinya dan mengambil
wuduk. Dia ingin solat Isyak awal-awal kerana bimbang akan tertidur nanti. Biasanya bila sudah
terlelap, dia rasa liat benar hendak bangun semula. Sebentar tadi dia sempat menjenguk Mak Ungku di
biliknya dan menyemak buku sekolah Didi. Fifi sudah terlena di sofa, hanya Didi saja yang tekun
menonton siri kegemarannya. Siti hanya membiarkan kerana dia tahu Didi sudah menyiapkan kerja
sekolahnya dan jam pun baru pukul 9 malam. Pukul 10 nanti dia akan suruh Didi masuk tidur. Itu yang
Mak Ungku pesan pada dia tadi.
Kartini jam 7 lagi sudah pulang. Makan malam terpaksalah Siti yang menghidangkan. Tapi
kerjanya tidaklah susah sangat kerana semua lauk pauk sudah disiapkan Kartini. Siti hanya
memanaskan dan membancuh minuman. Biasanya sebelah malam, hanya Didi dan Fifi saja yang
makan. Mak Ungku hanya minum milo panas dan roti bakar di biliknya. Terkocoh-kocoh Siti menyiapkan
roti bakar tadi. Dia tidak berapa mahir menggunakan alat pembakar roti itu. Dikampungnya tidak ada.
Nasib baik Didi membantu menunjukkan cara-caranya. Bila diingat-ingat Siti rasa gelihati pula. Anak
sekecil Didi pun tahu menggunakannya, tapi dia yang dah besar panjang masih terkial-kial. Tak moden
langsung!
Selesai solat, Siti ke ruang tamu lalu duduk di sisi Didi. Didi angkat kepala dan tersenyum. Dia
berganjak rapat kepada Siti lalu direbahkan kepalanya di ribaan Siti. Siti usap kepala anak kecil itu. Dia
dapat rasakan sentuhan itu membangkitkan satu perasaan halus dalam dirinya. Dia tidak punya adik.
Dan dia tidak pernah memanjai seorang adik. Terasa seperti satu pengalaman baru dalam hidupnya. Dia
dapat rasakan betapa Didi mungkin merindui belaian ibunya. Mungkin tiada sesiapa yang boleh
diharapkan buat masa ini untuk menggantikan kasih seorang ibu. Mak Ungku memang amat
menyayangi cucu-cucunya ini tapi dia sendiri tidak begitu sihat untuk melayan karenah mereka. Kartini
pula hanya menyiapkan urusan di dapur. Sebelah malam dia tidak ada untuk menemani. Wari pula,
seperti kata Mak Ungku, jarang benar lekat di rumah. Ada-ada saja aktiviti luarannya. Kadang-kadang
sampai 2-3 hari tidak balik ke rumah. Dan Mak Ungku sudah faham benar dengan perangai anak
bujangnya itu. Lisa pula menurut Mak Ungku, agak panas baran dan gemar menghabiskan masa di luar.
Tapi satu yang bagusnya tentang anak gadisnya itu ialah dia rajin dan bagus dalam pelajaran. Siti ingin
sekali melihat Lisa kerana sejak pagi tadi gadis itu tidak pulang-pulang lagi.
"Didi, nak minum susu ke?"Tanya Siti tiba-tiba. Didi mendongak lalu mengangguk.
"Lepas minum susu, masuk tidur ye!"
"Tapi cerita ni belum habis lagi.."Dia bangun.
"Okay..okay....lepas habis cerita ni, baru masuk tidur...."Didi tersengih lebar.
Siti ke dapur menyiapkan segelas susu. Diletakkan susu di atas meja depan tv. Kemudian dia naik
ke atas. Niat di hati untuk melihat Mak Ungku kalau-kalau dia perlukan sesuatu. Dia mengetuk pintu
tapi tiada sahutan. Perlahan-lahan tombol pintu di tarik. Cahaya lampu agak samar. Mak Ungku sedang
bersandar di kepala katil dengan mata terpejam. Nafasnya turun naik.
"Mak Ungku..."Siti menyentuh bahu orang tua itu. Mak Ungku buka mata.
"Mak Ungku tak apa-apa?"Takut juga Siti kalau-kalau dia mengganggu lena Mak Ungku.
"Didi dah tidur?"Tanya Mak Ungku perlahan.
"Belum, dia tengah tengok tv kat bawah.."Balas Siti.
"Lisa?"
"Emmm...Lisa belum balik lagi..."Siti gigit bibir. Mak Ungku tarik nafas panjang lalu dilepaskan
perlahan-lahan. "Lisa selalu sangat balik malam. Sekolah habis pukul 2, tapi tak pernah nak sampai
rumah awal..."Keluh Mak Ungku tiba-tiba.
"Wari pun bukannya nak ambik tahu hal adiknya. Asyik-asyik nak merayap......risau Mak Ungku...
"Siti diam.Dia tidak tahu apa yang hendak diperkata.
"Nasib baik ada Siti sekarang ni. Kalau tak kesian budak-budak tu, tak ada sapa nak tengokkan..."
Mak Ungku usap rambut Siti. Renungannya lembut masuk ke hati.
"Emm...kenapa Kartini tak tinggal terus di sini, Mak Ungku?"Tanya Siti.Mak Ungku diam seketika.
"Kalau dia tinggal di sini, boleh dia jaga budak-budak tu.."Sambung Siti lagi.
"Lisa dan Wari tak mahu Kartini tinggal di rumah ni. Sejak arwah ayah mereka meninggal,
memang kami tak ada pembantu rumah tetap. Kalau ada pun, cuma untuk masakkan makanan makcik
dan kemas rumah. Diorang tu bukannya selalu makan kat rumah. Tapi sekarang ni, bila anak makcik
Maria pindah ke sini, makcik kenalah cari orang untuk jaga anak-anak dia tu..." Siti angguk.
"Kak Maria tu kerja apa, Mak Ungku?"
"Anak makcik tu pengurus di syarikat arwah ayahnya. Bahagian kewangan. Makcik pun tak tahu
sangat. Suami makcik ada dua syarikat. Satu tu, suami Maria yang uruskan. Lagi satu tu, adik ipar
makcik tolong uruskan sebab si Wari tak nak jaga. Wari tu pandai. Belajar sampai ke luar negara, tapi
bila balik bukannya nak kerja. Merayap saja yang dia tahu..."Mak Ungku geleng kepala. Siti
terbayangkan wajah Wari.
"Makcik harapkan dia untuk uruskan syarikat ayahnya tu.Itu sajalah warisan keluarga makcik. Tapi
dah dekat 3 tahun dia habis belajar, kerja pun tak.....Nak harapkan Maria, dia pula sakit..."Siti tarik
nafas panjang. Sedih pula dia mendengar rintihan hati orang tua itu. Tapi apa yang boleh dia lakukan?
Paling tidak, hanya mendengar.
"Mak Ungku sabar je lah ye....kak Maria pasti sembuh...Siti dengar kat negeri omputih sana,
ramai doktor yang hebat-hebat..."Mak Ungku senyum.
"Pasal Didi dan Fifi, Mak Ungku janganlah risau. Siti boleh jaga mereka." Mak Ungku genggam
jemari Siti.
"Mak Ungku nak minum?"
"Tak apalah Siti. Perut makcik ni rasa penuh."Dia tepuk-tepuk perutnya yang buncit. Siti ketawa.
"Kalau gitu, Siti turun dulu la ye."Siti bangun, menuju ke tingkap yang terdedah. Patutlah sejuk!
bisik hatinya. Langsir tebal yang beropol-ropol itu ditarik ke dalam. Dia menjenguk keluar. Dari tingkap
boleh menghala terus ke pintu pagar. Pandangan Siti seketika tertancap ke pintu pagar. Ada bayangbayang
di situ. Bayangan dua susuk tubuh yang sedang berdiri. Lama Siti perhatikan. Dari cahaya
samar-samar kelihatan seorang gadis sedang berbual dengan seorang lelaki yang bertenggek di atas
motor. Lisa agaknya. Siti tutup kembali tingkap.
Selepas menyelimutkan Mak Ungku, Siti turun ke bawah mendapatkan Didi yang masih belum
tidur. Air susu masih tidak terusik. Siti menggeleng.
"Didi, kenapa tak minum susu tu, kan dah sejuk.."
"Oppsss"Didi tutup mulut."Lupalah Kak Siti...."Dia bergegas mendapatkan susu lalu meneguknya
laju. Gelihati Siti memerhatikannya.
"Jom masuk bilik. Akak nak angkat Fifi ni..."Siti membongkokkan badannya untuk memangku Fifi.
Sebaik Fifi berada dipangkuannya, pintu depan terbuka. Seorang gadis terpacul di muka pintu. Siti
terhenti. Pandangannya mereka bertembung. Berdebar juga hatinya melihat reaksi gadis itu.
"Dik Su.."Didi menjerit keriangan. Gadis itu masuk lalu mencium Didi.
"Didi tak tidur lagi?"
"Didi nak tidur la ni. Tunggu Kak Siti..."
"Awak ni siapa?"Lisa kembali memandang Siti. Wajahnya berkerut.
"Errr...Siti.."
"Siti Nurhaliza?"
"Err..bukan...Siti Nuranis..."Balas Siti perlahan.
"Apa awak buat kat sini?"
"Apalah Dik Su ni....Kak Siti jaga Didi dan Fifi laa...."Didi tarik tangan Lisa.
"Didi diam"Suara Lisa meninggi. Didi terdiam serta merta. Tangannya jatuh melorot dari
pegangan.
"Apa awak buat kat sini?"Sekali lagi dia bertanya.
"Ehhmm....saya datang untuk jaga Didi dan Fifi.....Mak Ungku yang..."
"Ohh.....nilah babysitter yang Mama cakap ari tu?"Lisa tersengih. Direbahkan tubuhnya di atas
sofa. Susuk tubuh Siti diperhatikan dari atas ke bawah.
"Bila awak datang?"
"Pagi tadi."
"Dari kampung?"Siti angguk. Dia berdiri tegak sambil memangku Fifi. Terasa lenguh tangannya
menampung tubuh anak kecil itu.
"Boleh ke awak jaga budak dua orang ni?"Lisa besarkan mata. Siti diam.
"Saya tanya, boleh ker awak jaga diorang ni?"
"InsyaAllah..boleh.."Balas Siti perlahan. Lisa bangun lalu ketawa tiba-tiba.
"Suka hati awak lah..."Dia capai kembali beg sandangnya yang dicampak atas sofa tadi. "Saya
nak masuk tidur. Awak layanlah diaorang ni. Didi, pegi masuk bilik.."
Lisa bergegas naik ke atas sambil bernyanyi-nyanyi kecil. Siti hanya
memerhatikan lagak gadis itu. Debar hatinya semakin menurun. Lisa, walaupun usianya lebih muda
darinya, tapi gayanya lebih dari itu. Tiada rasa hormat, bisik hati Siti. Tapi ini kali pertama aku
bertemunya. Tak patut aku anggap yang bukan-bukan tentang dirinya. Siti tarik nafas panjang. Dia
mula mendaki tangga. Didi disebelah mengekori sambil jarinya mengenggam hujung baju Siti. Kesian
anak kecil itu. Patutlah selalu kesunyian. Lisa sendiri jarang menghabiskan masa dengan mereka.
Siti membaringkan Fifi di atas katilnya. Kemudian dia memadamkan lampu besar. Menghidupkan
lampu kecil yang samar-samar. Jam loceng diletakkan bersebelahan katil Didi. Didi sudah boleh diharap
untuk bangun pagi, tetapi masih memerlukan bantuan jam loceng. Setelah mempastikan semuanya
berkeadaan baik, Siti keluar dari bilik. Dia juga ingin tidur cepat malam itu. Niat untuk menonton
televisyen dilupakan. Tiba-tiba dia berasa begitu sunyi berada di dalam rumah mewah itu. Tidak seronok
rasanya menonton seorang diri. Kalau di kampung, ada emaknya yang sama-sama menonton.
Sementara menunggu bapa pulang dari kedai, emak akan bersembang-sembang dengannya. Kadangkadang
dia akan buatkan jemput-jemput ikan bilis dengan air kopi untuk mereka makan bersama.
Walaupun hanya jemput-jemput, nikmatnya lebih terasa dari makan sedap-sedap seorang diri dirumah
besar ini.
Siti sedang menuruni tangga bila ada satu suara menegurnya. Dia berpaling. Lisa sudah siap
dengan baju tidurnya yang tipis. Terkejut Siti memandangnya.
"Tolong buatkan aku air."Lisa bersuara.
"Err....."Siti gamam.
"Buatkan aku air...."Lisa mendengus.
"Air apa, Lisa?"
"Neslo panas. Kau tahu tak buatnya macamana. Milo campur nescaffe.
"Siti angguk.
"Tak payah bawak naik atas. Awak letak je kat depan tv tu...."Dia berpaling untuk masuk ke bilik
semula.
Siti berjalan lambat-lambat. Tiba-tiba dia berasa sedih dengan apa yang dia alami untuk satu hari
itu. Manusia-manusia yang ditemuinya aneh-aneh sekali. Bersifat yang tidak dijangkakan. Kenapalah dia
harus berhadapan dengan situasi sebegitu. Kalaulah bukan kerana Huzair, rasanya dia tidak akan
sampai di situ. Kalau bukan kerana Huzair, tidak mungkin dia dengan senang hati menghambakan diri
pada dunia yang asing ini.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 10
Sudah seminggu Siti menjadi penghuni baru di rumah besar itu. Setiap pagi dia bangun awal
untuk siapkan bekalan Didi dan Fifi. Dia tidak harapkan Kartini untuk menyiapkannya kerana kadangkadang
Kartini juga lewat datang ke rumah. Pukul 7.30, Pak Amin akan menghantar Didi dan Fifi ke
sekolah. Waktu pagi, tidak banyak kerja yang boleh Siti lakukan. Selain dari mengemas bilik, dia akan
mencuci pakaiannya sendiri walaupun Kartini setiap pagi akan mengutip pakaian dari setiap bilik. Dia
tidak mahu meminta Kartini melakukannya kerana wanita seberang itu nampaknya tidaklah terlalu
peramah. Jarang benar mereka berbual walaupun kadang-kadang Siti sengaja menyibukkan dirinya di
dapur. Ingin juga dia menolong atau melihat-lihat cara Kartini memasak. Boleh juga dia belajar serba
sedikit. Tetapi sudah 2-3 hari Siti hampa. Kartini bagai tidak mengendahkannya. Terasa dirinya bagai
dibenci pula. Paling tidak dia akan memerapkan diri di bilik, ataupun main air di kolam. Hampir
tengahari barulah dia menjenguk Mak Ungku, kerana Kartini sudah mengingatkan dia awal-awal supaya
tidak mengganggu Mak Ungku pagi-pagi hari. Mak Ungku perlu waktu tidur yang panjang.
Pagi itu, Siti bercadang untuk menyiram pokok bunga di laman. Semalam, dia ada melihat Pak
Amin menyimpan penyodok tanah dan paip getah di belakang rumah. Sudah lama rasanya Siti tidak
bermain dengan bunga-bunga, Kalau di kampung, setiap hari dia akan menyiram bunga-bunga yang
ditanam emak. Sebelah pagi dan petang. Kadang-kadang dia suka-suka mencantas daun-daun yang
kering sampai naik togel bunga-bunga emak dibuatnya. Bising mulut emak bila melihat pokok-pokok
bunganya sudah tak merimbun.
Oleh kerana hari masih pagi lagi, Siti hanya mengikat sehelai 'key' di kepalanya bagi melindungi
cahaya. Tambahan, keadaan di taman depan kolam itu tidaklah terlalu panas kerana banyak pokokpokok
yang merimbun. Siti bertinggung di depan pasu bunga untuk menggembur tanah. Agak keras.
Mungkin Pak Amin tidak banyak masa untuk menggemburnya.
"Apa awak buat tu?"Satu suara kedengaran dibelakangnya. Siti sangkakan Pak Amin sudah pulang
dari menghantar Didi ke sekolah. Dia menoleh sekilas. Darahnya tersirap.
"Awak buat apa?"Sekali lagi dia bertanya. Siti gigit bibir. Dipandangnya Wari yang tercegat di
depannya. Apa dia buat kat sini? Bila masa dia balik?
"Err.....tak buat apa...tengok-tengokkan pokok-pokok ni aje..."Balas Siti lambat-lambat. Berpeluh
tangannya menggenggam penyodok tanah itu.
"Emm....ni kan kerja Pak Amin...biarlah dia yang buat..."Wari duduk di kerusi batu sambil
berpeluk tubuh. Dia masih berjaket tebal. Agaknya baru sampai, bisik hati Siti.
"Tak apalah....."Siti berganjak ke pasu lain yang lebih jauh. Dia tidak mahu Wari
memerhatikannya. Kekok rasanya.
"Pagi-pagi macam ni, tak tahu nak buat apa..."
Wari mengeluarkan sebatang rokok lalu disepit ke dua bibir. Matanya agak mengantuk, tetapi dia
bercadang untuk menghabiskan sebatang dua rokok dulu. Lepas ini dia ingin tidur sepuas-puasnya.
Letih memandu, ditambah dengan sakit hatinya sejak semalam. Kalaulah tidak kerana kejadian itu,
rasanya dia masih bersuka ria di Langkawi. Menghabiskan masa dengan bermandi manda, barbeku,
berpesta bersama yang lain-lain. Bukan mudah untuk mereka berkumpul beramai-ramai begitu. Dengan
gadis-gadisnya yang peramah-peramah belaka. Sudah lama dia tidak enjoy begitu.
Tapi semalam, dia bertekad untuk pulang saja. Walaupun ramai kawan-kawannya yang terkejut
dengan keputusannya, tapi dia malas hendak memanjangkan cerita. Lebih baik dia diam, dan cabut.
Masalah peribadinya, tak perlu dihebahkan kepada semua. Walau sedih pun, biarlah dia yang
menanggungnya sendiri. Dan semalam, dia nekad memandu seorang. Rina dibiarkan tinggal di sana
menghabiskan masa suka rianya. Balik nanti pandai-pandailah dia tumpang sesiapa.
Pelik Siti melihat Wari yang asyik termenung sejak tadi.Sambil asap tidak henti-henti keluar dari
mulut dan hidungnya. Asyik benar nampaknya anak muda itu melayan rokok tersebut. Nikmat sangat
agaknya! gerutu Siti. Dia mengemas perkakasnya. Malas dia hendak berlama-lama di situ. Kekok dan
segan. Dia tidak suka membuat kerja sambil diperhatikan begitu. Walaupun dia tahu Wari tampak
seperti mengelamun jauh, tapi kehadiran dia di situ pagi itu, mematikan semangat Siti untuk
meneruskan kerja. Biarlah Pak Amin saja yang buat kerja ni, Siti tergesa-gesa bangun. Dia membuka
ikatan 'key' nya lalu ditutup seluruh kepala. Dia sebenarnya segan juga kerana tidak bertudung di
rumah itu. Cepat-cepat dia masukkan perkakas dalam baldi kecil kemudian menggulung kembali paip
getah.
"Dah siap ke?"Wari tersedar dari lamunan bila Siti lalu di sebelahnya.
"Dah....."Balas Siti., terhenti langkahnya. Wari tersenyum sambil matanya memerhati sekeliling.
Tak berubah apa pun!
"Tak siram pun pokok bunga ni?"
"Kejap lagi Pak Amin akan siram..."Siti pandang ke pintu pagar. Pak Amin pun tak balik lagi. Hati
Siti gundah gulana berhadapan dengan lelaki ini. Dia malu dengan keadaan dirinya. Apalah anggapan
Wari terhadapku, bisik hati Siti.
"Emm.....siapa nama awak ek?"Siti agak terkejut dengan pertanyaan itu.
"Err...Siti..."
"Siti?"
"Siti Nuranis.."
"Awak datang sini untuk jaga Didi dan Fifi ye?"Siti angguk.
"Emm...mama ada cakap dulu. Baguslah....boleh awak tengok-tengokkan anak sedara saya tu.
Tolong sekali tengokkan mama saya....dia tak berapa sihat..."Wari bersuara lagi. Suaranya lemah saja
pada pendengaran Siti. Macam orang tak bermaya. Siti mengangguk. Dia melangkah semula bila
merasakan tiada lagi kata-kata yang akan keluar dari mulut lelaki itu. Sampai di dalam rumah, dia
menarik nafas lega. Niatnya untuk berkebun pagi itu, nampaknya terpaksa ditangguhkan. Entah kenapa
lelaki itu tiba-tiba muncul di laman. Padahal baru 2-3 hari lepas dia bertolak. Agaknya dia risaukan Mak
Ungku.
Siti mencuci mukanya yang sedikit berpeluh. Dia menjenguk sebentar ke dapur, tetapi Kartini
tidak kelihatan. Mungkin menyidai kain di belakang. Siti bercadang untuk naik bilik Mak Ungku. Teringin
pula dia hendak berbual-bual dengan orang tua itu. Seronok mendengar cerita tentang zaman mudanya,
tentang anak-anaknya, tentang arwah suaminya yang tak pernah lekang dari bibirnya. Setiap cerita
yang disampaikan pasti terselit nama arwah suaminya. Siti dapat rasakan betapa Mak Ungku amat
menyanjungi arwah suaminya itu. Siti juga diperlihatkan gambar-gambar peribadi Mak Ungku
sekeluarga. Sewaktu Lisa dan Wari kecil-kecil dulu. Memang mereka comel-comel belaka. Banyak
mewarisi ketampanan ayah mereka.
Dari cerita Mak Ungku, tahulah Siti serba sedikit salasiah keluarga itu. Mak Ungku asalnya orang
kaya keturunan kerabat dari negeri Perak, yang berkahwin dengan orang biasa, iaitu arwah Haji
Zainudin. Tapi kata Mak Ungku, cinta mereka begitu sukar untuk disatukan kerana perbezaan taraf.
Bertahun-tahun jugalah mereka mempertahankan cinta suci itu. Sampai Mak Ungku hampir putus asa
dan ingin berpisah saja. Tapi suaminya seorang yang cekal dan kuat semangat. Rajin bekerja dan
bercita-cita untuk memajukan diri. Walaupun pada peringkat awal hanya bekerja makan gaji, akhirnya
dengan bantuan Mak Ungku, mereka mula berniaga kecil-kecilan. Melihatkan keadaan itu, Mak Ungku
nekad berkahwin dengan Haji Zainudin. Memang agak susah kehidupan awalnya. Apalagi sejak kelahiran
Maria, pada waktu ekonomi rumahtangga mereka tidaklah begitu stabil. Tapi kelahiran anak membawa
rezeki. Haji Zainudin terpaksa berpisah sementara dengan Mak Ungku kerana berhijrah ke Kuala Lumpur
untuk mengembangkan perniagaannya. 3 tahun selepas itu barulah mereka berasa senang sedikit. Mak
Ungku membawa Maria ke Kuala Lumpur dan tinggal bahagia sehinggalah lahir Wari dan Lisa.
Perniagaan yang semakin berkembang membuatkan Haji Zainudin selalu keluar ke merata
tempat. Itulah yang terjadi sewaktu mereka kemalangan 8 tahun yang lalu. Perjalanan ke Pahang pada
suatu pagi yang indah berakhir dengan keperitan yang meninggalkan kesan selamanya pada Mak
Ungku. Kebetulan pula Mak Ungku ikut sama pada ketika itu, sedangkan pada hari-hari lain Mak Ungku
jarang menemani suaminya. Mungkin sudah ajal suaminya mati di ribaan. Apalah yang lebih memberi
trauma kepada seorang isteri sebaik mata dibuka, melihat kepala suami terlentok di kaki dalam keadaan
berlumuran darah begitu. Dan kaki yang menjadi saksi itulah yang dengkot sehingga kini.
Kesian Mak Ungku, bisik hati Siti. Bukan mudah untuk melupakan kengerian itu. Bertahun-tahun
dia menjadi murung dan menyepikan diri. Cadangan kaum keluarga agar dia menikah lagi, tidak pernah
diambil pusing. Bagaimana dia boleh melupakan suaminya? 10 tahun mereka mempertahan cinta
sebelum mendapat restu. 21 tahun menyulam bahagia seorang isteri, kemudian terpisah kerana tragedi.
Dalam masa setahun dia mahu berkahwin lagi? Mustahil, kata Mak Ungku. Dia tidak mahu berkahwin
sampai bila-bila. Bukan kerana kecacatan kakinya itu. Walau ditakdirkan dia sihat selepas kemalangan
itu pun, dia tidak akan menerima yang lain. Cinta pada arwah suaminya begitu utuh dan tak mungkin
dia lupakan sampai bila-bila.
Hai....bagaimana agaknya kisah cintaku nanti? Adakah seutuh cinta Mak Ungku pada suaminya?
Siti tersenyum sendiri. Dia tidak pernah bercinta dan tak pernah berniat untuk merasai kemanisan
bercinta. Entah. Hatinya tidak pernah terfikir untuk melalui itu. Perasaannya pada Huzair juga tidak
pernah wujud. Dia tidak pernah memuja atau mengkagumi lelaki itu. Cinta itu tak akan wujud. Dia
yakin.
Siti mengetuk pintu beberapa kali sebelum membukanya. Dia tahu Mak Ungku tidak akan marah
kalau dia masuk begitu. Selalunya Mak Ungkulah yang meminta dia agar kerap masuk ke bilik
menemaninya. Rajin dia bercerita dan Siti pula senang mendengarnya. Melayan Mak Ungku
mengingatkan dia pada emaknya di kampung. Baru seminggu, terasa begitu rindu. Kak Melah belum
lagi datang menjenguknya minggu itu. Hanya sekali dia menelefon beberapa hari lepas. Mungkin hujung
minggu ini dia dan Abang Jais akan bertandang.
"Siti.."Mak Ungku menegurnya. Siti menghampiri. Darahnya tersirap lagi. Di birai katil, seorang
lelaki sedang duduk di situ. Memerhatikan langkahnya.
"Duduklah sini...."Gamit Mak Ungku.
"Err...tak apalah Mak Ungku. Saya ingat Mak Ungku belum bangun lagi...."Siti teragak-agak.
"Si Wari ni yang kejutkan Mak Ungku tadi....."Mak Ungku tersenyum memerhatikan anak
bujangnya. "Mehlah minum sama..."
"Kalau macam tu, saya turun dululah Mak Ungku.."
"Ish..Siti meh sini, Mak Ungku ada hal nak cakap ni..."Hati Siti berdebar-debar. Aku ada buat
salah ke? Kot-kot Wari mengadu pasal aku tak habiskan kerja menyiram pagi tadi.
"Minggu depan, Mak Ungku cadang nak balik Perak."Mak Ungku bersuara."Siti ikut sama ye?"
"Saya?"Siti lihat Wari tersenyum.
"Makcik ingat nak buat kenduri arwah kat rumah pusaka suami makcik. Siti kenalah ikut sekali
sebab Didi dan Fifi pun makcik nak angkut sama..."Siti kebam bibir. Baru dia bercadang nak ikut Kak
Melah keluar berjalan.
"Kamu pun ikut sekali, Wari..."Mak Ungku beralih pandang pada Wari.
"Eh, saya tak boleh janji Ma. Mana tahu ada program lain nanti..."Wari menggeleng.
"Wari....ni baru sekali Mama bercadang nak buat tahlil kat kampung. Lama Ma tak jenguk ke
sana. Apa salahnya Wari ikut sekali?"Mak Ungku tarik nafas panjang.
"Kalau saya free, saya ikut Ma..."Mak Ungku menggeleng. Agaknya malas dia nak bertegang urat
dengan anak dia yang kaki jalan itu.
"Siti ikut sekali ye?"Siti mengangguk. Tak apalah. Sekurang-kurangnya dia dapat tengok negeri
orang. Kalau tak, bila masa lagi dia dapat jejak kaki ke Perak sana.
Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon dari celah poket Wari. Tergesa-gesa dia bangun menyeluk
seluarnya. Mukanya berkerut melihat nombor yang tertera pada telefom bimbit tersebut.
"Ha, you...nak apa?"Suara Wari tegas. Dia bangun menuju ke tepi tingkap. Mak Ungku
menggeleng melihat Wari.
"Suka hati you nak stay sampai bila-bila.It's not my responsibility!"Siti jadi gerun mendengar
suara Wari yang meninggi itu. Dia berganjak menghampiri Mak Ungku.
"Fine. I'm not interested. I tak ada kat rumah. Jangan datang!"Wari bergegas ke pintu lalu
menarik tombolnya dengan kasar. Sekali lagi Mak Ungku menggeleng. Mungkin sudah faham benar
dengan perangai anaknya itu. Dari dalam bilik, mereka masih dapat mendengar suara Wari yang
membentak-bentak di luar. Marah benar nampaknya dia.
"Mak Ungku nak turun bawah ke?"Siti bersuara, cuba mengurangkan ketegangan.
"Tak apalah Siti. Kejap lagi Mak Ungku turun. Wari ada, dia boleh bawa Mak Ungku.."Siti
mengangguk. Dia meminta diri untuk beredar. Lagipun dia kurang selesa dengan keadaan di situ. Takut
dia melihat Wari yang bertukar menjadi garang tiba-tiba. Siapalah yang dimarah sangat itu.
Siti membuka pintu dan menuju ke tangga. Sewaktu kakinya mencecah ke anak tanggga ke dua,
satu objek melayang betul-betul di depan matanya. Menyentuh pipinya lalu jatuh di hujung kaki. Siti
tidak sempat mengelak sewaktu dirasakan bahang panas itu menyentuh pipinya. Dilihatnya objek yang
berderai di hujung kaki. Telefon? Siti terkejut.
"Oh..shit!"Wari tergesa-gesa menghampiri Siti sehingga Siti terdorong ke belakang.
"Siti tak apa-apa?"Wari benar-benar cemas. Siti terdiam. Dia masih terkejut dengan keadaan itu.
Diperhatikan saja Wari yang terbongkok-bongkok mengutip serpihan telefon itu.
"Sori....saya tak sengaja!Sori..."Suaranya bergetar. Ada nada marah dan menyesal. Siti gosok
pipinya yang pedih. Nasib baik tak kena kat mata. Ganas betul lah lelaki ni! Telefon pun dibaling sesuka
hati. Nasib baik telefon, kalau pasu ker.....tv ker...pecah kepala aku! Gerutu Siti.
"Siti okay tak?"Tangan Wari menyentuh pipi Siti. Siti cepat-cepat mengelak. Rasa marah juga dia
pada lelaki itu. Kalau iye pun mengamuk, janganlah dijahanamkan telefon ini. Tahulah orang kaya!
"Tak pe...tak pe...."Siti menepis. Dia mula menuruni tangga.
"Siti.."Panggil Wari. Siti berpaling.
"Sori ye...saya tak bermaksud nak baling Siti tadi. Tak sengaja, tengah geram sangat."Wari
kerutkan dahi.
Iyelah tuh! tengah marah konon. Kau marah, bolehlah baling-baling telefon. Esok lusa boleh beli
yang baru. Aku ni marah, nak baling apa? Kalau dah panas sangat, kolam renang tu terbentang luas.
Terjun dan berendam je kat dalam tu! Hati Siti mendengus.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 11
Kesian gadis kecil itu. Tak pasal-pasal berjalur pipinya terkena balingan telefonku. Aku pun satu.
Kalau iya pun marah, buat apa telefon itu yang aku baling. Lebur RM1,200 sekelip mata. Tapi.....aku
betul-betul geram! Geram dengan Rina. Kerana perempuan itu, hancur telefon bimbitku, langsung tak
boleh diguna lagi. Kerana Rina, malu aku pada Siti!
Wari bangun dari katil. Di tebarkan pandangannya ke rimbunan pokok-pokok di laman. Cahaya
lampu samar-samar di tengah taman. Dia ingin turun ke bawah. Menikmati makan malam bersama Didi
dan Fifi. Hadiah yang dibeli di Langkawi untuk mereka berdua masih berbungkus di dalam beg besarnya.
Tapi dia rasa segan. Segan hendak berhadapan dengan Siti. Petang tadi waktu dia turun ke dapur, dia
nampak kesan merah pada pipi Siti sewaktu gadis itu sedang melayan Didi dan Fifi. Walaupun dia sudah
minta maaf, hatinya masih terselit rasa bersalah. Walaupun dia lihat Siti seperti biasa gayanya, tidak
menunjukkan tanda marah tapi dia pasti gadis itu tentu beranggapan yang bukan-bukan terhadap
dirinya. Pasti dia ingat aku ini lelaki panas baran yang tak reti nak control diri sendiri! Wari menggeleng
kepala.
Sakit hatinya pada Rina masih berbekas. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia marah sangat dengan
Rina. Bukan tidak pernah gadis itu melakukan perkara-perkara sedemikian. Sudah acapkali. Sudah
jenuh benar. Tapi kali ini betul-betul menaikkan darahnya. Dia sudah ingatkan Rina banyak kali. Jangan
biarkan dirinya sesuka hati ditarik, disentuh atau dipeluk begitu. Tapi Rina biarkan juga. Dia sudah
ingatkan juga Rina supaya jangan minum terlalu banyak. Tapi Rina lupa diri. Ditarik, dipeluk oleh manamana
lelaki dia masih dapat kawal diri. Tapi bila melihat Rina tidur sampai ke pagi dalam dakapan lelaki
lain, Wari sudah tidak sabar lagi. Pagi itu juga dia angkat kaki. Dia tidak peduli, walau dia sendiri masih
pening-pening lalat. Dia gagahkan diri memandu seorang diri.
Dan pagi ini, dia lepaskan kemarahan pada Siti. Kesian gadis itu. Bercalar di pipi. Ishh.....kejam
betul aku ni! Wari bingkas menarik beg besarnya. Dibuka zip beg lalu dikeluarkan bungkusanbungkusan
hadiah. Satu bungkusan kecil sebenarnya dibelikan khas buat Rina. Dia sengaja beli tanpa
pengetahuan gadis itu. Ingatkan nak buat surprise, tapi nampaknya aku yang surprise, gerutu Wari. Dia
terfikir untuk memberikan saja hadiah itu kepada Siti, Sebagai tanda minta maaf..apa salahnya.
Wari turun ke ruang makan mendapatkan Didi dan Fifi. Kedua-dua anak itu berteriak melihat
bungkusan hadiah yang dibawa. Didi segera bangun untuk mendapatkan hadiah tersebut.
"Didi.....habiskan makan dulu....Acik letak hadiah ni kat depan
.."Wari letakkan hadiah tersebut depan tv.
"Acik beli apa?"Didi kembali ke meja makan.
"Nanti Didi bukalah..tengok apa bendanya...."Wari menarik kerusi. Di jenguk ke dapur, tetapi tiada
kelibat Siti.
"Kak Siti mana?"Tanya Wari perlahan.
"Kak Siti bagi nenek makan..."Balas Didi."Nenek tak nak turun...."
"Banyak Kak Tini masak hari ni"Wari menyeduk lauk satu persatu.
"Yang ni Kak Tini masak...yang ni Kak Siti masak..."Didi menunjuk pada lauk yang terhidang.
"Iye?"Wari tersengih. "Macam sedap je!"
"Sedap!"Didi dan Fifi bersuara serentak.
"Kalau sedap makan banyak-banyak eh...."
Wari memulakan suapan. Rasanya sudah lama juga dia tidak makan di rumah. Biasanya waktuwaktu
begini dia sedang bersiap-siap untuk keluar. Dia lebih berselera makan di luar berbanding di
rumah. Sejak Mamanya sakit dan jarang memasak, Wari memang kurang makan di rumah. Entah
kenapa. Dia kurang berselera dengan masakan Kartini. Bukannya tidak sedap. Tetapi dia rindu dengan
masakan-masakan ala kampung yang selalu Mama masak dulu-dulu. Kartini kurang dalam bab itu.
Biasanya Kartini masak yang mudah-mudah untuk Didi dan Fifi. Sebab itu dia lebih suka makan di luar.
"Eh Abang!"Satu suara menegurnya. Wari berpaling. Melihat Lisa yang merah padam mukanya.
"Kau ke mana Lisa? Berpeluh-peluh macam ni, kena kejar anjing ker?"Lisa ketawa.
"Orang pegi jogging ler...."Balasnya lalu duduk di sebelah Wari.
"Malam-malam buta berjongging....."Wari menggeleng.
"Orang dah lama balik....orang lepak kat depan tu..."Lisa muncung. Dicuitnya cebisan ayam lalu
dimasukkan ke dalam mulut."Angin apa abang kat rumah ni? Biasa abang dah blah malam-malam
macam ni.."
"Kejap lagi abang nak keluar la ni...."
"Tak payah keluar la....ajar orang buat Add Math tue..."
"Ishh...malas abang. Kata pegi tuisyen tetiap hari....takkan tak reti nak buat sendiri?"Wari
mencedok nasi ke dalam pinggan.
"Pemalas lah abang ni...tak boleh harap!"Lisa bangun dari kerusi. Muncung.
"Suruh lah Kak Siti ajar....Kak Siti kan pandai..."Didi bersuara tiba-tiba. Lisa berpaling
memandang Didi. Dahinya berkerut.
"Kak Siti mana pandai. Dia ajar Didi boleh ler...."Kepala Didi diusapnya.
"Tu Kak Siti....pegilah tanya..."
Wari dan Lisa menoleh serentak. Siti terhenti langkah, menyedari pandangan Wari dan Lisa ke
arahnya. Dadanya mula berdebar-debar. Apasal diorang berdua ni, tengok aku semacam jer? Baju aku
koyak ker?
"Kak Siti, jomlah makan!"Didi berteriak. Siti tersipu-sipu. Dia rasa segan dengan Wari dan Lisa.
"Emm....Lisa tak makan sekali?"Lisa sedikit terkejut dengan pertanyaan Siti.
"Er..makan la dulu. Lisa nak naik atas..nak mandi...panas!"Lisa angkat kening. Siti jadi serba
salah. Takkan dia nak makan berdua dengan Wari. Walaupun budak dua orang itu ada, mereka
bukannya tahu apa-apa.
"Didi dan Fifi makan dulu ye.....Kak Siti nak cuci pinggan nenek ni...."Siti bersedia untuk
melangkah ke dapur. Dibawanya sekali pinggan kotor. Hatinya sedikit gembira bila Mak Ungku berselera
makan tadi. Habis juga nasi yang dibawanya.
Siti membersihkan ruang dapur yang agak berselerak sejak tadi. Sebentar tadi, bila Kartini
pulang, Siti cepat-cepat menyiapkan bahan untuk membuat gulai asam pedas. Sudah lama dia teragak
untuk makan asam pedas. Hendak minta Kartini yang masakkan, dia rasa segan. Lagipun dia tengok
bahan-bahan untuk memasak cukup di dalam peti ais. Ikan parang yang dia nampak pagi tadi
dikeluarkan awal-awal. Sudah siap disiang, tinggal dicampak dalam periuk saja. Dicampur juga dengan
ikan kembung dua tiga ekor. Biar senang budak-budak dua orang itu makan. Ikan parang banyak
tulang. Silap-silap boleh tercekik kalau asyik sangat makan.
Siti menoleh ke belakang bila dirasakan ada seseorang sedang berdiri di situ.
"Err..Siti.."Wari menghampiri. Siti kerut dahi pandang lelaki itu.
"Emm...ni ada barang untuk Siti. "Dia menghulurkan kotak kecil warna merah. Siti sedikit teragak.
"Untuk Siti ?"Wari angguk.
"Saya kalau ke mana-mana memang suka beli barang sebagai kenangan. Untuk Kartini pun
ada..." Wari telan liur. Dia rasa janggal pula. "Ni Siti punya....ambillah....emm...lagipun saya nak minta
maaf pasal pagi tadi..." Siti senyum.
"Kan...awak dah minta maaf tadi. Tapi...tak apalah..terima kasih.."Siti capai kotak kecil
itu."Terima kasih ye...."Wari tersenyum puas.
"Siti tak makan ke?"
"Ni..nak makan le ni..."Siti ketawa kecil lalu beredar meninggalkan Wari. Wari memandang Siti
dengan rasa lega. Dia harap pemberian hadiah itu dapat menebus silapnya pagi tadi.
**********************************************
"Eh..Kak Rina...masuklah.."Siti sedikit gamam memandang wanita tinggi lampai di depannya itu.
Pintu dikuak lebih besar. Rina segera masuk tanpa membuka kasut.
"Wari mana?"Tanyanya tanpa memandang Siti.
"Emm...dalam bilik.."Balas Siti perlahan. Dipandangnya gadis itu yang kelihatan buru-buru
melangkah. Wajahnya juga mencuka. Tiada secalit senyuman pun kelihatan.
Rina sudah menghilang ke atas. Mungkin ke bilik Wari. Siti bergegas ke ruang tamu. Mengemas
majalah-majalah yang berselerak atas meja. Rasa-rasanya majalah-majalah tersebut kepunyaan Lisa.
Kalau Kartini nampak, mesti bising mulutnya nanti. Tadi pagi saja Kartini sudah membebel bila lada
kisarnya sudah habis Siti gunakan malam tadi. Siti sudah janji untuk merebus cili kering dan
mengisarnya sebentar lagi. Kadang-kadang Siti tidak faham kenapa Kartini selalu marah-marah begitu.
Tak pernah dia hendak berlembut dengan aku! gerutu Siti.
Siti mendengar derap langkah di hujung tangga. Wari kelihatan turun tergesa-gesa. Dengan
seluar pendek dan singlet putih. Baru bangun tidur agaknya, fikir Siti. Rina di belakang mengekori.
"Ri.....listen to me first...."Rina menggapai tangannya. Cuba memaut lengan Wari. Wari langsung
tidak berpaling. Langkahnya laju, melintasi Siti yang terkebil-kebil memandang.
"I dah cakap, jangan datang rumah!"Suara Wari keras.
"So!...I called you banyak kali tau. Tak pernah dapat. I datanglah sini.."Rina mendengus.
"Tak payah call I lagi..."Wari berpaling.
"You marah sangat ni, kenapa?"
"You tanya kenapa? You tanyalah diri you sendiri"Jari telunjuknya diacu ke muka Rina. Rina
menepis.
"Kan I dah minta maaf. I'm so sorry, okay!"
"You selalu macam ni. Buat salah, lepas tu say sorry. And then you buat lagi. I dah muak peel you
ni!" Rina gelisah. Sekejap bercekak pinggang. Sekejap dia berpeluk tubuh. Setiap kali dia ingin
menyentuh tangan Wari, lelaki itu menepis.
"You pun join jugak malam tu, kan. Kenapa pulak you nak marah-marah? You pun sama aje,
Wari!"
"Tapi I tak over macam you, Rina. I tak tidur dengan betina kat sana!"
Siti pejamkan matanya. Dia tidak sanggup mendengar dan melihat pertelingkahan mereka. Rasa
malu pun ada. Lebih baik aku cabut dulu. Siti kumpulkan semua majalah dan letakkan di bawah meja.
Dia berjalan laju, melintasi mereka berdua. Dia sedar kerlingan mata Rina ketika dia lalu di depan gadis
itu.
Siti terus masuk ke bilik. Direbahkan tubuhnya ke atas katil. Lega rasanya selepas berjaya
melepaskan diri dari situasi tadi. Dia rasa ngeri. Tidak pernah dia melihat orang bertengkar dengan
menengking-nengking begitu. Satu rumah boleh dengar rasanya. Kalau masa bercinta sudah berani
tengking-tengking begitu, bagaimana bila sudah berkahwin nanti? Ishh...ngerinya nak kawin!
Pintu bilik terkuak tiba-tiba. Siti serta merta terbangun. Rina muncul dengan wajah merah padam.
Dia masuk tanpa menghiraukan Siti yang agak terkejut dengan tindakan gadis itu. Rina membuka
almari pakaian. Diselaknya pakaian yang tergantung dengan kasar. Sesekali dia merengus.
"Mana pegi semua baju I kat dalam ni?"Rina berpaling pada Siti. Siti segera bangun.
"Emm...baju yang pendek tu ker?"
"Iyelah...semua I simpan kat sini!"Balasnya keras.
"Ada kat sini...."Siti cepat-cepat buka laci kecil.
"Sapa suruh you lipat baju-baju ni?"Rina pandang Siti dengan mata terjengil. Siti kebam bibir.
Dadanya berdebar kencang.
"Rina, yang you marah budak tu buat apa?"Satu suara kedengaran di muka pintu. Wari tercegat
sambil bercekak pinggang.
"Baju I ni, I gantung elok-elok. Buat apa dilipat?"Rina tarik baju dari dalam laci.
"You ambik cepat, lepas tu you balik!"Suara Wari keras. Siti mengundurkan diri. Dia betul-betul
bingung dengan keadaan itu.
"You nak halau I, Wari? Dah lah bilik ni pun you bagi orang lain duduk. Sekarang, you halau I
pula?"
"Dah you yang nak ambil semua barang you, kan....."
"Ok...fine..."Rina mengendung baju-bajunya. Pintu almari dibiarkan terbuka luas. Dia berlalu
keluar tanpa menoleh lagi. Siti tarik nafas panjang. Badannya jadi seram sejuk. Dia memandang Wari
yang masih tercegat di muka pintu. Lelaki itu tersenyum tawar.
Siti kembali menutup pintu. Dia masih dapat mendengar suara mereka berdua yang lantang di
luar. Biarlah! Biarlah mereka bertekak sampai putus urat. Bukannya urusan aku!
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 12
Perjalanan pagi itu agak lancar. Selepas Subuh tadi, Siti sempat menggoreng cucur bilis untuk
dibuat bekalan. Selepas menyiapkan Didi dan Fifi dia membancuh kopi panas pula untuk disimpan dalam
termos. Boleh diminum bila-bila masa dalam perjalanan nanti. Beg pakaiannya awal-awal sudah
dimasukkan ke dalam Pajero milik Maria yang ditinggalkan di situ. Menurut Mak Ungku, kalau bertolak
pagi, mereka akan sampai di Perak sebelah tengahari. Jauh juga perjalanannya itu. Siti risau kalaukalau
dia mabuk nanti. Sebab itu dia sanggup sediakan bekalan untuk mengisi perut nanti.
Di luar, Wari sudah menunggu di tepi kereta. Lisa sudah terlentok di dalam Pajero. Pagi tadi dia
merungut-rungut kerana terpaksa bangun awal. Hari minggu, biasanya tengahari baru nampak batang
hidungnya. Didi dan Fifi kelihatan riang dan tak sabar-sabar hendak memulakan perjalanan. Mak Ungku
ceria melihat telatah cucu-cucunya itu. Dia rasa lega kerana Wari bersetuju untuk ikut sama. Tinggallah
Pak Amin seorang di rumah. Pak Amin tidak boleh ikut sama kerana perlu menjaga rumah selama 2 hari
itu. Kartini pula tidak mahu ikut serta walaupun sudah dipelawa Mak Ungku. Ingin istirehat, katanya.
Untunglah Kartini kerana minggu ini dia dapat cuti percuma.
Selepas menelefon Kak Melah dan emak di kampung, memaklumkan pemergiannya ke Perak, Siti
masuk ke dalam Pajero dan duduk di sebelah Mak Ungku. Mak Ungku menggenggam jemari Siti. Siti
rasa hiba tiba-tiba.
"Minggu depan, Makcik izinkan Siti balik kampung...."Mak Ungku bersuara perlahan.Siti
tersenyum kembali. Hampir sebulan dia menetap di rumah itu, rasa rindu pada kampung dan orang
tuanya semakin membuak. Dia tidak betah tinggal lama-lama di situ. Tapi apakan daya, mengenangkan
Mak Ungku yang baik hati, tak sampai hati dia nak mintak cuti balik kampung.
"Mak cik tahu....Siti dah rindu kat mak dan ayah Siti, kan?"Siti tersipu. Dia melemparkan
pandangan ke luar. Pagi yang hening. Masih belum banyak kenderaan yang lalu lalang.
"Rindu jugak Mak Ungku....saya mana pernah berjauhan lama macam ni..."Balas Siti kemudian.
Wari di depan memanjangkan lehernya. Dari cermin pandang, dia dapat melihat wajah Siti. Sesekali dia
mencuri pandang.
"Habis tu, dah bagitahu Kak Melah nak balik minggu depan? "Belum lagi Mak Ungku. Tak tahulah
Kak Melah nak balik sekali atau tak. Kalau Kak Melah tak balik pun, Siti boleh naik bas"
"Ish....buat apa naik bas. Jauh tu. Nanti Pak Amin boleh hantarkan. Tak pun Si Wari ni pun boleh
hantar kejap...."Siti terdiam seketika. Dia menyandarkan badan. Sesekali matanya terpandang cermin,
hatinya berdebar tiba-tiba. Renungan Wari tertangkap oleh matanya. Siti cepat-cepat alih pandangan.
Dalam perjalanan Siti terlelap seketika. Dia tersedar bila Pajero berhenti di satu kawasan
perhentian yang terdapat banyak kenderaan lain singgah di situ. Siti mengeliat. Dia memerhatikan
sekeliling. Wari tiada di dalam kereta. Lisa di luar melayan Didi dan Fifi. Mak Ungku juga tidak kelihatan.
"Mana Mak Ungku, Lisa?"Tanya Siti sebaik turun dari Pajero.
"Mama ke tandas.."Balas Lisa perlahan. Lemah saja suaranya. Mungkin masih mengantuk.
"Didi dan Fifi lapar tak?"Kedua-dua anak kecil itu menerpa ke arah Siti.
"Lapar!"Jawab mereka serentak. Siti mengerling jam di tangan. Hampir pukul 10. Dia
mengeluarkan air kopi dan cucur bilis yang di simpan dalam bakul.
"Meh la makan jemput-jemput ni, Lisa...."Siti gamit Lisa yang bersandar pada pintu Pajero.
Mulanya Lisa seperti keberatan, tetapi dia melangkah juga.
"Dah sejuk sikit...tapi boleh la buat alas perut..."Siti hulurkan bekas tupperware tersebut. Lisa
ambil sebiji lalu mengunyahnya perlahan. Dahinya berkerut-kerut.
"Fifi nak minum susu tak?"Fifi angguk kepala. Leka dia menikmati cucur bilis. Siti membancuh
susu perasa coklat kegemaran Fifi. Semua keperluan mereka telah Siti siapkan awal-awal tadi termasuk
air panas untuk membancuh susu.
"Kak Siti....."Siti toleh ke arah Lisa. Gadis itu tampak ragu-ragu.
"Lisa nak air kopi ni?"Siti hulurkan cawan plastik berisi kopi.
"Lisa minta maaf ye...kalau selama ni Lisa cakap kasar-kasar dengan kak Siti."Lisa telan liur
sambil memandang Siti sungguh-sungguh. Siti tersenyum.
"Mana ada Lisa cakap kasar dengan Kak Siti..."
"Selalu......"Balas Lisa perlahan. "Kak Siti mesti kecik hati..."
"Tak lah....kalau Kak Siti kecik hati, mesti Kak Siti tak tegur Lisa, kan?"Lisa senyum nipis.
"Tapi.....peel Lisa memang macam ni.....kasar sikit. Kak Siti jangan ambil hati ye?"Siti angguk
sambil tersenyum sama.
"Cucur kak Siti ni dah sejuk....tapi sedap!"Siti ketawa.
"Kalau sedap, makanlah lagi..."
"Memanglah nak makan, tapi...Lisa malu...Lisa selalu marah-marah Kak Siti...tapi bab
makan....Lisa balun pulak..."Lisa senyum malu. Dicapai sebiji cucur lagi.
"Itu nenek!"Didi menjerit tiba-tiba.Mereka sama-sama menoleh. Mak Ungku berjalan terdengkotdengkot
sambil dipimpin oleh Wari. Wajahnya kelihatan segar dipanah matahari pagi.
"Ma....minum dulu Ma..."Lisa hulurkan kopi kepada Mamanya."Ada cucur....Kak Siti buat.."Wari
tersengih.Dia ambil juga sebiji sebaik Lisa hulurkan ke arahnya. Wajah Siti dipandang sekilas. Entah
kenapa sejak pagi tadi, berlainan sungguh perasaannya setiap kali memandang wajah gadis itu.
"Nak gerak sekarang ke, Ma?"Wari bersuara tiba-tiba.
"Tunggulah budak-budak ni habis minum dulu.."Mak Ungku usap kepala Didi dan Fifi."Dah tak
jauh sangat ni. Pukul 11.30 boleh sampai ni..."Wari angguk.
Siti simpan kembali bakul ke dalam Pajero. Dia mendukung Fifi masuk ke dalam. Tak lama
kemudian, Pajero mula bergerak meninggalkan kawasan rehat tersebut. Siti rasa lega kerana dia tidak
berasa pening sepanjang perjalanan itu. Dapatlah dia menikmati perjalanan walaupun hanya
pemandangan yang sama sejak tadi. Sesekali mereka melewati kawasan perkampungan, Siti berasa
seronok sekali. Melihat rumah-rumah kayu di kiri kanan jalan, ingatannya segera ke kampung yang
telah sebulan dia tinggalkan. Minggu depan dia akan pulang juga walaupun Kak Melah tidak ikut sama.
Dia sanggup naik bas walaupun memakan masa yang lama. Dia sudah begitu rindu. Pada emak dan
abah, pada Murni dan Shidah. Juga pada Lonjang dan Conit! Siti tersengih sendiri. Seketika, wajah
Huzair pula menerpa. Menyapu semua wajah-wajah yang dia kenang tadi. Ishh!...Siti muncung.
Wari di depan menggeleng. Apa kena Siti ni? Sekejap tersenyum, sekejap muncung! Dia
membetulkan cermin pandang. Rimas dia asyik nak memandang ke belakang. Nanti mata ke mana,
kereta ke mana!
*********************************
Sebuah rumah kayu tersergam indah di laman rumput yang luas. Rumput yang menghijau dihiasi
pokok-pokok kertas bermacam warna. Di kiri kanan laman ada pokok-pokok rambutan yang sedang
berbunga lebat. Ada juga rimbunan pandan dan serai yang tumbuh subur. Di sebelah belakang pula
banyak pokok-pokok pisang yang berbuah lebat. Besar-besar tandannya seakan ingin menyembah bumi.
Tunggu masa saja untuk ditebang. Tak ubah macam kebun di belakang rumahnya.
"Cantik rumah ni, macam ada orang yang jaga..."Siti bersuara sewaktu menaiki tangga batu.
olongnya juga bersih, seolah disapu setiap hari. "Memang ada yang jaga pun...."Balas Wari tanpa di
duga. Mak Ungku tersenyum.
"Mak cik upah orang jaga rumah ni. Tu yang bersih je. Kalau tak dijaga, memang dah jadi hutan
belukar rumah ni, Siti.."Sambung Mak Ungku pula. "Mana pulak Pak Din ni? Mama dah bagitahu kita
sampai tengahari..."Mata Mak Ungku melilau ke sekeliling. "Kat kebun lagi tak, Ma.."Balas Wari,
memanjangkan leher. "Agaknya laa...ni Wari cuba bukak pintu ni....."Mak Ungku serahkan kunci pada
Wari. Nasib baik pintu boleh dibuka. Mereka masuk ke dalam rumah yang nampak kelam kerana semua
tingkat bertutup. Bahang panas mula terasa. Siti buka tingkat satu persatu. Udara mula masuk,
menjadikan suasana dingin sedikit. Siti duduk di kerusi rotan yang masih elok. Kemas tidak berhabuk
walau sudah ditinggal bertahun lamanya. Mungkin setiap hari Pak Din membersihkannya. Cuma
sebahagian perabut ditutup dengan kain putih.
"Tak berubah macam dulu jugak...."Mak Ungku berdiri tepi tingkap. Wajahnya bertukar menjadi
hiba. Mungkin dia terkenang kembali suatu ketika dahulu sewaktu mereka suami isteri masih menetap
di sini.
"Pokok rambutan yang Papa kamu tanam, dah berbunga pun...dulu masa kami tinggalkan rumah
ni, baru tumbuh tunas..."Mak Ungku mengesat pelupuk mata. Sedih pula Siti melihatnya. Wari dan Lisa
hanya diam mendengar keluhan Mama mereka.
"Kalau tak Pak Din yang jaga.....takkan menjadi jugak pokok-pokok tu...."Sambungnya lagi.
"Ma...jangan diri lama-lama sangat...."Lisa sorongkan kerusi roda yang baru dibawa turun oleh
Wari. Mak Ungku melabuhkan punggungnya. Wajahnya masih sayu.
"Bawa Mama masuk bilik, Lisa...."Lisa cepat-cepat sorong kerusi. Masuk ke bilik besar yang
langsir pintunya berwarna biru. Tinggal Siti dan Wari saja di ruang tamu itu. Didi dan Fifi masih di
laman, mungkin sedang seronok bermain di bawah pokok rambutan yang redup. Siti rasa janggal
dengan keadaan itu. Dia bergegas bangun, mencapai bakul dan beg besar lalu di bawa ke dapur. Ruang
dapur kecil, agak curam. Ngeri rasanya menuruni tangga kayu yang tinggi itu. Tapi periuk dan kuali
masih bersusun kemas. Juga tidak berhabuk. Tong gas juga ada. Mungkin Pak Din sudah siapkan
semuanya sejurus mengetahui kepulangan Mak Ungku sekeluarga.
Siti buka pintu dapur yang dibuat dari zink. Berkeriut bunyinya. Dia melebarkan pandangan ke
kebun pisang di belakang rumah. Geram dia melihat tandan pisang yang besar-besar melayut di
perdunya. Hampir-hampir menyembah bumi. Kalau di kampung mesti dah lama dicantas bapa. Pisang
nipah kuning yang besar-besar begitu kalau dibuat kerepek memang manis rasanya.
Siti berhasrat untuk meninjau-ninjau sekeliling kebun tersebut. Kebetulan ada selipar jepun lusuh
ditepi pintu. Segera disarungnya. Dia berjalan perlahan-lahan sambil memerhatikan sekeliling. Terhibur
hatinya melihat pokok-pokok cili, pokok kacang botol yang subur dan gemuk-gemuk buahnya. Subur
benar tanah di kawasan tersebut. Sesuai dibuat bercucuk tanam. Tentu Pak Din seorang yang rajin
berkebun. Kalau tidak, masakan pokok-pokok sayur tersebut boleh membesar dan berbuah lebat. Siti
belek-belek cili api yang memerah. Ada yang sudah kuning dan busuk tidak dipetik. Dan banyak pula
yang gugur ke bumi. Agaknya Pak Din tidak sempat mengutipnya. Mungkin dia sendiri punya kebun
yang perlu diuruskan. Petang nanti, kalau sempat, dia ingin minta izin Pak Din untuk petik cili-cili
tersebut. Ada lebih boleh dibawa balik ke KL. Sayang kalau dibiar layu begitu saja.
Siti terbongkok-bongkok di bawah pokok pisang yang menyenget itu. Sambil diperhatikan daun
pisang muda, kalau-kalau ada gulungan daun di celah-celah pelepahnya. Kalau dulu, masa kecil-kecil
suka benar dia mencari ulat daun pisang yang terdapat pada celah-celah daunnya yang bergulung.
Pantang nampak, dia akan cantas pelepah pisang. Koyakkan daun yang bergulung. Dikumpul banyakbanyak
sebelum di bawa ke belakang rumah Shidah. Disitulah ulat-ulat itu dikeluarkan dan disusun
banyak. Melentik-melentik ulat hijau berkepala hitam itu. Badannya yang bersalut bebenang warna putih
menguit-menguit bila dicuit. Di situlah mereka bina rumah tanah, jambatan batang pisang dan lubanglubang
kecil tempat laluan ulat-ulat tersebut.
Mereka gembira melihat ulat-ulat itu menguit-nguit bila terkena panahan matahari. Suka melihat
cairan hijau yang keluar dari badannya yang penyek dipijak. Issh....jahat betul aku masa tu! Siti
tersenyum sendiri. Macamana aku boleh berani sangat main ulat-ulat tu? Kalau sekarang ni campak kat
aku agaknya, pecut 100 meter le gamaknya. Siti terhenti seketika. Di hujung kakinya ada longkang kecil
yang mengalir air jernih. Merenek-renek airnya terkena sinaran mentari.
" !"Suara garau terdengar dari arah belakang. Siti terkejut, spontan dia berpaling.
Seorang anak muda, berkulit sawo matang tunak memandangnya. Di dahinya ada bintik-bintik peluh
yang halus.
"Awak ni, anak Makcik Latifah ker?"Siti masih gamam. Mulutnya terkumat kamit. Makcik Latifah?
Siapa pula?
"Anak Haji Zainudin?" Oh! Siti baru teringat.
"Bukan!....errr..saya bukan anak Mak Ungku..."Siti teragak-agak. Wajah lelaki itu berkerut.
"Habis tu, saya nampak awak keluar dari rumah Makcik Latifah tadi?"
"Ohh....eemmm...saya ni..."Siti garu kepala. Takkan aku nak cakap aku babysitter cucu Mak
Ungku!
"Tak apalah....saya tahu Makcik nak balik hari ni. Ayah saya yang bagitahu..."Lelaki itu
tersenyum." yah saya ada kat rumah tu...."
"Awak ni siapa?"Siti berganjak. Takut juga dia berhadapan lelaki yang tak dikenali itu.
"Saya Hadi, anak Pak Din.."Dia senyum lagi.
"Oh....anak Pak Din..."Siti tersenyum malu.Dia mula mengatur langkah. Dah lama sangat rasanya
dia di luar.Takut Mak Ungku tercari-cari.
"Awak nak balik ke?"Siti angguk. Hadi jalan sama.
"Siapa nama awak?"
"Emm..Siti...."
"Siti ....siti aje?"
"Siti Nuranis..."Siti kerling sekilas lelaki itu. Rambutnya ikalnya basah disimbahi peluh.
"Awak tidur sini ke malam ni?"Siti angguk.
"Iyelah....habis nak tidur mana pulak?"
"Tak adalah. Rumah Pakcik Zainudin ni dah lama kosong. Baguslah kalau awak tidur di sini..."
"Mak Ungku memang nak bermalam di sini. Malam ni kan ada kenduri tahlil?"Hadi teranggukangguk.
"Ayah saya dah jemput orang-orang kampung. Barang-barang untuk masak pun dah siap. Petang
nanti dalam pukul 2 saya hantarlah barang-barang dapur."Siti senyum nipis. Peramah betul mamat ni!
Aku tak tanya pun, dia sibuk bercerita.
"Pokok-pokok pisang tu, ayah awak ke yang tanam?"Hadi tersenyum lebar. "Ayah saya yang
tanam. Tanah belakang tu luas sangat. Sayang kalau dibiar bersemak. Sebab tu ayah tanam pisang,
rambutan, sayur. Ada jugak hasilnya...."
"Rajin ayah awak ye.."Hadi ketawa.
"Orang kampung memang macam ni la, Siti. Kerja sendiri. Tanam sayur, berkebun....."Perbualan
mereka terhenti sebaik mereka sampai di laman rumah. Ada sebuah motor kapcai di tepi tangga. Motor
Pakcik Din agaknya, fikir Siti. Siti dan Hadi naik ke atas rumah.
"Siti ke mana?"Mak Ungku bersuara sebaik Siti masuk ke dalam.Tersipu-sipu Siti dibuatnya
Apalagi Wari dan Lisa juga ada di situ. Semua mata memandang ke arahnya dan Hadi.
"Saya kat belakang tadi, Mak Ungku. Tengok-tengok kebun pisang. Terjumpa Hadi, anak Pakcik
Din ni.."Balas Siti lalu duduk di sebelah Mak Ungku.
"Ni Pakcik Din, ayah si Hadi ni...."Lelaki tua bermisai lebat itu tersenyum. Bersih wajahnya
walaupun urat-urat sudah berselirat di setiap tubuh. Siti bersalaman dengan lelaki itu.
"Petang ni bolehlah kita gotong royong masak lauk. Barang-barang semua dah siap tu.."Pak Din
bersuara sambil ketawa.
"Terima kasih lah Pak Din sebab susah-susah siapkan semua ni..."Mak Ungku bersuara perlahan.
Wajah sayunya mula kelihatan.
"Apa yang susahnya..Ungku..bukannya selalu Ungku balik. Ni...nak dekat 10 tahun baru nampak
muka. Sesekali balik apa salahnya kita buat kenduri besar sikit..."Pak Din tarik nafas. "Lagipun...saya ni
memegang amanat Zainudin....rumah ni rumah pusaka, kenalah dijaga..."
"Kalau boleh saya nak duduk terus di sini, Pak Din. Tapi Pak Din tahulah....perniagaan arwah kat
KL tu....kena ditengok-tengokkan jugak..."Pakcik Din mengangguk tersenyum.
"Tak apalah Ungku. Selagi hayat saya, bolehlah saya jaga rumah ni. Esok lusa kang, anak saya
Hadi ni pulak jadi pewarisnya...."
Hadi tersenyum manis. Walaupun kulitnya agak gelap sedikit, tapi wajahnya yang manis,
menyejukkan pandangan. Saling tak tumpah wajah Pakcik Din yang bersih itu. Melihat wajah Hadi, Siti
terkenangkan kawan-kawan sekampungnya. Begitulah perwatakannya. Serba sederhana.
******************************************
Kenduri tahlil selesai hampir pukul 10 malam. Orang-orang kampung sudah mula beredar setelah
menjamah hidangan. Mak Ungku cukup gembira dan bersyukur dengan kehadiran orang-orang
kampung. Walaupun Mak Ungku jarang benar balik ke situ, tetapi orang-orang kampung tetap
menghormati dia. Masih mengingati arwah suaminya. Jiran-jiran terdekat juga ringan tangan samasama
memasak lauk pauk dan mengemas pinggan mangkuk. Semuanya berjalan dengan lancar.
Siti masih lagi belum selesai mencuci pinggan. Banyak lagi periuk belanga yang belum digosok.
Lenguh pinggangnya mencangkung tepi paip di luar rumah. Lisa yang tadi ada bersamanya sudah tidak
kelihatan. Mana peginya budak ni? Curi tulang agaknya! Siti merengus. Dia menyingsing lengan baju
kurungnya tinggi-tinggi. Sudah basah separuh.
"Banyak lagi ker yang nak dibasuh?"Satu suara menegur. Siti mendongak. Wajah Hadi samarsamar
dalam kegelapan malam itu.
"Banyak...."Balas Siti lemah.
"Kesian...mehlah saya tolong.."Hadi pula menyingsing lengan baju melayunya.
"Eh, tak apalah. Awak balik lah dulu..."
"Tak apa. Biar saya habiskan. Periuk ni biar saya yang basuh. Siti tolong bilas aje..."Siti
tersenyum. Dalam hati dia sedikit lega. Bolehlah dia tarik nafas sekejap. Baik hati betul si Hadi ni.
Dahlah peramah, ringan tulang pulak tu. Nak harapkan Wari, ntah mana dia pegi. Dari tadi tak nampak
batang hidung!
Wari yang berdiri di muka pintu, terhenti langkahnya. Pinggan kotor di tangannya dipegang kejap.
Pandangannya tertancap pada dua susuk tubuh di pili air. Hatinya jadi tawar. Semangatnya yang
berkobar-kobar sebentar tadi padam tiba-tiba. Dia masuk semula ke rumah. Tak sanggup dia melihat
kemesraan yang telah berputik itu.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 13
"Mek Ti!!!!!"Dua tubuh itu menerpa ke arahnya. Siti terdorong ke belakang, cuba mengimbangi
badannya dari jatuh.
"Wei, korang nih!"Siti terjerit. "Lemas aku!"
"Bila kau balik Mek Ti?"Shidah melepaskan pelukan. Murni di sebelah tersengih lebar. Siti menarik
nafas panjang. Semput dia dibuatnya. Wajah dua teman baiknya itu dipandang silih berganti.
"Pagi tadi!"Siti senyum.
"Kau balik sorang ke? Naik bas?"
"Taklah...dengan akak aku....dia mana kasi aku naik bas...."Shidah dan Murni tarik tangan Siti
duduk atas pangkin bawah pokok buah saga.
"Ingatkan tak nak balik sini lagi...."Murni bersuara pula.
"Eh, apa pulak. Kalau boleh tiap-tiap minggu aku nak balik tau. Tapi, mana boleh. Ini pun bos aku
baik hati kasi cuti."
"Hari minggu kan hari cuti. Nak balik tiap-tiap minggu pun boleh, kan."Shidah mendengus.
"Macamana kerja kau, best tak?" Siti telan liur. Bab ni yang dia malas nak jawab.
"Kerja aku biasa jer......."Balasnya perlahan.
"Mesti best kerja kat ofis besar. Pakai cantik-cantik. Tengok baju dia ni...ni mesti baju baru...."
"Mana ada!"Siti geleng kepala. Baju ni Lisa yang bagi dia sebelum dia bertolak balik semalam.
Entah apa angin gadis itu, tiba-tiba dia bersungguh-sungguh minta Siti ambil saja baju tersebut.
Katanya baju itu sudah lama tak dipakai. Daripada disimpan, baik diserahkan kepada orang lain.
"Mesti gaji kau besar, kan Siti?"Murni menyampuk.
"Tak adalah.....gaji aku kecik jer...nantilah kalau ada masa aku belanja korang makan eh. Tapi
sekarang ni kita citer pasal lain pulak. Aku malaslah nak citer pasal keja aku tu.."Dengus Siti. Dia
bangun dari pangkin. Berjalan mundar mandir di depan Shidah dan Murni. "Ala..Mek Ti...kitaorang nak
tahu juga kau duduk KL tu macamana...best ker tak best. Pakwe-pakwe kat sana hensem-hensem
tak?"Siti ketawa. Manalah ada pakwe sangat. Paling tak pun si Wari saja yang dia jumpa. Lainlah kalau
dia ke sana ke mari. Mesti ramai lelaki yang dia temui. "Kau jumpa pakwe baru, meranalah Huzair..
"Siti telan liur. Mendengar nama Huzair hatinya mula berdebar. Dia tidak nampak kelibat Huzair di
padang petang itu. Kemana dia? Masih adakah lagi dia di kampung ini?
"Huzair...mana?"Tanya Siti perlahan. Ditebarkan pandangannya ke tengah padang. Beberapa
susuk tubuh terkinja-kinja mengejar bola sesama sendiri. Tidak pula terlihat Huzair. Siti paling kenal
susuk tubuh lelaki itu. Tegap dan sasa, jauh beza dengan saiz budak-budak kampung. Dan kulitnya yang
putih kemerahan itu terlihat jelas setiap kali dia bermandikan peluh.
"Zair dah balik KL..."Shidah turut bangun. Rambutnya yang lurus itu berkibar-kibar di tiup angin
petang.
"Balik KL?"Siti gigit bibir. "Bila?"
"2-3 hari lepas kau bertolak ke KL, dia pun pergi sama."Balas Shidah lagi. "Kesian dia....lain
macam je aku tengok. Apa yang berlaku antara korang ha, Siti?"
"Emm...tak ada apa-apa. "Siti geleng kepala."Dia ada cakap dengan aku dia nak kerja kat KL."
Itupun kalau aku terima pinangan dia dulu! Siti tarik nafas panjang. Tapi aku dah tolak. Dia pergi KL nak
cari aku ker? Isssh....mustahil. Bukankah mak ayah dia ada di KL. Buat apa dia susah payah nak cari
aku. Lagipun dia bukan tahu aku kerja di mana. Mungkin dia betul-betul nak mencari kerja di sana.
Siapa tahu?
Dia tahu Huzair kecewa, mungkin. Tapi itu semua bukan salah dia. Dia tidak pernah menganggap
lelaki itu lebih dari sepatutnya. Huzair saja yang punya perasan itu. Tapi tidak dia. Jadi, salahkah dia
kiranya menolak hasrat murni Huzair itu. Rasanya tidak. Dia ada hak. Hak untuk memilih jalan hidupnya
sendiri. Kalau ditakdirkan jodohnya dengan Huzair pun, dia boleh terima, tetapi bukan buat masa ini.
Dia terlalu muda untuk melalui semua itu. Dan Wari?
Tempohari, selepas balik dari Perak, lelaki itu menghilang diri. Hampir 2-3 hari lamanya. Lisa kata
mungkin dia ke rumah Rina. Buat apa? Bukankah mereka baru lepas bertengkar beberapa hari yang
lepas. Adakah Wari bermalam di sana? Adakah itu memang cara hidup mereka. Atau mereka sudah
berbaik-baik semula.
Kenapa dia harus mengambil tahu. Semua itu tidak ada kaitan dengan dirinya. Tapi dia selalu
memikirkannya. Kenapa ya? Kadang-kadang dia merasakan dirinya begitu tidak adil. Dia cuba menjauhi
Huzair dengan alasan dirinya belum bersedia, belum layak untuk melalui semua itu. Tapi dalam masa
yang sama, hatinya sering berkata-kata. Berkata-kata tentang lelaki lain. Tentang Wari.
Kenapa aku jadi begini??
"Siti!"Siti tergegau. Didongakkan wajahnya. Wajah Kak Melah nampak berbalam.
"Apa duduk dalam gelap ni?"Suis lampu dipetik. Siti mengesat pelupuk matanya. "Petang tadi
pergi mana?"
"Jumpa Shidah dan Murni..."Balas Siti perlahan. Dia bangun, mencapai tualanya.
"Huzair?"
"Issh..akak ni!"Siti merengus. Melah ketawa.
"Siti kemaskan dulu baju. Esok kita balik pagi...."
"Kenapa nak balik pagi pulak kak....kata balik petang...."
"Malam Mak Ungku nak amik anak dia kat airport...."Balas Melah sambil tangan pantas menutup
tingkap satu persatu.
"Maria?"
"Maria balik malam ni. Baru tadi dapat tahu...."
"Pembedahan dia tu dah habis ye, kak?"
"Agaknya.....dah sebulan.....takkan tak siap lagi...."Siti senyum tawar. Maria dah balik, bernama
tugasnya akan berakhir pada bila-bila masa. Bermakna dia akan pulang ke kampung semula. Menjadi
seperti dulu-dulu. Bermakna dia tidak akan bertemu lagi anak-anak kecil itu. Mak Ungku, Lisa dan.....
.Wari.
****************************************************
"Kenapa dengan aku ni?"
Wari bingkas dari katil. Dia menjengah ke tingkap. Tiada apa-apa yang menarik perhatian. Hanya
kesuraman malam disinari lampu neon keliling kolam. Wari menarik nafas panjang. Ditebarkan
pandangannya. Malam minggu begini alangkah seronoknya dapat berlibur bersama teman-teman.
Seperti yang selalu dia lakukan. Mengunjungi pub-pub yang sentiasa dipenuhi manusia-manusia yang
kehausan. Kehausan hiburan. Atau menghabiskan masa sepanjang malam bersama Rina. Menghadiri
pesta atau makan-makan. Ahh...Rina! Gadis itu terlalu mudah untuk ditewaskan. Cukup dengan sebotol
minuman dan belanja makan, dampingilah dia sepanjang malam. Walau dengan aku, atau lain-lain
jantan! Wari kertap bibir. Bayangan dua susuk tubuh yang terdampar di sofa malam itu bukan mudah
untuk dia lupakan. Walau hanya di atas sofa!
Rina mabuk malam itu. Dia tahu. Dia juga sudah pening-pening lalat. Dia tidak sedar apa-apa
saat dia tersembam atas lantai itu. Dan biarkan Rina bersama-sama lelaki lain.
"Ri, you pun mabuk malam tu. You pun tidur ramai-ramai dengan betina-betina lain!"Jerit Rina,
tidak dapat mengawal perasaannya. "So, apa yang you nak marah sangat!"
"I, tak tidur dengan siapa-siapa. Even dengan you sekalipun I tak pernah, isn't it? Apa lagi dengan
perempuan lain."
"I mabuk, I tak ingat apa-apa. I cuma tidur, dan bila bangun Fadzli dah ada sebelah I."Rina
mencemik."Ri, I tak sengaja. I'm so sorry...."Digenggamnya jemari Wari lalu dikucup berkali-kali.
"Lagipun, kitaorang tertidur kat sofa. Mimi dan Darlin pun ada sekali."
"Tapi dia peluk you..."
"I tahu....that's why I mintak maaf sangat...I tak sengaja. Please...."Rengek Rina. "Fadzli ada call
you?"
"Handphone I dah hancur....tak payah nak call..."Wari tarik tangannya lantas dicapainya helmet
atas meja.
"You nak balik ke? Malam ni?"Rina mengekori Wari ke pintu.
"Malam ni I tak ada mood. Kirim salam kat parents you. Sorry I tak dapat tunggu.."Rina hanya
terkebil-kebil memandang Wari.
Wari tahu dia tak sepatutnya marah Rina begitu. Bukan salah Rina seratus peratus pun. Salah dia
juga. Dia juga yang bawa Rina ke tempat-tempat begitu. Jadi dia harus tanggung risikonya. Dia yang
ajar Rina dengan kehidupan begitu. Dia yang ajar atau Rina yang banyak mempengaruhinya? Anak
Datuk itu memang lincah. Hidupnya lepas bebas. Aku yang selalu hanyut bila disampingnya. Wari
menggeleng. Tekaknya terasa perit. Sejak balik dari Perak tempohari, badannya letih lesu. Mungkin
penat memandu. Dia juga kurang tidur. Mungkin matanya yang selalu berjaga hingga ke pagi sudah
payah benar untuk dilelapkan. Itulah kesannya kalau suka jadi kutu embun.
Esok Kak Maria pulang dari London. Bagaimana keadaan dia. Sudah sihat ke? Atau semakin teruk.
Harap-harap Kak Maria masih ada harapan. Kalau Kak Maria terus-terusan sakit, siapa yang akan
menggantikan tempatnya. Siapa yang akan menguruskan syarikat arwah Papa? Dia? Dia belum
bersedia dan dia tidak mahu memikul tanggungjawab besar itu. Dia masih muda dan tak mahu masa
mudanya terikat dengan bebanan itu. Dia masih perlukan masa untuk menyiapkan diri.
Dan esok mungkin antara hari-hari terakhir Siti di sini. Kak Maria sudah balik, tentu Siti akan
pulang ke kampung. Siti tak akan menjaga Didi dan Fifi lagi. Dan dia tak akan tinggal di sini lagi. Aku
bagaimana? Wari tarik nafas panjang. Kenapa perasaan aku jadi begini? Apa yang aku risaukan? Siti
bukan sesiapa di rumah ini. Dia orang asing.
Kenapa aku marah bila dia bersama Hadi tempohari? Kenapa hati aku jadi sakit begitu. Aku benci
melihat kemesraan mereka berdua. Aku benci melihat renungan Hadi yang penuh makna itu. Dan aku
jadi benci bila melihat Siti melayannya mesra. Kenapa tidak aku? Kenapa Siti tidak senyum dan ketawa
seperti itu. Siti takut melihatku. Siti takut pada renunganku.
Sememangnya hati ini tiba-tiba jadi kalut begini. Adakah kerana marahku pada Rina? Adakah aku
amat sakit hati pada Rina sehingga aku sengaja beralih pada Siti. Adakah aku sengaja jadikan gadis itu
tempelan untuk menutup sakit hatiku ini? Siti terlalu berbeza. Mustahil untuk aku jatuh hati padanya.
Terlalu pantas. Dan dia akan pergi selepas ini.
Dan perasaan ini?
***************************************
"Kak Maria...."Lisa memeluk tubuh kurus di hadapannya. Lama pelukan itu. Siti jadi terharu
menyaksikannya. Wajah Maria yang cengkung itu ditatap lama.
"Didi dan Fifi tak ikut sama?"Matanya meliar ke sekeliling.
"Tak. Fifi dah tidur...tak sampai hati nak kejutkan dia.."Maria tersenyum. Walau wajah cengkung,
matanya bercahaya. Nampak kegembiraan terpancar di situ.
"Mama sihat?"Dia beralih pada Wari pula. Wari mendakap kakaknya lama.
"Mama makin sihat...."Balas Lisa tersenyum. "Akak macamana?"
"Okay!"Maria mengangkat ibu jarinya.
"Abang Min mana?"
"Dia tunggu beg tadi....ha tu pun dia!"Semua mata beralih ke belakang. Seorang lelaki sedang
menyorong troli menuju ke arah mereka. Senyuman lebar terukir di bibir.
"Lama betul tunggu beg-beg ni..."Dia bersuara sebaik berdiri di sebelah Maria. Dipeluknya bahu
wanita itu.
"Jom, Mama dah lama tunggu kat rumah tu..."Wari menurunkan beg dari troli.
"Haa....lupa nak kenalkan kak Mar....ni Siti, dialah yang jaga Didi dan Fifi masa akak kat
sane..."Lisa tarik tangan Siti ke depan.
"Abang Min, kejaplah....nak kenalkan Kak Siti ni..." Maria memandang Siti tunak. Siti
melemparkan senyuman. Rasa serba salah dengan penerimaan Maria nanti.
"Oh, ni Siti yang Mama citer dulu. Adik Melah, kan?"Siti angguk pantas. Maria mendekati Siti.
Digenggam erat jemari Siti.
"Terima kasih sebab tolong jaga Didi dan Fifi. Mereka tu nakal. Mesti Siti penat jaga mereka,
kan?"
"Eh, taklah Kak Mar. Diorang tu baik sangat..nakal sikit-sikit jer.."Siti ketawa halus. Maria
memeluk bahu Siti, sambil berjalan beriringan ke pintu keluar. Wari sudah hilang dari penglihatan.
Mungkin dia mendapatkan kereta yang diparking agak jauh dari pintu masuk.
Perjalanan malam itu agak lancar dengan Maria rancak bercerita tentang pengalamannya di sana.
Siti hanya mematikan diri. Tidak ada satu pun perbualan mereka yang membolehkan dia mencelah.
Cuma sesekali dia turut ketawa bila ada sesuatu yang lucu dipendengarannya. Dia rasakan ada baiknya
dia tinggal di rumah saja tadi, tak perlu ikut serta menjemput Maria. Selepas mengangkat Fifi ke bilik
tadi, dia berkira-kira untuk terus melelapkan mata, sementelah dia rasa terlalu letih sepanjang
perjalanan dari kampung ke KL pagi tadi. Tapi ajakan Lisa yang beriya-iya tidak mampu ditolak. Kata
Lisa dia tidak mahu pergi berdua dengan Wari kerana lelaki itu 'moody' sejak akhir-akhir ini.Kalau ada
dia, bolehlah dibuat teman berbual.
Sampai di rumah, Siti menolong sama memunggah beg dari bonet kereta. Maria sudah naik ke
atas bertemu Mamanya. Lisa juga sudah tidak kelihatan. Siti cepat-cepat masukan beg ke dalam rumah
dan bersedia untuk masuk ke bilik. Dia sudah mengantuk benar. Bantal dan katil sudah terbayangbayang
di ruang mata.
"Siti..."Siti sedikit terkejut. Langkahnya terhenti, lalu dia berpaling. Wari berdiri di hadapannya.
"Boleh buatkan minuman. Kopi ker....nescafe ker..."Siti terangguk-angguk.
"Untuk Wari?"
"Untuk semua..."Satu suara menambah. Azimin yang berdiri di muka pintu, tersenyum.
Pandangan matanya bercahaya. memandang Siti penuh makna.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 14
Sejak dua tiga hari yang lepas, Siti sudah mula mengemas barang-barangnya. Baju-baju kurung
yang rasanya tidak dipakai lagi telah dilipat elok-elok untuk disimpan dalam beg. Dia sudah bersedia
untuk dipanggil bila-bila masa oleh Mak Ungku. Kalau hari ini juga disuruh pulang ke kampung, dia tidak
akan menolaknya. Dia tahu khidmatnya tidak diperlukan lagi. Maria sudah kembali. Dia sudah punya
banyak masa untuk mengurus anak-anaknya sendiri. Didi dan Fifi pula sudah jarang bersamanya.
Mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama Mama mereka. Cuma sesekali anak-anak itu
meminta dibawakan ke taman permainan di taman tersebut, Siti akan tetap menjadi peneman setia.
Anak-anak itu tetap manja dengannya.
Maria sejak pulang dari London, masih belum keluar ke mana-mana. Ke pejabat juga tidak. Dia
lebih banyak menghabiskan masa bersama Mak Ungku. Setiap pagi selepas menghantar suaminya di
muka pintu, dia akan kembali ke kamar, mengurung diri. Didi dan Fifi tetap Siti yang uruskan. Bila
tengahari, dia akan turun sebentar. Menjamah makanan sedikit, sambil menunggu anak-anaknya
pulang. Wajah Maria pucat benar. Kadang-kadang Siti kasihan melihatnya. Dibandingkan dengan Azimin
yang segak itu, terlihat benar perbezaannya. Derita sungguh dia menanggung kesakitan itu. Sehingga
memamah kecantikan dan kesegaran tubuh badannya.
Tapi Siti tidak tahu, sampai bila dia harus menunggu. Sehingga kini, Mak Ungku belum lagi
memanggilnya untuk memperkatakan tentang khidmatnya di rumah itu. Setiap kali dia bawakan
sarapan ke bilik, tidak pula Mak Ungku menyebut tentang penamatan khidmatnya itu. Mak Ungku tetap
seperti biasa. Rajin berbual dan ramah bercerita. Kadang-kadang bila dia bersama Maria mengambil
angin di tepi kolam, Siti diajak sama minum petang. Siti turutkan juga. Manalah tahu Mak Ungku izinkan
dia untuk pulang ke kampung, dan tak perlu menjaga Didi dan Fifi lagi. Tapi Mak Ungku tetap tidak
sebut apa-apa.
Tergerak juga hati Siti untuk menanyakan sendiri pada Mak Ungku, bila dia akan iberhentikan.Bila
dia boleh segera pulang ke kampung. Tapi lidahnya kelu bila berhadapan dengan orang tua itu. Tak
sampai hati. Tak patut rasanya kalau dia memulakannya.Nampak sangat aku yang hendak berhenti
cepat-cepat. Apa anggapan Mak Ungku nanti. Maria pun belum pulih benar. Wajahnya masih pucat, dan
semalam dia muntah-muntah lagi. Kasihan!
Sudahnya, Siti masih meneruskan tugasnya di rumah tersebut. Selain menguruskan kedua anak
kecil itu, Siti cuba-cuba membantu Kartini. Walaupun Kartini memandang endah tak endah padanya,
tetapi Siti tebalkan muka juga. Dia cuba beramah mesra. Sudah sebulan di situ, sukar benar rasanya
menjalin hubungan dengan wanita itu. Apalah yang dia pandang rendah sangat kat aku nih! Siti selalu
mengeluh begitu. Tapi Siti tidak pernah ambil hati. Dia cuba membuang anggapan yang bukan-bukan
terhadap Kartini. Walaupun dia sendiri hairan. Sejak Maria pulang, kerap kali Kartini hilang dari
pandangan.
************************
"Awak kata tadi, Lisa nak ikut sama?"Siti muncung. Dia rasa tertipu petang itu. Mati-mati dia ingat
Wari akan mengambil Lisa di sekolahnya. Kalau dia tahu awal-awal, sumpah dia tak nak ikut.
"Lisa dah balik naik bas....nak buat macamana?"Wari menjawab malas. Tidak dipandangnya wajah
gadis itu. Dalam hati dia ketawa sendiri.
"Kalau macam tu, kita balik sajalah...."Siti bungkam lagi. Dia teringatkan Didi dan Fifi yang
pastinya sudah sampai di rumah waktu-waktu begini. Siapa yang akan melayan makan mereka?
"Dah alang-alang keluar ni, kita pergi je lah terus...."Balas Wari lagi. Tumpuannya tetap di jalan
raya. Tak berani pula rasanya memandang wajah gadis itu. Dia tahu Siti marah. Tapi, bukan mudah bagi
alasan untuk ajak dia keluar. Kalau tak gunakan nama Lisa, pasti gadis itu menolak ajakannya. Sebelum
Siti pulang ke kampung, baik dia mulakan dulu tindakan gilanya itu.
"Awak nak pergi mana sebenarnya?"Siti toleh ke arah Wari.
"Siti temankan saya pergi ke ofis ye..."
"Ofis siapa?"
"Ofis kak Mar....ofis arwah Papa....."Wari menoleh sekilas. Siti cepat-cepat alih pandangan.
"Kenapa bawa saya, seganlah...."Dengus Siti. Hujung bajunya ditarik-tarik perlahan.
"Saja....saya pun dah lama tak jenguk ofis Papa....."Balasnya lagi.
"Saya nak tunjukkan pada Siti. Mana tahu satu hari nanti Siti boleh kerja kat situ...." Siti ketawa
kecil. Dia menggeleng kepala. Manalah layak aku bekerja di pejabat yang besar-besar begitu. Setakat
SPM aku ni, jadi pembantu rumah jelah nampaknya.
"Kenapa Siti diam?"Siti menggeleng.
"Tak ada apa-apa....."Balasnya perlahan. Pandangan tertancap ke depan. Dadanya yang berdebardebar
sejak tadi sudah mula mereda.
"Siti marah ke saya bawak Siti keluar ni?"Siti geleng lagi.
"Tak lah.....buat apa saya nak marah. Saya tak ada hak nak marah....sebagai pekerja, saya
kenalah ikut apa saja arahan majikan...."
"Siapa majikan Siti. Saya?"Wari tertawa besar. "Siti bekerja dengan Mama, bukan dengan saya.
Saya tak rasa pulak Siti ni bekerja dengan kami semua. "Dia menarik nafas panjang. "Siti cuma
menolong saja, kan....bukan bekerja..."
"Tapi saya diberi gaji.."
"Itu imbuhan....sebagai rasa terima kasih....bukan gaji.."Wari ketawa lagi. Dipandangnya wajah
Siti yang bungkam. "Kenapa tiba-tiba awak jadi baik macam ni?"Siti mendongak. Menentang wajah
lelaki itu.
"Baik?"Wari telan liur. Dia terdiam sebentar.
"Iyelah...tiba-tiba je awak jadi peramah dengan saya ni, kenapa?"Wari garu kepala yang tidak
gatal. Sombong dipersoal, jadi baik pun dipersoal.
"Tak ada apa-apa....saya....memang macam ni....salahke?"Wari memperlahankan keretanya. Siti
memandang bangunan besar di hadapannya. Tinggi memuncak. Agaknya ini syarikat milik keluarga
Wari. Dia menjengukkan kepalanya.
"Buat apa jenguk-jenguk macam tu, kita dah sampai pun....jom!"Wari mematikan enjin kereta.
"Saya tunggu kat bawah je la...."Siti bersuara sebaik turun dari kereta. Wari memandang Siti
dengan dahi berkerut.
"Tak nak ikut saya naik atas ke?"Siti menggeleng.
"Siti tunggu kat dalam la. Sejuk sikit.."Siti menuruti langkah Wari.
"Saya naik atas kejap ambik barang....tak lama..."Wari bergegas menekan punat lif. Siti
melabuhkan punggung di atas kerusi yang tersedia disitu. Ruang yang dingin itu benar-benar memberi
kesegaran. Dia memerhatikan sekeliling. Cantik sungguh pemandangan sekitarnya. Kalaulah dia dapat
bekerja di situ!
Wari masuk ke pejabat di tingkat 10. Sudah lama rasanya dia tidak menjejak kaki di situ. Kalaulah
bukan kerana permintaan Maria, rasanya berat hati untuk dia memulakan kerjaya di situ. Dia belum
bersedia lagi untuk melalui suasana yang formal sebegitu. Dia tidak teruja walaupun jawatan yang
dijanjikan nanti bukan calang-calang bagi seorang graduan sepertinya. Tapi otaknya sendiri sudah tepu,
dan payah untuk diasak dengan isu-isu politik kerja begitu. Kalau boleh dia ingin bebas memilih kerjaya
sendiri. Tapi apa boleh buat. Tak sanggup dia melihat airmata Maria yang menitis tempohari. Maria dah
tak berdaya untuk menyambung usaha Papa. Maria ingin bersara walaupun masih terlalu awal rasanya.
Wari mengambil dokumen di atas meja di dalam biliknya. Bilik itu masih dalam peringkat baik
pulih. Bingkai-bingkai gambar masih belum digantung. Kerusi dan meja juga masih belum ditukar baru.
Menurut Azimin, proses pemasangan tersebut mungkin mengambil masa selama 2-3 hari. Wari tidak
kisah berapa lama pun. Lagi lambat lagi bagus. Dia tidak suka bergelar orang korporat terlalu awal.
Dunia korporat bukan dunia dambaannya. Lainlah Azimin.
Pejabat Azimin di tingkat 8. Tetapi Wari tidak bercadang untuk menjenguk abang iparnya itu.
Entah kenapa, sejak dulu, dia memang tidak begitu rapat dengan lelaki itu. Walaupun sudah bertahun
usia perkahwinannya dengan Maria, sehingga lahir Didi dan Fifi, Wari tetap berasa janggal dengan lelaki
itu. Mungkin kerana jarak usia mereka yang tidak berbeza. Azimin muda dua tahun dari Maria. Sebelum
berkahwin, jawatannya bukanlah mewah sangat. Selepas Papa meninggal, barulah dia menjadi
pengurus besar di bahagian kewangan. Dan setelah Maria jatuh sakit, segala kuasa mutlak jatuh di
bahunya. Wari tidak pula keberatan. Walaupun dia tidak berapa gemar dengan perangai Azimin, tetapi
dia tidak pula melarang Azimin daripada menguruskan syarikat tersebut. Sekurang-kurangnya ada
orang yang boleh diharapkan selain dia. Nak harapkan dia, berbuih mulut Mama menasihatkannya. Ini
pun, kalau tak kerana Maria, memang dia tak akan sentuh dokumen-dokumen yang hanya
memeningkan kepalanya nanti.
Wari turun ke bawah semula. Dokumen dalam fail dikepit kemas. Dia bercadang untuk makan
dahulu sebelum menghantar Siti pulang. Walaupun sekejap, dapat juga dia keluar dengan gadis itu hari
ini. Mungkin ini yang pertama dan terakhir. Mana tahu esok lusa Siti sudah pulang ke kampung.
Ahh....Siti..., teruslah tinggal di sini. Tak perlu pergi!
Sampai di tingkat bawah, dia memerhatikan sekeliling. Tiada kelibat Siti di situ. Kemana dia? Aku
naik pun, bukannya lama sangat. Dah hilang dah...Gerutu Wari. Dia menjenguk ke luar. Tapi Siti tidak
kelihatan di dalam kereta. Pastinya kerana kereta itu telah dikunci sebaik mereka keluar tadi. Takkan
diculik pulak? Mustahil. Ahh....gadis secomel itu, pak guard Bangla ni pun boleh sapu agaknya.
Wari menghela nafas panjang. Dia duduk di atas kerusi sambil membuka fail biru di tangan.
Berkerut dahinya menatap angka-angka yang tercatit di setiap helaian. Sesekali dia menggeleng. Betul
ker aku nak study benda ni, semua? Issh.... Dia melemparkan pandangan ke pintu lif yang terbuka.
Seorang gadis berjalan perlahan ke arahnya.
"Siti ke mana?"Wari bingkas bangun.
"Kenapa? Cari Siti ker?"Siti sedikit terkejut.
"Iyelah....saya turun Siti tak ada....ingatkan dah kena culik.."Wari tersengih. Siti ketawa kecil.
Wajahnya memerah.
"Emm..saya ke surau tadi....tu ada signboard dia....kat tingkat 1..."Balas Siti. "Minta maaflah
kalau buat awak tercari-cari... Wari tarik nafas lega. Dia mendekati Siti.
"Buat apa kat surau?"Siti kerut dahi. Wajah Wari dipandang lama. Buat apa?
"Errr...solat...solat zuhur..."Wari tergegau. Wajahnya merah padam. Bodohnya aku nih.....pergi
surau tentulah nak solat. Apalah aku bagi soalan bawah umur macam tu.
"Emm....awak tak pergi solat dulu ker?"Wari tersengih tawar. Dia menggaru kepalanya. Terasa
wajahnya sudah mula membiru.
*****************************
Macamana nak solat, tubuh aku ni penuh dengan benda haram! Mengalir di segenap uratku. Telah
menjadi darah dan dagingku. Dan memang sudah sekian lamanya aku tidak pernah sujud di sejadah itu.
Menghadap Tuhanku.
Wari menelentang atas katil. Dia meraup wajahnya dua-tiga kali. Rasa panas menjalar ke segenap
tubuh. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dihelanya perlahan. Fikirannya terawang.
Dia rasa malu pada Siti. Malu pada diri sendiri. Ya, malu pada diri sendiri. Setelah sekian lama, dia
tidak pernah sedar dan menginsafi diri. Sudah terlalu lama dia tidak menghadap Yang Esa. Sudah terlalu
lama dia tidak mengalunkan bacaan-bacaan suci yang suatu masa yang lampau dulu, dia amat suka
membacanya. Sudah terlalu lama wajah dan tubuhnya tidak dibasahi air suci wuduk. Agghh.....
berdosanya aku!
Macamana dia ingat itu semua kalau setiap malam dia lebih suka terkinja-kinja di ruang dansa,
menikmati cahaya lampu yang bertukar-tukar warna. Setiap malam rela membasahi kerongkong dengan
air setan yang berbusa. Setiap malam diulit tubuh-tubuh gebu yang rela menemani hingga ke pagi.
Bagaimana dia ingat untuk sujud nasuha kalau malam-malam yang dilalui terasa singkat benar. Dingin
nya subuh tidak pernah menggamit tidurnya untuk menghadap yang Maha Pencipta. Pencipta siang dan
malam. Dingin subuh baginya adalah saat yang paling enak untuk menutup mata.
Terlalu jauh perjalanan hidupnya dahulu. Perjalanan hidup yang banyak dicemari dengan
pengisian material, bukan kerohanian. Kerohanian yang sering diajar oleh arwah Papa dulu-dulu. Arwah
Papa yang tidak jemu-jemu mengingatkan dia tentang ketakwaan dan kehambaan. Bukankah tangan
Papa yang sering memiat telinganya dulu-dulu, tiap kali dia tersasul membaca Mukaddam. Tangannya
juga yang selalu menjentik hujung hidung ini tiap kali malas bangun di Subuh hari. Tegasnya Papa
waktu itu. Tapi tegasnya itu tidak kekal lama. Bila Papa pergi, dia sendiri lupa. Sendiri hanyut.
Kasihan Papa. Kalau dia masih hidup sekarang ini, pasti dia berduka hati. Pasti dia kecewa dengan
sikap anaknya ini. Tapi Papa telah pergi! Apa yang ada pada Papa sekarang ini? Papa tidak punya apaapa.
Papa hanya punya anak-anak yang tidak pernah menitipkan doa untuk kesejahteraannya di sana.
Papa punya anak-anak yang mewah tapi tidak mampu menghadiahkan walau sekalung doa atau bacaan
surah. Papa punya anak-anak yang lupa diri.
Ya Allah! Wari mengesat pelupuk mata. Pandangannya berkaca. Dia mengalih mata.. Menghadap
potret besar di atas meja. Potret mereka sekeluarga. Dia lihat wajah Maria yang segar bugar dulu. Maria
yang dulu juga terkinja-kinja, kini hanya memencil diri. Tiada lagi hilai tawanya. Tiada lagi lagak
lincahnya. Sekelip mata saja nikmat yang diberi diambil semula. Kini, wang yang banyak juga tidak
mampu mengembalikan tawanya. Wang yang banyak tidak mampu mengembalikan bahagianya.
Apa yang ada pada Maria kini? Hanya sisa-sisa pengharapan. Dan keajaiban dari Tuhan.
Kalau itu yang Tuhan mahu. Sekelip mata!
Wari menggeleng kepala. Sesak di dadanya semakin terasa.
*****************************************************
"Mama dah cakap dengan Siti?"Maria melabuh punggung di sisi Mak Ungku. Wajah tua itu
dipandang lembut. Mak Ungku tersenyum sambil menggeleng.
"Belum lagi..nantilah..."Balas Mak Ungku.
"Mama cakaplah awal-awal....takut nanti dia mintak berhenti pulak..."Maria mengalih pandang.
Melihat Siti yang tekun memerhatikan Didi menyiapkan kerja sekolah.
"Tak lah...Ma tak rasa Siti nak mintak berhenti. Ma tengok dia seronok di sini..."
"Hati orang Ma....bukannya kita tahu. Lagipun janjinya dulu sampai Mar balik, kan...
"Nantilah...ada kesempatan nanti Ma cakaplah......".Maria tarik nafas panjang. Kalau boleh dia
sendiri yang ingin bercakap dengan Siti. Tapi Mamanya melarang. Tunggulah, kalau diberitahu baik-baik,
pasti Siti setuju. Pasti Siti tidak kisah untuk tinggal di rumah itu untuk sebulan dua lagi.
"Kamu dah fikir masak-masak ke, Mar?"Maria mengangkat muka. Dihela nafasnya panjang.
"Dah Ma....Mar rasa Mar tak salah pilihan...."
"Azimin?" Sepi.
"Bagaimana dengan Azimin? Dia tak cakap apa-apa?"
"Azimin setuju Ma..."Balas Maria lambat-lambat. "Dia tak kisah. Lagipun kami dah bincangkan hal
ni lama dulu....Mulanya dia tak nak juga.....tapi sampai bila Ma?"
Mak Ungku tarik nafas. Dipandangnya wajah Maria tunak. Wajah yang segar bugar dan sering
didandan rapi suatu ketika dahulu kini pucat lesi. Tulang pipi menonjol. Mata yang galak juga telah
cengkung. Redup pandangan mengundang simpati.
"Mama tak kisah?"Mak Ungku tersentak. Dikertap bibirnya, menahan sebak dihati. Seketika dia
menggeleng.
"Ma buat apa saja untuk Maria.....asal Maria bahagia...."
Bahagia? Apa erti bahagia bagiku? Maria memejamkan matanya. Padanya bahagia miliknya kini
hampir pergi. Bahagia itu telah jauh. Ini saja yang mampu dia lakukan untuk merebut kembali bahagia
itu. Walau mungkin bukan untuknya. Biarlah dia berkorban!
***************************************
Langkah kakinya terhenti. Dipandangnya wajah wanita yang tercegat dihadapannya. Ada riak
kesedihan.
"Ri!"Gadis itu meluru ke arahnya. Wari tidak mampu bergerak. Terasa tubuhnya hangat dalam
dakapan.
"Rina, buat apa you kat sini?"Wari melonggarkan pelukan. "Mana you tahu I ada kat sini?"
Ditariknya tangan Rina ke satu sudut. Tidak mahu mata-mata memandang ke arah mereka. Hari
pertama dia masuk ke pejabat, Rina sudah muncul di hadapannya.
"I call rumah....someone inform you masuk ofis hari ni....bila you start kerja...kenapa tak
bagitahu I?"Rina goncang tangan Wari. Wari tarik nafas panjang.
"Rina..please...this is my first day okay....I sibuk...I nak pergi meeting ni..."Wari melepaskan
tangannya. Mata Rina yang merah berair di pandangnya. Mabuk lagi ke perempuan ni?
"Ri...jangan tinggalkan I please....Fadzli...Fadzli dan Remy dah tak ada!"Air matanya berlinang.
"What?"
"Diorang accident. Mati!"Rina teresak.
"Bila?"Dada Wari berdebar.
"Pagi semalam. Kitaorang konvoi ke Port Dickson..treler langgar diorang. It was so horrible Wari.
Depan mata I...."Rina mengesat matanya. Wari terpaku.
Sekelip mata nyawa melayang! Ya Allah..andainya itu nyawaku!
"Ri...."Rina menyebamkan muka di dada Wari. Terasa hangat dadanya dibasahi airmata. Wari
kertap bibir sampai sakit. Perlahan rambut Rina diusapnya.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 15
Renungan mata lelaki itu tunak ke arah langit sana. Polos. Siti melabuhkan punggungnya di
sebelah. Sambil matanya sesekali dilemparkan di tengah padang. Didi dan Fifi terkinja-kinja sambil
tertawa riang. Sejuk hatinya melihat gelagat anak-anak itu. Dialihkan semula pandangan ke wajah lelaki
itu. Yang kosong.
"Apa yang awak pandang tu?"
"Langit"
"Cari apa?"
"Tuhan!"
"Issh...."Wari menunduk, menentang mata Siti. Dia tersenyum tawar.
"Jangan fikir dimana Dia....yang penting di sini....."Siti tekap dadanya. "Biar Dia sentiasa ada di
sini...."Siti tersenyum sama.
"Saya tahu....saya dah lama tak mengingati-Nya...."Keluhnya perlahan. Helaan nafasnya
kedengaran.
"Maksud awak?" Wari diam. Dia meregut helaian rumput lalu ditenyeh-tenyeh dengan hujung jari.
"Saya hanyut....."
Siti tarik nafas panjang. Dia tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Untuk bertanya lebih lanjut,
takut Wari anggap dia suka mengambil tahu. Tapi untuk buat endah tak endah, kasihan pula dia pada
lelaki itu. Wajahnya muram benar. Sejak semalam, ada kekeruhan wajah itu. Apa yang hendak dia
luahkan?
"Siti tahu tak...."Dia bersuara semula. Siti toleh, menghadap lelaki itu. Mungkin ada sesuatu yang
hendak dikongsi olehnya.
"Saya jarang sembahyang...."Keluhnya. Wajah Siti dipandang tunak. Siti kehilangan kata. Dia
tergamam. Lelaki ini!
"Emm...err..kenapa?"Betulke soalan aku ni?
"Saya....lupa pada kewajipan-kewajipan yang patut saya buat....sebagai seorang Islam..."Dia
menggeleng. "Lepas arwah Papa meninggal, saya abaikan nasihatnya. Mama selalu tak sihat. Dia tak
dapat nak control kitaorang setiap masa." Siti angguk kepala. "Saya selalu keluar rumah. Malas
sembahyang... minum..." Dia menekup mukanya dengan tapak tangan. Siti tarik nafas panjang. Tidak
disangka lelaki didepannya itu punya sejarah harian yang memualkan. Siti sendiri benci dengan manusia
yang kaki minum. Yang suka berpeleseran antara lelaki dan perempuan. Anak orang kaya, banyak duit.
Beginilah caranya. Tapi.....dia tahu dia tidak boleh menghukum Wari atas perbuatannya itu. Sesuatu
yang aneh bagi seorang lelaki mengakui segala ketelanjurannya di depan seorang wanita. Calang-calang
manusia untuk melakukannya. Dan Wari pasti punya sebab tertentu membuka segala keaibannya itu.
"Tentu Siti tak sangka, kan?"Wari renung Siti dengan mata berkaca. Siti geleng kepala.
"Kenapa awak ceritakan semua ini pada saya?"Siti mengalih pandangan ke tengah padang. Hilai
tawa Didi dan Fifi kuat kedengaran.
"Saya tak tahu."Terhenti sebentar."Saya tak tahu kenapa saya luahkan semua ini pada awak. Saya
rasa awaklah orang yang paling sesuai untuk mendengarnya. Saya tahu, saya tak patut nyusahkan
awak untuk dengar ini semua.."Dia berpaling untuk bangun.
"Wari..saya tak kisah kalau awak nak berkongsi cerita dengan saya..."Siti turut bangun. Dia
berdiri betul-betul di depan Wari.
"Kalau awak ada masalah......"Siti terhenti. Dadanya mula berdebar.
"Saya sudi mendengarnya..." Wari menapak beberapa langkah ke depan. Dia menghela nafas
panjang. Kedua tangan diseluk ke kocek seluar. Dari arah belakang, Siti dapat melihat susuk sebenar
lelaki itu. Dia punya segalanya bagi seorang lelaki. Mungkin itu juga salah satu sebab yang membuatkan
dia lupa diri. Kecantikan yang dianugerah Tuhan, selalu disalahguna.
"Siti rasa, terampunkah dosa-dosa saya?"
"Kenapa tidak?"
"Sudah terlalu lama saya melakukannya..."
"Sebesar mana pun..selagi awak ikhlas dan nekad tidak mahu mengulanginya.....insyaAllah...
bukankah Allah Maha Pemurah?"Siti berganjak ke depan.
"Tapi, saya rasa diri saya ini terlalu kotor....."Wari mengeluh.
"Jadi, bersihkan ia. Banyak caranya. Yang penting niat dan azam awak harus kuat..."
"Apa yang harus saya buat?"
"Jangan ulangi perbuatan kotor awak tu. Tinggalkan semuanya. Semua itu bukannya memberi
manfaat pada diri awak. Malah merosakkan...."Wari renung wajah Siti lama.
"Sekarang ni apa anggapan Siti pada saya?"
"Biasa saja..."
"Maksud Siti ?"
"Saya tak berhak menghukum apa-apa. Malah saya berterima kasih sebab awak sudi berkongsi
cerita dengan saya. Untuk menjadi seorang yang jujur seperti ini bukannya mudah. Ia juga memerlukan
niat dan azam yang kuat bukan?" Wari tersenyum lebar. Wajah Siti ditatap sepenuh hati. Terasa dada
dan fikirannya menjadi lapang kini.
**************************************************************
Ternyata Wari benar-benar berazam untuk mengubah dirinya. Siti mula sedari itu. Kerana hampir
setiap malam, dia melihat Wari tidak pernah keluar rumah lagi. Pulang dari pejabat, dia membersihkan
diri. Makan malam bersama Didi dan Fifi. Selepas itu menonton tv. Kadang-kadang, dia menghabiskan
masanya di bilik bacaan. Mungkin banyak urusan pejabat yang perlu dibereskannya. Siti sedikit gembira
dengan perubahan itu. Walau dia sendiri tidak tahu apa yang mendorong lelaki itu berubah haluan,
tetapi dia tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya Wari sudah boleh menjadi orang harapan
sekarang. Mak Ungku ternyata amat gembira dengan perubahan anak bujangnya itu. Wari yang dulu
keras kepala, kini sudah mula berminat untuk bekerja. Kalau dulu setiap malam pulangnya jam 3-4
pagi, kini dia sentiasa ada di sisinya. Tidak perlu lagi Siti atau Kartini terkial-kial memimpin orang tua itu
menuruni tangga, kerana tenaga Wari sudah cukup untuk menampung mamanya itu.
"Abang Acik dah lain la sekarang...."Lisa bersuara suatu hari sewaktu menolongnya
menghidangkan makan malam."Dah berubah sangat..."
"Kan bagus macam tu....Lisa pun suka, kan?" Balas Siti.
"Tapi pelik....tiba-tiba je....mesti Acik dah putus ngan Rina...."Gumam Lisa perlahan. Siti hanya
diam. Dia sendiri tidak berapa tahu tentang hubungan Wari dan Rina. Sejak pertengkaran di rumah
suatu masa dulu, Rina tidak pernah singgah di rumah itu lagi. Samada mereka benar-benar putus atau
sebaliknya, Siti tidak pernah tahu. Wari juga seperti tidak mahu menyentuh perkara tersebut. Banyak
perkara yang Siti ketahui adalah dari mulut Lisa. Lisa yang tidak berapa gemarkan Rina. Ternyata gadis
itu cukup gembira kalau benar abangnya tidak menjalin hubungan lagi dengan Rina.
"Kenapa tak suka Rina?"Siti cuba mengorek suatu hari.
"Emm....Rina tu, tak friendly sangat la kak Siti. Kalau jumpa Lisa kat bandar memang dia tak
tegur...."Lisa memuncungkan mulut.
"Iye?...Kot-kot dia tak nampak Lisa tak?"
"Tak nampak apanye. Bersinggul bahu lagi. One more thing, dia suka lepak disko le Kak Siti..."
"Mana Lisa tahu?"
"Lisa ramai member kat saner....."
"Oo....Lisa pun selalu lepak sana le ya?"Lisa tersengih, tersipu-sipu.
"Takdelah selalu kak Siti. Sesekali jer...itupun dulu-dulu.."Siti menggeleng. Apa yang best sangat
disko tu pun, dia tak tahu. Wari juga sekarang ini agak rajin mengajaknya keluar. Kadang-kadang
dengan Lisa. Kadang-kadang dengan Didi dan Fifi. Kalau tak ke taman permainan, mereka akan pergi ke
kompleks-kompleks membeli belah. Ada jugalah sehelai dua pakaian yang Siti beli hasil dari duit yang
diberi oleh Mak Ungku tempohari. Separuh telah dikirimkan ke kampung, separuh di serahkan kepada
Melah untuk disimpan. Siti hanya simpan sedikit saja untuk kegunaan harian. Dia masih ingat lagi katakata
Mak Ungku sewaktu menyerahkan sampul berisi wang gajinya itu.
"Siti, kalau Mak Ungku minta Siti terus kerja di sini untuk sebulan dua ni, macamana?"Siti
tergamam seketika. Wajah Mak Ungku yang jernih itu ditatap lama. "Sambung kerja?"Mak Ungku
mengangguk.
"Emm....kak Maria tak kisah ke?"
"Maria yang mahu Siti terus di sini. Dia belum sihat sepenuhnya, Siti. Makcik pun risau dengan
kesihatannya itu. Sebab tu makcik suruh dia duduk di sini dulu. Tak payah balik ke rumahnya di Bangi
tu.."Mak Ungku mengeluh.
"Emmm....saya...saya kena tanya dengan emak dulu, Mak Ungku. Sebab hari tu janji dengan
mak, sebulan aje..."Siti gigit bibir.
'Kalau macam tu, baguslah.....minta izin dengan orang tua dulu. Makcik tak paksa...."
Dan akhirnya Siti keluarkan kembali pakaian-pakaiannya yang telah siap dikemas tempohari.
Nampaknya dia terpaksa bersetuju untuk terus menetap di situ. Dia tidak sampai hati hendak
menghampakan permintaan Mak Ungku. Selebihnya dia simpati pada Maria. Dia tahu Maria masih belum
sembuh sepenuhnya. Pembedahan itu nampaknya tidak sepenuhnya berjaya. Itu yang diberitahu Wari
kepadanya tempohari. Ahh..Wari....Hati Siti berdebar setiap kali membayangkan lelaki itu. Lelaki yang
berbeza kini. Lelaki yang renungannya begitu berlainan sekali. Seakan ingin menerobos ke seluruh
jantungnya. Dan Siti akui hatinya bukannya kuat sangat untuk menahan perasaan tersebut. Hatinya
belum cukup tega.
"Siti..."Wari menghampirinya suatu hari. Siti tergamam seketika. Wari yang segak berbaju
melayu, sedang berdiri betul-betul di hadapannya. "Wari nak makan ker?"Siti cepat-cepat mencapai
pinggan di rak. "Nak....tapi dengan Siti..."Balas lelaki itu lembut. "Emm....Siti makan kejap lagi. Tunggu
Didi dan Fifi sekali..."Suara Siti bergetar. Dia cuba mengawal perasaan. Kenapa gemuruh semacam?
"Tak....Wari nak ajak Siti makan .....kat luar.."Wari tersenyum. Siti pandang Wari, cuba mengesan riak
wajah lelaki itu.
"Dengan Lisa sekali?"
"Tak.....dengan Siti. Lisa makan dengan budak-budak tu nanti.."
"Tapi...."
"Saya dah bagitahu Lisa. Janganlah risau sangat...."Wari ketawa kecil.
"Lisa volunteer nak jaga budak-budak tu...."
Siti tarik nafas panjang. Ni mesti Lisa dah berpakat dengan abangnya. Lisa memang beriya-iya
mencadangkan agar dia keluar dengan abangnya itu. Memang Lisa suka melaga-lagakan dia dengan
Wari. Kadang-kadang Siti jadi malu dengan usikan Lisa yang melulu itu. Walau di depan Wari. Tapi Wari
tidak pula menunjukkan tanda-tanda marah. Malah, senyuman lelaki benar-benar menggetarkan jiwa.
Kenapa lelaki itu berubah tiba-tiba. Mana keegoan dan kesombongan dia dulu. Adakah kerana
perwatakannya yang telah berubah kini, telah menghasilkan satu suasana yang berlainan? Sesuatu yang
indah mungkin?
Untuk pertama kalinya, malam itu Siti memberanikan diri keluar berdua dengan lelaki itu. Itupun
setelah Wari beriya-iya mengatakan telah memaklumkan kepada Mak Ungku. Dan berjanji untuk pulang
sebelum jam sebelas. Hanya makan-makan, begitu kata Wari waktu dia masuk ke dalam kereta. Lisa di
muka pintu mengenyitkan mata. Suka benar gadis itu. Dan Siti, hanya mendiamkan diri, selain
memikirkan bagaimana keadaan dia malam itu. Solekan nipis di wajahnya hasil tangan Lisa, adakah
berlebihan? Blouse dan skirt kembangnya adakah berpadanan? Ahh...segala-galanya diluar kawalan. Dia
seperti menjadi dirinya yang lain. Dia seperti sengaja membohongi hatinya. Melarikan diri dari seorang
lelaki untuk menerima seorang lelaki. Kenapalah aku ni lemah sangat! Siti menghela nafas.
"Kenapa Siti?"Wari menoleh sekilas."Kenapa mengeluh? Penat ye?"
"Eh, taklah...."Balas Siti perlahan. Dia mengangkat muka, memandang polos ke hadapan.
"Kita pergi kat depan ni je. Tak payah jauh-jauh. Sini pun makanannya sedap-sedap...."Wari
bersuara disulami ketawa kecil. Dalam hati dia berasa senang sekali. Penerimaan Siti malam itu bagai
membuka ruang baru dalam hidupnya.
"Kalau makan ramai-ramai seronok juga.."Siti bersuara.
"Makan ramai-ramai dah selalu. Kali ni Wari nak kita berdua je..."Ishh....Siti jadi takut mendengar
perkataan tersebut. Dia gigit bibir kuat-kuat. Cuba meredakan debar di dadanya. Janganlah dia nak
beromantis pulak dengan aku....
Wari memperlahankan keretanya sebelum berhenti betul-betul di depan sebuah tasik. Siti keluar,
dan merasakan kedinginan malam itu. Bintang di langit bertaburan, tetapi angin malam seolah-olah
membawa petanda hujan. Dia mengekori langkah Wari yang bersahaja. Agaknya Wari sudah selalu
berkunjung ke sini. Kalau bukan dengan Lisa, pasti dengan Rina. Tiba-tiba Siti terbayangkan Rina.
Bagaimana hubungan mereka berdua. Kenapa Wari mengajaknya keluar tidak Rina. Sudah putuskah
mereka?
"Kita duduk sini je lah..."Suara Wari kedengaran. Siti tarik kerusi lalu melabuhkan punggung.
"Siti nak makan apa?"Tanya Wari sebaik pelayan lelaki berbaju batik datang kepada mereka.
"Apa-apa saja..."Wari angkat kening. Dia tersengih. Gabra semacam je Siti ni......dia takut dengan
aku ke?
"Saya order, jangan Siti tak makan pulak...."Siti senyum sama. Silap-silap aku minum aje. Malu
punya pasal!
Terasa bagai tak lalu makan dibuatnya. Biasanya waktu makan begini, ada Didi dan Fifi yang
memeriahkan suasana. Kadang-kadang ada Lisa kalau dia tidak ke mana-mana. Kali ini hanya mereka
berdua. Dalam suasana, yang Siti tidak pernah membayangkan. Kalau dulu, Wari selalu memberi alasan
yang bukan-bukan bila mengajaknya keluar, kali ini nampaknya dia berterus terang. Seolah ada
keyakinan pada diri lelaki itu akhir-akhir ini. Tutur katanya lembut, dan riak wajah ada ketenangan kini
berbanding sewaktu awal pertemuan mereka. Siti dapat rasakan perbezaan itu.
"Banyak perkara yang saya nak tahu pasal Siti sebenarnya...."Wari bersuara.
"Emm?"Siti angkat kening.
"Kampung Siti di mana?"
"Emmm..."Siti telan liur. "Kat Kota Tinggi.."
"Kota Tinggi tu kat Johor, kan?"Siti angguk.
"Mak ayah Siti?"
"Ada lagi."
"Mak ayah kerja apa?"
"Bapak noreh getah je. Mak tak kerja."Balas Siti jujur. Minuman yang dipesan sampai. Siti
menyedutnya seketika.
"Saya pernah ke Johor, Desaru Resort. Masa tu saya konvoi ke sana ramai-ramai masa hari
merdeka..."
"Oh....itu dah dekat sangat dengan rumah saya tu..."Siti tersenyum ceria.
"Dekat sangat?"
"Emmm..kalau ke Desaru, lalu kawasan kampung saya dulu...."
"Kalau gitu, boleh saya singgah rumah Siti..."Siti ketawa.
"Boleh....kalau awak datang Johor, jemputlah ke rumah saya..."Balas Siti lancar.
"Emm...minggu depan?"
"Ha?"Siti angkat muka. Wajah Wari dipandang lama. Biar betul mamat nih! Aku cakap main-main
je. Dia serius ke?
"Kenapa, tak boleh ke?" Dia ketawa kecil.
"Eh, awak ni, jangan main-main la...."Siti tarik muka.
"Takkan tak boleh saya nak datang rumah awak. Saya pun nak merasa kehidupan di kampung
sana..."
"Nak menoreh?"'Siti tergelak sama. Debarnya sudah menghilang. Dia rasa semakin selesa berbual
dengan lelaki itu. Ternyata Siti, benar-benar berlainan dengan Rina. Wari dapat merasakannya. Dia tidak
berasa terdesak, atau rungsing. Berbanding dengan Rina yang selalu membentak dan sedikit mendesak.
Yang gemarkan liburan. Yang tidak pernah memikirkan realiti kehidupan selain dari keseronokan
semata-mata. Sesuatu yang hilang dulu terasa terisi kembali. Hatinya yang kering, kini basah disirami.
"Emm...itu gelang yang saya bagi hari tu ke?"Mata Wari tertancap pada pergelangan tangan Siti
yang bersinar. Siti cepat-cepat tarik tangannya. Dia tersipu. Ahh...kenapa lupa nak tanggalkan?
"Semalam keluar lupa nak tanggalkan..."
"Kenapa nak tanggalkan pulak. Biarlah ia kekal di situ...kalau boleh sampai bila-bila..."Siti hampir
tersedak mendengarnya. Dia memalingkan wajah. Tak sanggup dia menentang renungan lelaki.
ssh....lain benar bunyinya. Hati Siti berdebar-debar.
"Emm....yang warna hijau tu, mesti Mak Siti yang bagi?"Wari menunjuk ke arah seutas lagi gelang
yang melingkar di pergelangan tangan Siti. Siti menggeleng.
"Yang ni...."Dia teragak-agak. "Emm...Hadi yang beri hari tu....sebelum balik ke sini..."
Wari tarik nafas panjang. Tiba-tiba dia rasa menyesal mengemukakan pertanyaan itu .
Ahh...hati... bertenanglah. Kenapa perlu gugup, kenapa perlu berdebar. Wari cuba meredakan
perasaannya yang sudah mula tidak menentu.
"Siti suka pada Hadi, tu?"Wari tidak teragak-agaknya bertanya. Dia ingin tahu hati gadis ini yang
sebenar.
"Eh, tak lah...."Siti sedikit terkejut. Sekali berjumpa, takkan terus suka! "Emm.....tapi..dia tu baik
orangnya. Dengarnya....dah nak bertunang.."
"Iyer?"Wari agak terkejut. Dalam hatinya sedikit riang, tetapi dia cuba mengawal agar tidak
ketara kelihatan. Rasanya dia ingin tertawa sepuas hati mendengar perkhabaran itu. Siti perasan
perubahan wajah Wari bila mendengar katanya itu. Dia sedikit lega, walaupun dalam hati rasa bersalah
juga kerana membohongi lelaki itu. Dia tidak pernah tahu samada Hadi sudah berpunya atau
sebaliknya. Apatah lagi ingin bertunang. Dia cuma ingat kata-kata Hadi sebelum dia bertolak pulang
dahulu. Lelaki muda itu ternyata ingin menjalin hubungan yang lebih istimewa dengannya. Bukan
sekadar kenalan singkat. Semua itu dinyatakan di dalam surat yang dilampirkan bersama gelang hijau
tersebut. Kalaulah Siti tahu maksud sebenar yang tersirat di hati Hadi, sumpah dia tak akan mengambil
pemberian tersebut. Dia takut Hadi salah sangka.
Dan kini, berhadapan dengan Wari, sesuatu yang sukar juga. Dia tidak ingin Wari anggap dia
punya apa-apa hubungan dengan Hadi. Dia seperti dapat rasakan perasaan Wari yang berbunga
terhadapnya. Dan perasaannya juga!
**********************************
"Betul ker kau nak ke Johor, Wari?"Mak Ungku kerut dahi memandang Wari yang kelihatan ceria
petang itu.
"Boleh tak Ma?"Wari duduk di sebelah, memaut bahu Mak Ungku. "Nak buat apa?"
"Emm..saja. Nak rasa hidup di kampung. Siti kata sekarang ni musim durian."Mak Ungku
menggeleng. Hatinya sedikit berat melepaskan Wari.
"Lagipun, Wari bukan pergi sorang. Lisa pun ikut sama. Minggu depan kan cuti sekolah."Wari
memicit-micit bahu Mamanya.
"Lisa tu cuti. Tapi Wari kan kena ke pejabat. Siapa nak uruskan pejabat nanti?"
"Ala.....itu Ma jangan risau. Kat sana ramai pembantu Wari. Sebelum ni pun mereka yang
uruskan. Lagipun, Wari dah bagitahu Azimin......"Wari bangun, membetulkan seluarnya.
"Nanti apa kata keluarga Siti, Wari? Kau tak segan ke.."
"Ish...Ma ni....kan saya pergi dengan Lisa. Lagipun bukannya lama sangat...2-3 hari je..."Wari
membelek-belek wajahnya dicermin. Senyum tak putus-putus terukir di dua bibirnya. Sekejap-kejap dia
melihat jam tangannya.
"Ni bersiap-siap nak ke mana. Baru balik...dah nak keluar?"Mak Ungku tarik nafas panjang
melihat gelagat anak bujangnya itu. Perubahannya ketara benar. Dari liar, dia menjadi sopan. Dari
pemarah, menjadi girang begitu. Sedikit sebanyak dia berasa gembira dengan perubahan itu. Tapi
kadang kala, dia curiga juga.
"Saya nak keluar ni......nak gi tengok wayang!"
"Dengan Rina?"Wari tersengih.
"Tak, dengan Siti!"
Mak Ungku beristighfar dalam hati. Dia menghela nafas panjang. Ternyata apa yang dia takutkan
selama ini telah terjadi. Wari, Siti itu bukan untukmu!
**********************************
Genggaman tangan mereka terlerai. Siti tersenyum malu. Dia tidak tahu kenapa dia membiarkan
Wari menyentuh tangannya. Kalau boleh dia tidak mahu semua itu berlaku. Dia berlari-lari anak.
Meninggalkan Wari di gigi pantai. Terasa berat kakinya di selaputi debu-debu pantai yang halus.
Seketika dia menghela nafas. Angin yang bertiup menyegarkan badan. Pandangannya dilemparkan.
Memerhatikan susuk Wari yang membongkok, mengutip kerikil-kerikil tajam. Bila Wari menoleh ke
arahnya, Siti melambai tangan.
Ahh...terlalu jauh aku dibawa keadaan. Tapi perasaan ini....bukan boleh disisihkan!
"Nak balik ker?"Wari mencungap bila sampai di depan Siti.
"Jom!"Siti membetulkan tudungnya.
"Cepat sangat la.."Muncung.
"Kata nak cari durian? Lisa dah lama tunggu kat rumah tu. Nanti dia merajuk."Siti tarik muka.
Mesti Lisa marah sebab tak ajak dia ke Desaru petang itu. Tapi Wari yang berkeras tidak mahu
membawa Lisa sama. Tak ada privacy, katanya.
"Esok kita pergi lagi...?"
"Esok kita dah balik KL...jangan perasan...."Siti ketawa kecil.
"Lain kali, saya nak datang sini lagi...."Wari mempercepatkan langkah, menyaingi Siti.
"Awak kawin le dengan orang Johor....tiap-tiap minggu boleh balik.."
"Dengan Siti?"Siti terdiam. Dia mengerling ke wajah Wari.
"Tak nak la..."Siti juih bibir.
"Ohh....lupa..Siti tak nak sebab...nak tunggu siapa tu...Zair...Huzair?"
"Wari!"Sepantas kilat jemari Siti sudah mengutil lengan Wari. Wari mengeliat kesakitan.
"Kan saya dah cakap jangan ungkit lagi cerita tu. Kalau saya tahu macam ni, tak nak saya cerita
kat awak!"Siti melajukan langkah. Dia terdengar derai ketawa Wari di belakang.
"Okay..okay..."Wari memaut lengan Siti. Siti membalikkan badan. Wajah mereka bertentangan."
Saya tak ungkit lagi....tapi ada syaratnya..."
"Apa syaratnya?"
"Jadi milik saya!"
Siti tersenyum. Dia tidak mahu menjawabnya, Biarlah hati saja yang berkata 'ya'
***********************************
Azimin resah di bangku. Melihat Maria yang masih lena di perbaringan. Pemandangan yang biasa
waktu petang-petang begini. Dia melonggarkan tali lehernya. Nafasnya yang turun naik dibiarkan reda
seketika. Perasaannya menjadi hampa. Bukan dia tidak pernah berasa begitu. Tapi kali ini lebih-lebih
lagi. Malah, mengetahui kepulangan Siti ke kampung bersama Wari sebentar tadi, seakan meruntun
segenap perasaannya. Apalah yang Wari buat di sana? Kerja di pejabat ditinggalkan, semuanya
dibiarkan orang lain yang uruskan. Azimin berasa sebal dengan perangai Wari sejak akhir-akhir ini.
Dia turun ke dapur sebentar untuk mengambil minuman. Seketika pandangannya bertembung
dengan kelibat Kartini yang muncul dari bilik air. Kartini tersenyum penuh makna sebelum masuk ke
bilik belakang. Azimin menggeleng. Butang kemeja mula dibuka satu persatu. Perlahan-lahan dia
menyusup masuk ke bilik yang sama.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 16
Hari-hari yang dilalui semakin bermakna bagi Siti. Dia dapat merasakan semangatnya yang
berkobar-kobar tiap kali memulakan harinya. Perasaannya berkembang, sesuatu yang tidak pernah dia
rasakan sebelum ini. Amat berlainan. Dia ingin tersenyum setiap masa. Malah adakalanya dia tertawa
sendirian. Mengenangkan percutiannya tempohari di kampung. Sesuatu yang lucu untuk diingat kini.
Wajah Wari kini sentiasa di ruang matanya. Entah kenapa. Perasaan halus yang menusuk-nusuk
dalam hatinya kini semakin bercambah. Kalau dulu, dia sering tertanya-tanya rasa apakah yang selalu
bermain dalam hatinya itu. Kini dia mula menyedari. Rasa yang hadir, adalah rasa ingin memiliki dan
dimiliki. Dimiliki seseorang. Dan disayangi. Seperti yang Huzair selalu sebut-sebutkan dulu. Dan kini, dia
telah faham keinginan itu.
Wari, lelaki yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk terus bertapak dalam hati. Terlalu
cepat dirasakan. Dia telah tewas dengan perasaannya sendiri. Walau dia seboleh-bolehnya tidak mahu
perasaan itu terus wujud dalam dirinya. Tapi Wari telah memulakan segalanya. Wari telah menyuburkan
rasa di segenap ruang hatinya. Ahh....kalaulah orang tahu! Kalaulah Kak Melah tahu. Kalaulah Mak
Ungku tahu. Alangkah tak patutnya dia menyimpan perasaan sedemikian! Alangkah tidak
bertimbangrasanya dia. Alangkah tidak amanahnya! Hadirnya dia di sini adalah untuk mencari sesuap
nasi. Bukan untuk mencari cinta. Bukan untuk menjalin hubungan terlarang dengan sesiapa.
Siti cuba buangkan perasaannya jauh-jauh walaupun dia rasakan perasaan itu semakin
berkembang dalam dirinya. Setiap kali memandang lelaki itu, getar-getar dadanya semakin membuak.
Seakan ingin dia dampingi lelaki itu setiap masa. Seakan ingin dia sentiasa di depan mata. Ahh....
indahnya perasaan ini! Tidak pernah dia merasakannya. Bagaimana untuk dia sengaja membiarkan ia
terbuang begitu saja. Sedangkan ia terlalu indah!
Jadi milik saya! Siti tersenyum lagi. Bagai terngiang-ngiang perkataan itu dipendengarannya.
Walaupun dia tidak pernah berkata 'ya', tapi senyum dan riak wajahnya sudah menggambarkan
segalanya. Cukuplah hanya itu. Cukuplah hanya itu jawapan darinya. Dia pasti Wari telah tahu
segalanya. Tidak perlulah ungkapan cinta dari dua bibirnya. Cukuplah hanya hati masing-masing yang
mengerti antaranya. Siti pasti Wari tahu apa yang bergejolak dalam hatinya. Wari tahu apa yang dia
rasa. Dan begitu juga dia. Dia tahu apa yang Wari rasa. Apa yang bergejolak dalam hatinya.
Tuhan, andai ini nikmat dari-Mu. Restuilah ia!
*********************************
Lenggok gadis itu tertangkap oleh matanya. Masih seperti dulu. Begitu lembut dan mempesona
kan. Suatu masa dulu lenggang lenggok itulah yang telah menghanyutkan dirinya. Lemas dalam
menikmati keindahan ciptaan Tuhan itu. Kalaulah tidak kerana dia sedar awal. Pastinya nasibnya
masih seperti dulu. Terus hanyut, terus lemas. Wari menggeleng. Dia memerhatikan langkah gadis itu
yang semakin mendekat. Pandangan mereka bertembung.
"Lama tunggu?"Suara halus itu kedengaran. Wari menggeleng, membetulkan duduknya.
"You nampak lain..."Rina merenung Wari lama. Wari hanya tersengih.
"I biasa je..."Wari mengalih pandangan. Malas dia hendak bertentang mata dengan perempuan
itu. Tujuannya hari itu hanya satu. Memberi kata putus. Dia tidak mahu Rina terus mencarinya.
"I ada hal nak cakap dengan you..."
"Kalau ya pun...tunggulah I order minum dulu. You tak nak makan ke?"
Rina mengangkat tangannya pada waitress.
"Tak. I dah makan...."Balas Wari malas. Dia menunggu Rina selesai memberi pesanan.
"Tunggu I makan, okay. I lapar!"Rina ketawa kecil. Matanya galak bersinar, merenung Wari.
"I tak boleh lama, Rina.."
"You sengaja nak lari dari I...susah nak jumpa you sekarang. Hari ni, angin apa tiba-tiba ajak I
keluar?" Rina bersandar penuh gaya. Wari tarik nafas panjang.
"I nak ini pertemuan kita yang terakhir..."
"Maksud you?"
"Kita dah tak sama haluan, Rina. You lain, I lain....masa dah berubah..."Rina ketawa sinis.
Bibirnya menjuih.
"You nak jadi pak lebai, ke Wari?"Tawanya kedengaran. "Patutlah sekarang ni I tak pernah lagi
nampak you kat tempat kita. Member-member semua tanya pasal you, Wari!"
Wari menggeleng. Dia menentang mata Rina. Rasanya perasaannya dia terhadap gadis itu telah
terhapus sama sekali. Dan dirasakan selama ini dia tidak pernah mencintai gadis itu. Mungkin apa yang
dia rasa selama ini hanyalah keseronokan semata-mata.
"Rina, dua orang kawan kita dah meninggal, Rina. You tak rasa insaf ke?"Suara Wari lembut, cuba
memujuk gadis itu.
"Diorang tu accident. Tak ada siapa sangka..."Balas Rina.
"Hari tu, you jugak yang sedih sangat..."
"Sebab I terkejut. "Rina muncung. "Memang I sedih....tapi yang pergi tetap pergi. Kita yang
hidup...teruskan hidup..."
"Tapi bukan dengan cara yang sama.."Rina mengeluh. Dia menggeleng.
"I suka dengan life I sekarang ni.."
"Nyawa kita ni bila-bila masa je boleh melayang , Rina..."
"Sudahlah Wari....you jumpa I ni nak suruh I jadi macam you ker? You nak berubah, you berubah
sorang-sorang. I belum lagi..."Rina menarik gelas minuman yang baru diletak waitress. Dia
menyedutnya lama.
"I nak you jangan buat lagi benda-benda yang kita enjoy kan dulu...semua tu maksiat, ina..."Rina
tarik muka, malas hendak mendengar. Wajahnya dipaling ke arah lain. Hasratnya untuk melepaskan
rindu pada lelaki itu, hancur berkecai. Kali ini Wari benar-benar lain. Betul apa yang dikatakan kawankawan
mereka. Wari sudah berubah. Sudah jadi orang berkerjaya. Gaya, pemikiran semua sudah
berubah. Dan kini dia cuba mengubah dirinya pula. Mana boleh dia tinggalkan semua itu dalam sekelip
mata. Gila!
"I lakukan ini kerana I anggap you sebagai kawan baik I..." Rina mendengus.
"Hanya kawan?"Suaranya meninggi. "You dah usung I sana sini, sekarang you anggap I hanya
kawan?"
"Rina...I rasa apa yang kita lakukan selama ini adalah satu kesilapan. Kita hanya inginkan
keseronokan....kita tidak pernah serius dalam hubungan ini, bukan?"Wari memandang tepat wajah Rina
yang mencuka. Hilang kemanisan wajah itu.
"I serius...."
"Tidak....kalau you serius, you takkan keluar dengan lelaki-lelaki lain...."
"Tapi diorang tu semua member-member kita!"Suara Rina meninggi. Satu sikap Rina yang paling
Wari tidak gemari. Suka membentak.
"Itu sebab I tak rasa you serius dengan satu-satu perhubungan. Bagi you semua hubungan sama
saja. Asal dapat keseronokan..."
"You menghina I?"
"Tidak Rina....I nak kembali pada diri I seperti dulu-dulu....sebelum I kenal you....."Wari bersuara
perlahan.
"You nak tinggalkan I?"Rina tarik jemari Wari.
"I tak tinggalkan you. Kita tetap kawan. Tapi cara kita dah berbeza. Kita tak boleh jadi macam
dulu lagi....."Rina menggeleng. Wajahnya memerah.
"Tapi....I sayangkan you Wari.....I nak kita macam dulu......"Jemari Wari dikucupnya. Wari
mengeluh. Dia menarik kembali tangannya. Mengeluarkan not RM20, lalu disisipkan di tepi gelas.
"I tak dapat tunggu you makan. I kena balik ofis..."Wari bersedia untuk bangun. Sepantas kilat
Rina menarik kembali tangan Wari. Wari merenung Rina tajam.
"I akan tetap cari you ....."Rina tersenyum nipis.
"Jangan Rina. Antara kita dah tak ada apa-apa. Biar I hidup dengan cara I. Dan....jangan cari I
lagi.."Wari merengus. Dia berpaling kasar, meninggalkan Rina terkebil-kebil sendirian.
*******************************
"Kak Siti!"Lisa terjengol tengah pintu. Siti bangun dari katil serta merta. Dia baru bercadang
untuk tidur sebentar petang itu. "Kenapa Lisa?"Siti menghampiri Lisa yang berbungkus kepalanya
dengan tuala. Baru dicuci mungkin. Haruman syamfoo menerpa ke deria bau.
"Kak Mar panggil Kak Siti"
"Ha? Ada apa?"Dada Siti mula berdebar. Lisa menggeleng.
"Tak tahu. Pergilah naik atas. Kak Mar tunggu kat bilik dia..."Lisa berpaling lalu beredar. Siti tahu
Lisa perlu hadiri kelas tuisyen petang itu. Sebab itu dia tampak kelam kabut saja.
Siti terpacak seketika depan pintu. Dia tarik nafas panjang. Dadanya semakin berdebar. Tak
pernah-pernah Maria memanggilnya tergesa-gesa begitu. Apa yang tak kena? Apa yang telah dia buat?
Didi dan Fifi mengadu pasal aku ke? Siti rasa takut tiba-tiba. Dia bergegas menukar pakaian.
Menggantikannya dengan baju kurung biasa. Mungkin Maria tahu dia selalu keluar sejak akhir-akhir ini.
Mungkin Maria rasakan anak-anaknya terabai. Ahh....aku juga yang ikutkan sangat ajakan Wari tu!
Siti menapak ke tingkat atas. Suasana petang yang sunyi itu menambahkan kekalutan hatinya.
Petang-petang begini, kalau tak menonton tv, Siti lebih suka melelapkan mata. Kerana Mak Ungku dan
Maria juga lebih suka memerap di bilik mereka. Hendak harapkan Kartini untuk diajak berbual kosong,
jangan diharap. Sejak akhir-akhir ini semakin bergaya nampaknya wanita seberang itu. Solekannya juga
agak berlebihan. Siti perasan juga, tapi dia tidak berani bertanya lebih-lebih. Siti mengetuk pintu
beberapa kali. Tanpa menunggu jawapan dari dalam, Siti memulas tombol. Suasana bilik tersebut agak
suram kerana langsir tebal menutupi keseluruhan tingkap. Bau ubat-ubatan mula menyengat hidung.
Siti sudah terbiasa dengan keadaan itu. Dia melihat Maria bersandar di kerusi empuk. Dengan buku
tebal ditangan. Senyuman terukir di bibirnya yang lesu. Tiada riak kemarahan pada wajah itu. Siti
sedikit lega.
"Kak Mar panggil saya?"Siti bersuara perlahan. Maria mengangguk. Buku tebal diletak atas meja
kecil sebelah katil.
"Mari duduk dekat Kak Mar...."Suaranya perlahan, seakan berbisik saja kedengarannya. Siti
menapak ke depan. Duduk di birai katil, menghadap Maria. Dalam hatinya berdebar juga. Entah apa
yang hendak disampaikan Maria sebentar nanti.
"Emm.....macamana kerja kat sini, ok tak?"Maria memulakan bicara. Siti sedikit terkejut dengan
pertanyaan itu. Sudah hampir tiga bulan dia bekerja di situ. Baru hari ini Maria bertanyakan
perasaannya.
"Ok saja, Kak Mar..."Balas Siti pendek.
"Betul?"Siti angguk.
"Kak Mar minta sambung keja 2-3 bulan lagi, Siti tak kisah?"
"Tak kisah, Kak Mar. Mak izinkan.."Maria tersenyum. "Siti sayang pada Didi dan Fifi?" Siti kerut
dahi. Wajah Maria ditatap lama. Dia memang sayang pada Didi dan Fifi. Anak-anak kecil itu amat
akrab dengannya. Setiap hari mereka menghabiskan masa bersama. Dengan anak saudara sendiri pun
Siti tidak pernah rapat selama itu.
"Saya memang sayangkan mereka, Kak Mar. Dah lama saya dengan diorang.....kalau saya
berhenti nanti, mesti saya rindukan mereka...."
Maria bangun tiba-tiba. Dia menapak ke tingkap. Menarik kain langsir, menjadikan suasana bilik
itu bertukar wajah. Jadi terang sedikit. Dia bersandar di tepi tingkap sambil badannya menghadap ke
arah Siti. Memandang Siti dengan pandangan yang tidak dapat ditafsirkan Siti.
"Kalau Siti terus menjaga Didi dan Fifi sampai bila-bila, mahukah Siti?"Maria bersuara satu-satu.
"Sampai bila-bila?"Siti bangun. "Maksud Kak Mar?" Maria menghampiri Siti.
"Kak Mar mahu saya terus bekerja di sini?"Siti sedikit gusar. Dia mengalih pandangan.
"Bukanlah macam tu...."Maria tersenyum lalu memaut bahu Siti. Mengajak dia duduk kembali di
birai katil. Maria menggenggam tangan Siti erat. Pelakuan Maria hari itu benar-benar membuat Siti
keliru.
"Siti tahu kan........keadaan Kak Mar ni, memang dah tak ada harapan lagi...."Maria mengeluh
lirih. Matanya mula berkaca.
"Kak Mar janganlah cakap macam tu. Kan Kak Mar makin sihat ni..."Siti membalas genggaman
tangan Maria. Maria tersenyum tawar.
"Akak dah tak ada harapan Siti. Penyakit akak ni dah tahap kronik. Walaupun dah berjaya
dibedah, tapi sel barah akak tak mati sepenuhnya. Bila-bila masa ia boleh menyerang semula. Akak
hanya tunggu masa!"Maria mengesat pelupuk matanya yang bergenang.
"Kak Mar..."Siti tarik nafas, menahan pilu di dada. Simpatinya membuak-buak. "Tak baik cakap
macam ni, Kak Mar. Kak Mar janganlah berputus asa...."
"Akak bukan berputus asa......cuma.....akak redha..kalau dah memang ajal akak...."
"Ajal dan maut di tangan Tuhan, kak...."
"Akak tahu.....tapi sebagai manusia....bukankah kita diberi petanda. Dan penyakit ini...sebagai
petanda..."
"Dah la kak....jangan cakap pasal ni...." Siti geleng kepala. Hatinya ikut sebak mendengar
rintihan wanita itu.
Maria menarik nafas panjang. Jemari Siti masih dalam genggaman. Dipegang erat bagai tak ingin
dilepaskan. Siti merenung wajah lesu itu. Matanya yang bengkak. Tulang pipi menonjol, sudah cukup
menggambarkan betapa menderitanya dia menanggung sakitnya itu. Siti tidak dapat bayangkan andai
dia berada di tempat itu.
"Apa yang akak risaukan selama ini, adalah Didi dan Fifi. "Dia terhenti sebentar, melemparkan
pandangan ke tingkap yang terdedah. "Mereka masih kecil dan masih perlukan kasih sayang dan belaian
seorang ibu. Sudah terlalu lama rasanya akak tidak mencurahkan semua itu...."
"Mereka faham akak tengah sakit..."
"Mereka terlalu kecil Siti. Akak tak sanggup nak tinggalkan mereka...."Maria mula teresak. Dia
menutup wajahnya dengan tapak tangan. Terhinggut-hinggut bahunya menahan tangisan. Siti menyeka
air matanya di hujung mata. Dia ikut sebak.
"Akak tak nak mereka hilang kasih sayang seorang ibu. Akak tak nak mereka hilang perhatian...."
Siti peluk bahu Maria, cuba menenangkannya.
"Akak tak nak mereka jatuh ke tangan orang lain, yang tak bertanggungjawab. Yang tak dapat
menjaga mereka dengan baik.." "Sudahlah kak....jangan pikir yang bukan-bukan. Akak akan tetap jaga
mereka...."
"Siti....."Maria mengalih pandangan. Menentang wajah Siti. Air matanya tak putus-putus mengalir.
"Mahukan Siti terus menjaga Didi dan Fifi?"Siti termangu. Lidahnya kelu tiba-tiba.
"Mahukah Siti?"
"Emmm....err..Siti akan jaga mereka...janganlah akak risau..."
"Walaupun selepas ketiadaan akak nanti?"Siti terdiam. Dia tidak tahu apa yang perlu dijawab.
"Mahukah Siti menjadi ibu kepada mereka?"Maria pegang kedua-dua bahu Siti.
"Maksud kak Mar?"
Maria melepaskan pegangan. Dia bingkas, lalu berjalan ke arah tingkap. Sekejap berpeluk tubuh.
Sekejap dia berjalan mundar mandir depan Siti. Siti berdebar-debar melihat sikap Maria yang berlainan
itu. Apa yang mengganggu fikirannya?
"Sudikah Siti menjaga mereka sebagai anak-anak Siti?"
"Saya tak faham Kak Mar..."
"Ganti tempat akak..."Maria terhenti, menelan liur. "Jadi ibu kepada mereka. Akak rasa Sitilah
orang yang paling sesuai untuk menggantikan tempat akak...."
"Gantikan tempat akak?"Siti jadi tidak sedap hati. Kenapa harus menggantikan tempat Maria.
Bukankah sekarang dia masih berkerja menjaga anak-anaknya. Bukankah itu sudah memadai.
"Harapan akak, agar Siti dapat terus berada di sini, bersama mereka."Maria tersenyum.
"Tapi, itu mustahil kak. Lambat laun saya akan berhenti juga, dan pergi dari sini...."Siti
menggeleng. Mustahil bagi dia untuk terus menetap di sini. Sampai bila? Dia tetap orang asing dalam
rumah ini.
"Siti, akak ingin melamar Siti..."
"Melamar?"Dahi Siti berkerut.
"Melamar Siti bagi pihak Abang Min..."Maria mendekati Siti, lalu bertinggung di depan Siti yang
duduk di birai katil.
"Sudikah Siti menjadi isteri Abang Min?" Siti kaku. Soalan apa ini? Wajah Maria yang murung di
renung lagi. Benarkah apa yang aku dengar?
"Jadilah isteri Abang Min, dan jadilah ibu kepada Didi dan Fifi....."Maria tersedu. "Jangan
hampakan akak!"
Pandangan Siti berpinar. Dia tak sanggup untuk mendengar lagi.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 17
Permintaan itu terlalu berat baginya. Malah kalau dihempap batu sekalipun dia masih mampu
menampungnya. Tetapi yang satu ini bagai meregut segala ketenangannya selama ini. Bagaimana dia
harus memikirkannya? Bagaimana dia harus berkata 'ya' sedang dalam hatinya berperang dengan
segala kekusutan. Kekusutan yang bersimpul-simpul dan akhirnya hanya menyesakkan kepala.
Kenapalah dia harus menghadapi semua ini? Kenapa dia harus tersepit dalam permainan ini? Sudah
ditakdirkankah?
Adakah takdirnya sekusut ini?
Siti menghela nafas. Airmata yang tersisa di hujung mata diseka lagi. Dia mendongak, menatap
syilling yang berukir bunga teratai. Sudah ada bintik-bintik hitam pada permukaan syiling itu. Mungkin
begitu juga bintik-bintik hitam yang telah wujud dalam hidupnya. Yang telah meragut ketenangannya
selama ini. Siti jadi sesak nafas. Dia ngilu memikirkan permintaan Maria siang tadi. Jantungnya bagai
mahu luruh. Dia ingin lari kuat-kuat tinggalkan bilik itu. Kalau boleh dia ingin lari terus dari rumah itu.
Rumah indah yang telah menjerat dirinya sendiri. Sampai hati Kak Mar!
Tahukah Maria yang dia begitu menghormati wanita itu? Begitu terhutang budi pada dia dan Mak
Ungku. Hinggakan untuk berkata 'tidak' pun dia jadi kelu. Untuk menggeleng pun dia tak mampu.
Sampai hatikah dia untuk menolak permintaan gila itu? Jadi isteri Azimin? Ya, Allah.....dia tidak pernah
terfikir sampai ke tahap itu. Apa yang Maria fikirkan tentang dirinya? Pengganti yang layak untuk
menjadi ibu kepada Didi dan Fifi? Mustahil!
"Akak dah tak mampu bahagiakan Abang Min....akak rasa berdosa abaikan dia....akak...."Maria
tersedu lagi. Siti gigit bibir sampai sakit. Kalau boleh dia tidak mahu mendengar lagi.
"Akak nak Siti dapat jaga Didi dan Fifi....abang Min...."Siti pejamkan matanya rapat-rapat.
Fikirannya terus melayang.
Dia sayangkan Didi dan Fifi. Dia sanggup untuk menjaga mereka. Tapi untuk mengahwini
Azimin.....dia tidak yakin dapat melakukannya. Lagipun dia tidak mengenali Azimin langsung. Kenapa
Maria begitu tekad ingin menyerahkan Azimin kepada orang lain. Sanggup bermadu semata-mata mahu
melihat suaminya bahagia kembali. Berbaloikah pengorbanannya itu? Setakat untuk menjaga Didi dan
Fifi dia masih boleh menggaji pembantu rumah khusus untuk anak-anaknya itu. Kenapa mesti menyuruh
suaminya berkahwin lagi? Tidak kecewakah dia?
"Akak sudah lama izinkan Abang Min berkahwin lain, sebab akak dah tak dapat jalankan tugas
seorang isteri dengan sempurna. Sedangkan Abang Min masih perlukan itu semua. Makan pakai dia pun
tak terurus....."Maria bersuara lagi bila melihat Siti hanya mendiamkan diri. "Cuma akak nak pastikan
calon pilihannya adalah tepat. Bukan saja untuk menjaga dirinya....tetapi juga Didi dan Fifi.....itu yang
lebih penting..."
"Biarlah Abang Min saja yang tentukan kak....biarlah dia yang cari calonnya sendiri...."
"Abang Min pilih Siti...."Siti bulatkan mata. Dia bagai tidak percaya.
"Maafkan akak Siti. Akak yang cadangkan Siti....dan Abang Min setuju....dia tak kisah...."
Apalah yang hendak dikata! Siti bagai bermimpi. Azimin telah memilih dirinya. Begitu mudahnya.
Tidak terfikirkah lelaki itu untuk mencari gadis yang lebih sesuai untuk dirinya. Gadis korporat, atau
gadis berkerjaya yang setaraf dengan kedudukannya. Kenapa mesti dia? Adakah kerana cadangan
Maria? Ahh.....Kak Mar...kenapa dia juga yang menjadi pilihan?
"Jangan hampakan akak, Siti....sebelum akak tutup mata..."
"Kak Mar, janganlah cakap macam tu.....akak buat saya serba salah...."Siti menggeleng kepala.
"Siti sudah ada orang lainkah?"Siti menggeleng lagi.
"Siti tak nak khianati akak...."Maria pegang kedua-dua bahu Siti. Dia tersenyum tawar.
"Bukan Siti khianati akak....itu permintaan akak sendiri...."
"Akak tak kecewa?"
"Akak lebih kecewa kalau Siti menolaknya"
Siti tidak tahu apa lagi alasan yang boleh diberikan. Dia jadi buntu. Maria sedikit mendesak.
Sampai begitu sekalikah harapan Maria terhadapnya?
*************************
"Makcik tak paksa Siti untuk terima cadangan Maria tu..."Mak Ungku merenung wajah Siti yang
sembap. Semalaman Siti tidak lena tidur memikirkan keputusannya. Pagi itu dia betul-betul rasa lemah
dan tak bermaya. Dia rasa bagai ingin demam.
"Tapi, makcik pun tak dapat nak halang hasrat Maria..."Dia mengeluh, menunduk seketika. Riakriak
air kolam yang tenang sesekali bersinar terkena cahaya matahari pagi. Pagi yang dingin. Sedingin
perasaan Siti. "Sudah lama Maria berhasrat untuk mencari pengganti dirinya. Dia tahu dia tak lama. Dia
benarkan Azimin berkahwin lain, kerana Maria sendiri sudah tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya
sebagai isteri. Sudah 2 tahun dia menanggung sakit. Kali ini keadaan dia semakin membimbangkan."
Siti mendiamkan diri, mendengar butir-butir kata yang keluar dari mulut Mak Ungku. Dia sendiri
kehilangan kata.
"Maria menghidap barah rahim. Rahimnya telah dibuang masa pembedahan pertama dulu. Dia
tidak boleh mengandung lagi..."Mak Ungku menarik nafas panjang. Matanya mula berkaca.
"Hasratnya hanya satu. Ingin melihat Didi dan Fifi mendapat kasih sayang dari orang yang
sepatutnya. Dia memilih Siti kerana percaya Siti dapat memikul tanggungjawab itu.."
"Saya....."Siti telan liur.
"Makcik cuba halang hasratnya dulu, tapi dia berkeras. Katanya ini pengorbanannya yang terakhir.
Dia terlalu sayangkan suami dan anak-anaknya...."Air mata diseka perlahan. Wajah tua itu murung,
sarat dengan kesedihan.
"Makcik tahu, amat sukar bagi Siti..."
"Saya..."Siti menggeleng kepala. "Saya ...tak tahu nak buat apa, Mak Ungku...Saya buntu."
"Jangan paksa diri Siti. Semuanya terpulang pada Siti...."
"Saya perlukan masa, Mak Ungku.."Hanya itu yang mampu dia katakan. Dia tidak boleh berjanji
apa-apa. Hatinya berbelah bagi. Antara pendirian dan simpati.
Mak Ungku genggam tangan Siti. Renungan mereka bertaut. Siti jadi resah sendiri. Dia tahu, dia
tidak akan sampai hati untuk menghampakan Mak Ungku. Walaupun orang tua itu tidak memaksa,
tetapi jauh di sudut hatinya, Siti tahu dia juga mengharapkan kebahagiaan Maria. Membahagiakan Maria
dengan cara memenuhi permintaannya. Permintaan terakhir, bolehkah dianggap begitu? Maria begitu
tega. Merelakan dirinya untuk berkongsi kasih dengan wanita lain. Tidak sedihkah Maria bila melihat
suaminya bergandingan dengan wanita lain. Tidak kecil hatikah dia bila melihat anak-anaknya bermanja
dengan orang lain. Dan sanggupkah Siti menjadi orang pengantara itu? Melukakan hati Maria sekaligus
meragut kasih sayang mereka. Tapi...Maria juga yang bersungguh-sungguh mengharapkan dia. Maria
yang nekad. Dia ikhlas ingin membahagiakan suaminya. Itu yang dia kata. Azimin bagaimana? Kenapa
dia tidak membantah saranan gila Maria itu. Ataupun kalau benar dia ingin berkahwin lain, kenapa tidak
dicari wanita-wanita yang lebih sesuai dengannya. Kenapa pilih dia?
**********************************************
Wari hairan. Sejak 2-3 hari kebelakangan ini Siti kelihatan berlainan benar. Kalau dia pulang dari
pejabat, jarang benar dia melihat Siti di luar. Kalau dulu Siti selalu menyambutnya di kerusi batu tepi
kolam. Dan gadis itu akan tersipu-sipu tiap kali disapa olehnya. Wajahnya memerah, terserlah disebalik
senyumannya itu. Dan Wari berasakan getaran dadanya semakin kuat setiap kali berhadapan dengan
gadis itu. Ahh....tak sanggup lagi rasanya menyimpan rasa!
Hari ini Siti suram lagi. Wari jadi lesu. Dia jadi tidak bersemangat. Senyuman Siti tidak kelihatan
lagi. Kenapa dengan gadis itu? Apa yang membuat dia berubah laku? Wari sedari Siti seakan ingin
menjauhkan diri darinya. Sudah mahu lari-lari. Kalau di meja makan, dia hanya diam. Tiada lagi
renungan mata yang penuh makna. Atau senyuman yang menggegar jiwa. Siti jadi seperti dulu-dulu,
waktu kali pertama berjumpa. Polos dan dingin. Kenapa dengan dia?
Perlukah dia bertemu Siti dan bertanyakan masalahnya? Atau perlukah dia curahkan perasaannya
saat itu juga? Mustahil Siti tidak menyedarinya. Mustahil Siti tidak mengendahkannya. Kenangan di
kampung tempohari masih segar dalam ingatannya. Layanan mesra Siti dan keluarganya bukankah
menggambarkan perasaan gadis itu terhadapnya. Atau Siti hanya berpura-pura? Berpura-pura mesra
dengannya supaya dia tidak hanyut kembali kepada zaman silamnya. Berpura-pura untuk memberi
semangat kepadanya. Kemudian, setelah dia mendapat keyakinan, Siti akan berlalu pergi. Begitu?
Mustahil. Mustahil Siti hanya berpura-pura. Kerana dia sendiri yakin akan perasaan Siti terhadap
nya. Walaupun gadis itu tidak pernah mengiyakan, apatah lagi melafazkan, tapi gerak lakunya sudah
cukup menggambarkan segalanya. Wari yakin. Dia tidak bertepuk sebelah tangan. Tapi kenapa gadis itu
menjauhkan diri tiba-tiba. Apa yang telah dia lakukan? Adakah Siti tahu pertemuannya dengan Rina
tempohari? Mustahil! Wari tidak fikir Siti menjauhkan diri darinya kerana Rina. Gadis itu telah lama dia
tinggalkan. Dan dia memang bercadang untuk memberitahu Siti tentang hubungannya dengan Rina
yang telah berakhir.
Selepas itu dia bercadang untuk memaklumkan hasratnya kepada Mama. Hasrat untuk memiliki
Siti. Dia ingin Siti jadi miliknya. Dia ingin Mama tahu dan sekaligus merestuinya. Sudah kerap kali dia
membawa Siti keluar tanpa pengetahuan Mama. Dia tidak mahu Mamanya beranggapan bukan-bukan
terhadap mereka, lebih-lebih lagi terhadap Siti. Kerana itu Wari bercadang untuk menemui Mamanya
nanti. Dia inginkan hubungan yang lebih bermakna dengan Siti. Kerana dia rasakan hatinya cukup
bersedia untuk itu. Bila Mama tanya tentang hubungannya dengan Rina, dia akan katakan semuanya
telah selesai. Dia dan Rina sudah berpisah, atas kehendak hatinya sendiri. Pasti Mama juga gembira
kerana sedari dulu dia kurang berkenan dengan pelakuan Rina. Wari sedari itu.
Wari tidak kisah walau Siti gadis kampung. Yang kecil-kecilnya dulu ralit bermain dengan getah
sekerap. Yang pakaiannya saban hari hanya baju kurung atau berkain batik. Dia tidak kisah semua itu.
Baginya yang penting hati dan perasaan. Perasaannya terhadap gadis itu bukan dibuat-buat. Dia serius.
Dia ingin tinggalkan semua kegiatan silamnya yang bukan-bukan. Dia ingin jadi orang yang lebih
bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya kalau bukan pada orang lain, pada dirinya sendiri. Dan saat ini,
dia berasakan sudah sampai masanya untuk dia mendampingi seseorang yang diperlukan sepanjang
hidupnya. Dan orang itu adalah Siti.
********************
Mak Jah melepaskan helaan nafas. Wajah anak daranya yang bersandar di tepi pintu di pandang
lama. Rasa kesian pula dia pada Siti. Tidak habis-habis dia dibebankan dengan masalah seperti ini.
Kalau dengan Huzair dulu, dapatlah juga dia memberi alasan. Kali ini nampaknya payah benar dia
hendak membuat keputusan. Mak Jah sendiri tidak tahu, siapakah yang Siti inginkan. Setahunya Siti
tidak berkawan dengan sesiapa. Lelaki yang dibawa balik tempohari itu, juga dinafikan. Walaupun Mak
Jah suka benar dengan anak muda itu. Sopan dan tidak banyak kerenah walaupun terpaksa tinggal di
rumah buruk mereka itu. Selalunya anak-anak orang senang ini tidak betah tinggal lama-lama di rumah
kampung begitu. Kemudahan kurang, tak ada hiburan. Tetapi anak muda tempohari gembira benar
menghabiskan cuti di sini.
"Kesian Kak Mar tu, mak....."Siti memecah kesunyian. Pandangannya tidak beralih, masih
tertancap ke luar sana.
"Habis tu...Siti nak terima semata-mata kesian?"Mak Jah mendengus. Tangannya ligat memarut
batang ubi, untuk dibuat opak-opak.
"Siti tak sampai hati..."
"Itulah Ti.....selalu tak sampai hati. Dulu Huzair tu, boleh pulak Siti tolak...."Siti toleh ke arah Mak
Jah. Dia muncungkan mulut.
"Huzair lain mak. Dia boleh cari lain. Tapi Kak Mar ni.....beriya-iya sangat...."
"Mana ada orang beriya-iya nak bermadu, Siti?"Mak Jah berhenti memarut. Rasa lenguh pula
tangan tuanya. "Ini...siap dicarikan madu untuk suaminya...sanggup dia..."
"Entahlah mak, Kak Mar tu macam dah putus asa...."Balas Siti lemah."Kesian Siti tengok dia..."
"Tak habis-habis kesian dengan orang, diri sendiri yang merana..."Rungut Mak Jah, melunjurkan
kakinya seketika. Tinggal 2-3 biji ubi lagi yang perlu diparut.
Siti berinsut mendekati ibunya. Tangannya menguis-nguis sisa ubi kayu yang berkecah sekeliling
dulang. Bau ubi kayu yang diparut kuat menusuk hidung. Pagi esok dia akan kembali semula ke KL. Dia
akan berterus terang dengan Maria tentang keputusannya. Dia sudah bincangkan perkara itu dengan
kedua orang tuanya. Entah. Agaknya inilah suratan hidupnya yang telah ditentukan. Mungkin ada
hikmah disebaliknya. Siapa tahu?
"Abang akan cuba kenali Siti, dan Siti pun cubalah kenali abang secara perlahan-lahan.......abang
takkan paksa Siti untuk terima abang..."Azimin bersuara sewaktu menghantarnya ke puduraya
empohari. Kali pertama dia berbual dengan lelaki itu setelah diizinkan Maria.
"Cinta tak boleh dipaksa...tapi..abang ikhlas terima Siti.."Siti mendongak, menatap wajah lelaki
itu. Pandangan yang bertaut, masih sukar dimengertikan.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 18
Pagi itu, Siti terjaga awal kerana mendengar keriuhan di luar bilik. Dia menjenguk ke luar tingkap
melihat pemandangan yang masih kelam. Jam loceng di atas meja dikerling sekilas. Baru pukul 6.00
pagi. Apa yang kecoh sangat? Dia menguap sambil mengeliat. Membiarkan tulang temulangnya
mengeluarkan bunyi, yang sedikit melegakan. Seketika dia bersandar di dinding, dengan kaki melunjur,
masih dengan selimut paras pinggang. Pagi itu tidak hujan, tetapi dinginnya menusuk ke tulang hitam.
Siti mengeliat sekali lagi sebelum merebahkan kembali tubuhnya. Dia ingin menghabiskan sedikit masa
lagi. Sementara Didi dan Fifi masih bercuti, dia punya sedikit masa untuk menyambung tidur. Tidak
perlu terkocoh-kocoh menyiapkan mereka berdua. Biasanya waktu cuti sekolah, jam 8 atau 9 baru
mereka bangun mandi.
Malam tadi, sebaik sampai dari kampung, dia tidak sempat menemui Maria bagi menyatakan
keputusannya. Maria telah lama lena. Wari juga tidak kelihatan, walaupun kadangkala Siti rasakan
perasaannya seperti terdesak untuk bertentang mata dengan lelaki itu. Dan berbual-bual seperti biasa.
Sudah lama rasanya mereka tidak berbicara. Siti rasakan satu kejanggalan, tapi dia tahu itu yang
sepatutnya berlaku antara mereka. Jangan biarkan perasaan itu terus menguasai jiwa mereka.
Kelopak matanya yang semakin memberat mula dirasakan tidak mampu lagi ditahan. Siti
membetulkan duduk kepalanya, bila sayup-sayup dihujung telinga dia mendengar ketukan di pintu. Siti
mengamati lama. Ada suara garau di luar sana. Siti bingkas semula. Dia menguap sekali lagi. Rasa
marah tiba-tiba menerjah dalam hati. Tapi digerakkan juga kakinya melangkah ke pintu. Kalau bukan
Kartini, pasti Lisa yang mengganggunya pagi-pagi itu.
"Siti..."Suara itu kedengaran sebaik pintu dibuka. Siti mendongak. Wajah Azimin yang segar,
dengan baju sejuk tebal terjengul depan mata. Siti sedikit kaget.
"Err..."Suaranya bagai tersekat di kerongkong.
"Maaflah kalau menganggu Siti pagi-pagi ni.....err....boleh tak Siti tolong siapkan Didi dan Fifi?"
"Nak ke mana?"Siti membetulkan rambutnya. Sedikit segan dia dengan keadaannya pagi itu.
"Abang nak ke hospital, nak hantar Maria..."Azimin menunduk.
"Kenapa dengan Kar Mar? "Suara Siti sedikit kuat.
"Dia pitam dalam bilik air pagi tadi...abang kena hantar sekarang. Siti tolong kejutkan Didi dan
Fifi, suruh mereka bersiap. Pukul 8 nanti, abang balik ambil mereka."
"Ya Allah..."Keluh Siti. Dia menggeleng kepala. Terbayang wajah Maria yang pucat lesu.
Azimin berpaling, tetapi menoleh kembali setelah menapak beberapa langkah. Dia merenung Siti
lama.
"Err...Siti jangan lupa bersiap sekali ye. Kita pergi sama-sama.."Azimin tersenyum. Siti
mengangguk, tapi masih lagi tercegat di muka pintu. Dia memerhatikan langkah Azimin yang pantas
tapi kemas. Kasihan Azimin! Begitu sabar melayan sakit pening Maria. Mungkin juga kesetiaan Azimin
itulah yang membuatkan Maria rela untuk berkongsi kasih. Rela untuk berkorban demi kebahagiaan
suaminya
Siti membersihkan diri dan mengemas bilik sebelum naik ke tingkat atas. Dia mengejutkan Didi
dan Fifi yang masih lena. Menyuruh mereka mandi dan bersiap sementara menunggu Azimin pulang.
Sementara itu , Siti turun ke dapur semula menyiapkan sarapan. Sekadar roti bakar dan susu, rasanya
cukup untuk mengalas perut. Dia tidak sempat untuk menggoreng mee atau cucur kodok. Kartini pula
kelihatannya seperti baru sampai pagi itu. Dia kelihatan seperti tidak cukup tidur. Tetapi sempat
melemparkan senyuman pada Siti. Sesuatu yang tidak terduga oleh Siti.
"Tak sihat ke, Kak Tini?"Tegur Siti.
"Emm...biasa-biasa saja.."Dia membalas agak ramah. Beg berisi pakaiannya di letak atas meja.
"Kejap lagi, saya nak ke hospital dengan Didi dan Fifi..."Siti memasukkan roti bakar dalam bekas
kecil.
"Ke rumah sakit?"Siti angguk.
"Emm...Kar Mar tak sihat....kena masuk hospital..."Balas Siti lagi. Kartini diam.
"Kamu pergi dengan siapa, Wari ya?"
"Tak...dengan Abang Min. Kejap lagi dia balik ambil Didi dan Fifi. Kak Tini mahu ikut sekali?"
"Err..eh ...nggak usah lor. Kok makannya siapa yang mahu bikin...Mak Ungku butuh saya di
sini...."Siti senyum.
"Kalau gitu, saya naik atas dulu ye. Tengok budak-budak tu...."Kartini tidak menyahut.
Siti naik semula ke atas mendapatkan Didi dan Fifi. Mengajak mereka turun untuk bersarapan.
Selesai sarapan mereka menunggu Azimin di ruang tamu. Hampir jam 9 baru kereta Azimin masuk ke
perkarangan rumah. Azimin kelihatan sedikit mengantuk, tetapi dia tersenyum bila terpandang Siti. Didi
dan Fifi terus mendapatkan Papa mereka.
"Kita nak ke mana ni, Pa?"Didi mendongak, menarik tangan Azimin. "Kita ke hospital ye sayang.
Mama ada di sana..."Azimin mengusap rambut Didi, kemudian dia mendukung Fifi. "Siti masuk kereta
dulu, Abang naik atas kejap, jumpa Mama..."
"Abang nak bawak Mak Ungku sekali, ke?"Tanya Siti.
"Tak lah...abang nak bagitahu Mama supaya jangan bimbang. Petang nanti lepas zohor, baru
Mama datang..."Balas Azimin sebelum melangkah.
Mereka sampai di Hospital pakar jam 10. Maria ditempatkan di wad pertama. Sampai di sana,
mereka tidak dibenarkan masuk ke bilik kerana Maria masih dalam rawatan. Setengah jam kemudian
barulah doktor keluar dari bilik. Doktor berbangsa Sigh itu bercakap sesuatu pada Azimin. Berkerutkerut
wajah Azimin mendengar kata-kata doktor tersebut. Siti hanya memerhati dari jauh. Sambil
memangku Fifi yang masih menangis sedari tadi. Setelah doktor beredar, Azimin menggamit mereka
masuk ke dalam bilik.
Maria yang terlantar masih belum sedarkan diri. Urat-urat mengandungi cecair berselirat di
pergelangan tangan. Wajahnya pucat, dan ada kesan lebam di dahi. Menurut Azimin, dahi Maria
terhantuk di tub mandi ketika dia jatuh tersembam. Fifi menangis sambil memeluk Mamanya yang kaku
itu. Terpaksa pula Siti memujuknya, takut-takut kalau Maria terjaga dengan tangisan Fifi itu.
"Kita tunggu sampai Kak Mar sedar ye?"Azimin menarik kerusi ke arah Siti. Siti segera
melabuhkan punggung sambil meriba Fifi. Renungan Azimin tepat di wajahnya.
"Siti lapar?"Siti menggeleng.
"Dah sarap kat rumah tadi dengan Didi dan Fifi..."Dia melemparkan senyuman.
"Abang minta maaf kalau menyusahkan Siti..."
"Tak laa..."
"Siti sedia tanggung ini semua?"
"Maksud abang?"
"Permintaan Kak Maria..."Siti menunduk. Hatinya jadi tidak keruan. Dia jadi serba salah. Dia
sudah maklumkan pada Azimin tempohari. Dia perlukan sedikit masa untuk lebih mengenali lelaki itu.
Mereka perlu menyesuaikan diri. Siti sendiri akan cuba memperuntukkan masa untuk mendekati lelaki
itu. Mungkin dengan cara itu mereka akan lebih kenal diri masing-masing. Mereka perlu saling
mengenali sebelum perkahwinan itu berlangsung. Dan perkara itu yang hendak dinyatakan kepada
Maria nanti. Malangnya Maria sudah tidak sedarkan diri.
"Kenapa abang terima permintaan Kak Mar?"Siti mendongak kembali, menentang mata Azimin.
Azimin tarik nafas panjang.
"Kerana abang dah jumpa calon yang sesuai..."Balasnya lambat-lambat.
"Siti?"Dia mengangguk.
"Tapi abang baru saja jumpa Siti. Abang belum mengenali Siti..."
"Sebab itu abang ingin kenal Siti lebih dekat lagi. Bila Kak Mar cadangkan abang supaya
berkahwin lain, abang tak nak fikirkan sangat. Lagipun, abang tak jumpa lagi orang yang sesuai untuk
menjaga anak-anak abang. Tapi, abang kasihankan Maria....."Dia melemparkan pandangan ke
luar. "Abang tak nak lukakan hati dia, tapi dia yang mendesak abang supaya berkahwin lain. Dia rasa
bersalah kerana mengabaikan abang......"
"Tapi, abang tidak mencintai Siti bukan?"Siti memberanikan diri bertanya. Dia memandang
Azimin, mencari reaksi lelaki itu. Azimin gigit bibir. Dia merenung Siti lama. Bibirnya mengukir
senyuman.
"Siapa kata?"Siti diam. Hatinya jadi tidak keruan. Dia jadi tidak berani menentang wajah lelaki itu.
"Cinta boleh dipupuk, Siti. Yang pasti, abang sukakan Siti sejak pertama kali jumpa Siti di airport
dulu....."Sambungnya, tersenyum nipis.
Siti memeluk Fifi erat. Sambil itu direnungnya wajah Maria yang tidur lena. Setiap kali
memandang wajah itu, dia jadi serba salah. Dia tidak tahu adakah keputusannya itu betul atau
sebaliknya. Dalam keadaan Maria begini, adakah dia patut meneruskan permintaannya itu. Adakah
wajar? Ah...Kak Mar...sedarlah cepat. Banyak perkara yang Siti ingin katakan ini!
Pintu diketuk dari luar, dan mereka serentak mengalih pandangan. Wajah Wari yang terjengol di
muka pintu, sedikit mengejutkan Siti. Pandangan mereka bertembung, dan Siti lihat ada kekerutan pada
wajah lelaki itu. Wari masuk, tersenyum tawar. Nyata, dia sendiri gamam melihat dua manusia di bilik
itu. Hatinya jadi berdebar. Sudah lama rasanya dia tidak berbicara dengan Siti. Dan kali ini mereka
bertemu semula, tetapi dalam suasana yang sungguh tidak disangka. Kenapa Siti berada di sini? Adakah
dia menemani Didi dan Fifi atau Azimin sendiri. Hati Wari jadi geram tiba-tiba. Cepat-cepat
pandangannya dialihkan kepada Azimin. Perlahan dia mendekati lelaki itu.
"Ri dengar Kak Mar jatuh kat bilik air tadi?"Suaranya mendatar. Azimin mengangguk. "Subuh tadi,
abang tengah tidur masa tu...dia ke bilik air..."Balas Azimin.
"Macamana keadaan dia?"
"Belum sedar lagi....tapi doktor kata tak berapa bagus...."Wari menghela nafas.
"Mama tak ikut sekali?"
"Petang nanti abang ambil dia....pagi ni biarlah Mama rehat je...kau dari mana ni?"Wari duduk di
sebelah Azimin. Pandangannya terarah kepada Siti. Siti cuba tersenyum tapi tiada balasan.
"Dari ofis...."
"Kau kemana semalam? Mama cakap kau tak balik rumah?"Azimin berkerut memandang Wari.
Wari terdiam seketika, memainkan hujung jarinya. Seperti keberatan dia untuk menjawab.
"Tak kemana..."Balasnya malas. "Lepak rumah member jap...."
"Abang ingat tak balik ofis ari ni...nanti Wari tolong jumpa Mr. Hendra, supposed abang ada
appointment dengan dia hari ni..."Wari tidak menjawab. Hanya matanya yang tancap memandang Siti.
Sehingga Siti jadi serba salah sendiri. Tak sanggup rasanya dia bertentang mata dengan lelaki itu.
Perasaannya bergejolak. Kalau ikutkan hati, dia ingin keluar saja dari bilik itu. Tak mahu dia berhadapan
dengan kedua-dua lelaki ini.
"Siti buat apa kat sini?"Wari bersuara semula.
"Abang ajak dia tadi. Temankan Didi dan Fifi ni...."Azimin membalas. Wari hanya tersengih. Dia
menggeleng kepala beberapa kali.
*********************************
"Kak Mar tu dah gila ke Ma?"Wari bangun dari kerusi. Hatinya panas, bagai disimbah dengan api.
"Kenapa ni, Wari?"Mak Ungku pandang wajah Wari yang memerah. Terkejut dia bila tiba-tiba Wari
masuk ke bilik dan marah-marah begitu. Semalaman dia tidak pulang ke rumah, balik-balik terus
meninggikan suara.
"Wari dengar Azimin nak kawin dengan Siti?"Wari berpaling, menatap wajah ibunya. Mak Ungku
mengeluh.
"Betul ke Ma?"
"Kenapa Ri tak tanyakan sendiri pada Maria?"
"Wari pergi ke hospital tadi. Kak Mar belum sedar lagi. Lagipun Azimin dengan Siti pun ada kat
sana...."
"Habis tu, kenapa tak tanyakan pada Azimin?"Wari mendengus.
"Saya nak tanya pada Mama...betulke diorang tu nak kawin?"Wari berganjak ke arah Mak Ungku.
"Emm....dah Maria yang minta begitu..."
"Tapi, kenapa?"
Mak Ungku menggeleng. Dia sendiri sukar untuk menjawabnya. Biarlah Maria saja yang
menerangkan kepada adiknya ini.
"Takkan Kak Mar senang-senang bagi Azimin kawin. Kak Mar kan tengah sakit..."
"Wari...."Mak Ungku sentuh bahu Wari. "Ini atas persetujuan Maria sendiri. Dia mahu suaminya
berkahwin lain. Maria dah lama sakit, Wari. Azimin pula perlukan seseorang yang dapat
menguruskannya. Mama dah cuba pujuk Maria, tapi dia tetap bertegas. Dia mahu Siti jaga anak-anak
dia..."
"Tapi kenapa Siti, Ma?"
"Kenapa? Wari tak suka ke? "Mak Ungku renung sayu wajah Wari. Dia bagai dapat meneka hati
anaknya itu.
"Kenapa tak orang lain?"
"Wari sukakan Siti?"Wari mendongak. Bibirnya kelu tiba-tiba. Dia tarik nafas panjang. Kalaulah
Mamanya tahu!
"Kenapa Kak Mar sanggup bermadu?"Wari tekup muka dengan tapak tangan. Diraup wajahnya
beberapa kali. Yang sebenarnya, dia tidak kisah kalau Azimin ingin berkahwin lagi. Dia sendiri tahu,
keadaan Maria yang tidak mengizinkannya untuk melayan suaminya. Tambahan, Maria sudah tidak
mampu melahirkan zuriat. Sebagai lelaki, Azimin ada hak untuk berkahwini lain. Tapi kenapa memilih
Siti. Bukankah ramai lagi perempuan lain yang boleh dijadikan isteri. Kenapa mesti Siti?
"Siti setuju?"Mak Ungku menggeleng.
"Mama tak tahu..Wari tanyalah dengan Siti sendiri..."
Wari tekup mukanya. Dia rasa benar-benar kecewa. Patutlah Siti menjauhkan diri darinya. Ruparupanya
kasihnya telah beralih arah. Andainya benar begitu!
****************************************************
Maria menggenggam tangan Siti erat. Siti rasakan kedinginan tangan itu. Tapi hatinya sedikit
gembira. Maria sudah mula sedar, dah bibir lesunya masih mampu mengukir senyuman walaupun
tampak payah benar. Siti berganjak mendekatkan telinganya ke mulut Maria. Mulut Maria bergerakgerak
membisikkan sesuatu.
"Abang Min......"
"Abang Min keluar makan, Kak Mar....dengan Didi dan Fifi..."Siti tersenyum.
"Siti... tak makan?"
"Belum...."Siti menggeleng. "Siti nak temankan Kak Mar. Tapi Siti dah minta abang Min
bungkuskan untuk Siti..."Siti urut-urut tangan Maria. Wajah Maria sudah tidak sepucat tadi. Maria
merenung Siti lama. Air matanya mengalir menuruni pipi. Cepat-cepat Siti sapu dengan tuala kecil.
Renungan Maria begitu sayu, menusuk ke tangkai hati. Perlahan, dia menarik tangan Siti ke dadanya.
"Siti...janji...jaga Didi dan ....Fifi....ye.."Suaranya tersekat-sekat.
"Kak Mar..jangan banyak cakap. Kar Mar masih lemah....akak rehat la dulu......"Siti membetulkan
kedudukan bantal. Diperkemaskan selimut yang membalut tubuh Maria.
"Siti...."Maria bersuara lirih.
"Bila akak dah tak ada nanti.....Siti jaga Didi...Fifi...abang Min.."
"Syyyy...."Siti menutup mulut Maria dengan jari telunjuk, menggeleng kepala. "Kak Mar jangan
bimbang...Siti akan jaga mereka..."Maria senyum.
"Siti....terima abang Min..?"Matanya membesar, tampak keriangan pada riak wajah itu. Siti
menggangguk.
"InsyaAllah....."Balas Siti perlahan. Hanya itu yang mampu dia katakan. Dia tidak mahu hati Maria
terlalu rungsing memikirkan perkara itu. Biarlah dia berkorban dan terima saja. Asalkan itu dapat
menggembirakan Maria.
"Terima kasih Siti..."Dia tersenyum gembira. Hati Wari sebal melihat barang-barang perhiasan
yang tersusun cantik di ruang tamu. Ada gubahan bunga, kotak-kotal kecil berenda, dan mangkukmangkuk
kaca yang berhias manik-manik halus. Semuanya tersusun indah. Menggamit setiap mata
yang memandang. Setiap kali pulang ke rumah, dan melihat semua itu, hati Wari bagai disiat-siat. Dia
jadi panas. Ingin saja dia menjerit memberitahu seisi rumah tentang hatinya. Tentang marahnya. Tapi
lidahnya kelu. Dia berasakan perasaannya begitu membuak, tapi semuanya hanya terpendam. Ingin
marah, tapi pada siapa. Pada Siti, atau Azimin, atau Maria sendiri? Sedangkan Siti sendiri merelakan.
Azimin apatah lagi. Maria pula, dia yang mencadangkan! Aggghhhh....apa haknya untuk menghalang!
Sakitnya hati melihat kemesraan mereka berdua. Saban petang bersama. Makan bersama. Keluar
bersama. Tergamaknya mereka bersuka ria begitu dalam keadaan Maria terlantar di katil. Sampai
hatinya mereka! Tidakkah mereka sedar, perbuatan mereka itu hanya akan mengguris perasaan Maria.
Maria yang sedang berjuang dengan nyawanya, dan mereka berdua masih sempat keluar mencari
barang-barang perkahwinan mereka? Manusia apakah Azimin itu? Jenis suami apakah dia? Tidak
terfikirkah dia pada saat-saat seperti itu tempatnya adalah di sisi Maria. Memberi semangat dan katakata
harapan kepada isterinya itu. Bukannya mengulit gadis lain, dan berseronok-seronok begitu.
Wari tidak percaya kalau Siti sendiri merelakan. Dia dapat merasakan perasaan Siti yang
berperang. Gadis itu tak sepenuhnya rela. Dia tahu. Dia tahu hati Siti masih padanya. Sinar matanya
masih seperti dulu, walaupun sengaja dielakkan. Walaupun dia tampak gembira bersama Azimin.
Tapi Wari yakin, semua itu pura-pura. Kenapa Siti harus mensia-siakan masa depannya demi memenuhi
permintaan orang lain?
"Siti...."Wari nekad untuk mencelah masuk ke bilik Siti pada suatu pagii. Terkejut gadis itu dengan
kemunculannya.
"Wari, kenapa masuk sini, tak manis kalau orang nampak...."Siti sedikit gelisah. Dia berganjak ke
belakang.
"Maafkan Wari.."Wari berdiri di tepi pintu. "Wari perlu bercakap dengan Siti...."
"Cakap apa...cepatlah...nanti Kartini nampak macamana..."Siti mengeluh. Wari menghampiri Siti.
Berdiri betul-betul di depan gadis itu. Wajahnya sedikit sayu, merenung tunak ke mata Siti.
"Kenapa Siti buat ni semua?"
"Buat apa?"
"Kenapa Siti korbankan perasaan Siti semata-mata untuk kebahagiaan orang lain?"Siti menunduk.
Dia kertap bibirnya sampai sakit.
"Kenapa Siti berubah?"
"Siti tak berubah apa-apa pun...."
"Termasuk perasaan Siti?"Wari mengeluh. "Wari tahu, perasaan Siti tak akan berubah. Siti masih
seperti dulu, hati Siti masih pada...."
"Siti tak nak cakap pasal ni.."Siti berpaling.
"Siti..."Wari tangkap pergelangan tangan Siti. Ada sedikit rontaan di situ. "Berterus teranglah
pada Wari. Siti tak akan mengahwini Azimin..."Siti menggeleng."Siti tidak cintakan Azimin bukan?
Jangan ikutkan sangat permintaan Maria..."
"Siti lakukan dengan kerelaan Siti sendiri..."
"Mustahil!"Wari mendengus. Genggaman dilepaskan. "Mustahil Siti boleh cintakan Azimin sekelip
mata."
"Cinta boleh dipupuk, Wari....."Siti mendongak, kembali menghadap Wari.
"Ohh...jadi sekarang ni tengah memupuk cinta dengan Azimin? Laki orang beranak dua?"Wari
menjuih. "Yang bininya tengah terlantar sakit, dan korang bersuka ria, membelah-belah...beli itu dan
ini.."
"Wari!"Siti meninggikan suara. "Siti lakukan ini semua demi Kak Mar sendiri..."
"Ini namanya kerja gila! Tergamak Siti bermadu, menjadi bini ke dua. Menjaga anak-anaknya...
Siti merampas kebahagiaan orang lain..."
"Terpulang pada Wari untuk cakap apa pun. Bagi Siti, ini pengorbanan Siti.."
"Pengorbanan!"Wari ketawa sinis. "Pengorbanan apa kalau hanya melukakan perasaan sendiri,
dan perasaan orang lain..."
Siti mengesat pelupuk mata yang mula digenangi air jernih. Dia rasa sakit hati, dah sedikit
terguris dengan kata-kata Wari. Mengapa Wari tidak mahu faham. Dia lakukan ini demi Maria, kakaknya
juga. Kakaknya yang sedang menyabung nyawa. Dia bukan sengaja. Dia sendiri tersepit,dan sengaja
melupakan segala keterpaksaan yang dia lakukan. Dan kini persiapan sudah mula dilakukan. Walaupun
hatinya kadangkala terasa berat, tapi dia tidak dapat berpatah semula. Azimin pun sudah beriya benar.
Ada saja barang-barang yang hendak dibelinya. Bagai meraikan perkahwinannya yang pertama. Siti
serba salah, tapi apa lagi yang boleh dia lakukan. Dia sudah menyatakan persetujuan pada Maria. Mak
Ungku juga sudah dimaklumi. Minggu depan, Azimin akan mengikutnya pulang ke kampung untuk
bertemu kedua ibubapanya. Memohon restu mungkin. Entah apalah perasaan orang tuanya bila
mengenangkan anak dara mereka yang bakal menjadi isteri kedua.
"Siti..."Suara Wari bergetar, sedikit sebak. "Siti tahukan perasaan Wari...."Terhenti seketika.
"Wari harapkan sesuatu dari hubungan ini..."
"Anggap saja kita tak ada jodoh Wari..."Siti tarik nafas panjang. Hujung mata diseka sekali lagi.
Dia tidak sanggup menentang wajah Wari.
"Jodoh kita kuat Siti...Wari dapat rasakan..."
"Sudah lah Wari. Jangan keruhkan lagi keadaan....semuanya dalam persiapan sekarang..."Siti
berpaling ke pintu. Dia menunggu kalau Wari bersedia untuk keluar.
"Sampai hati kau Siti..."Bisik hati Wari pedih.
Dan itu adalah kali terakhir dia bertemu Siti. Selepas itu, rumah besar ini sudah tidak bermakna
lagi baginya. Bahang panas yang wujud dalam hatinya makin hari makin membengkak. Dia benci tiap
kali melihat kelibat Azimin. Dia benci pada Maria dan Mama yang tidak mahu faham perasaannya. Dan
pada Siti pula, dia jadi benci dengan pendirian gadis itu. Terlalu mudah goyah hanya kerana budi dan
simpati. Simpati pada Maria bukan begini caranya. Tidak perlu berkorban jiwa raga dan perasaan untuk
membalas budi yang tidak seberapa. Dia ada hak yang perlu dipertahankan. Sukar benarkah untuk
berkata 'tidak'. Hanya kerana simpati, semua permintaan harus dituruti?
Biarlah mereka mencarinya. Biarlah mereka risau dengan kehilangannya. Sudah seminggu dia
tidak pulang ke rumah, dan urusan pejabat juga sudah lama dia tinggalkan. Biarlah Azimin saja yang
menguruskan. Biarlah semuanya dikuasai lelaki itu. Dia sudah tidak peduli lagi. Perkahwinan mereka
juga, tidak akan dia hadiri. Wari sudah bulat hati.
******************************
Airmata Siti mengalir lagi. Rindunya dia pada Wari, hanya Tuhan yang satu. Sesekali perasaan itu
menusuk dalam hatinya. Sudah seminggu lamanya dia tidak melihat wajah lelaki itu. Kecewakah dia?
Patah hatikah dia? Tidak mahu kembali lagikah dia ke rumah ini. Sudah seminggu Mak Ungku cuba
menghubungi. Lisa juga keluar untuk mencari. Kawan-kawan lamanya juga tidak tahu kemana Wari
pergi. Kenapa sampai jadi begini?
Besar benarkah perasaan Wari terhadapnya, sampai dia nekad bertindak begini? Kuat benarkah
hatinya untuk dia? Kenapa Wari mesti menghilangkan diri? Kenapa buat tindakah bodoh begini? Siti naik
bingung bila memikirkan hari-hari bahagianya yang akan menjelang tiba. Semakin mendekat, semakin
tak keruan hatinya. Kadang-kadang dia fikirkan betapa tidak patutnya pernikahan itu dijalankan
sedangkan Maria masih terlantar. Walaupun Maria sendiri telah mengizinkan, dan berkali-kali meminta
pernikahan dijalankan, sebelum apa-apa yang buruk berlaku terhadapnya. Sebelum ajal menjemputnya.
Mengapa Maria terlalu yakin pada ajalnya itu? Bukankah manusia dilarang untuk berputus asa.
Bukankah manusia digalakkan berusaha selagi terdaya.
Siti sedar, setelah beberapa minggu cuba mengenali Azimin, perasaannya tetap sama. Tetap
seperti dulu. Dia telah cuba untuk menyukai lelaki itu. Walaupun sedikit dirasakan penerimaan terhadap
lelaki itu, dia masih tidak dapat mengikis nama Wari dari hatinya. Ternyata lelaki itu sendiri tahu akan
perasaannya. Cuma dia yang tidak mahu mengakuinya. Dia berpura-pura menjauhkan diri dari lelaki itu.
Cuba melupakannya. Tapi ternyata dia tidak pernah berjaya membuangnya. Perasaan itulah yang
pertama kali tumbuh dalam hatinya.
Wari, maafkan aku....
Minggu ini, minggu terakhir dia di sini. Selepas itu dia akan pulang ke kampung. Melakukan
persiapan terakhir sambil menanti hari bersejarahnya. Dan kemudian dia akan kembali ke rumah ini
semula. Bukan sebagai babysitter, tetapi sebagai isteri Azimin, ibu kepada Didi dan Fifi. Siti sendiri tidak
pasti apakah warna hari-hari mendatangnya nanti.
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 19
Hujan masih turun. Sebentar tadi masih renyai, dan kini sudah mula mencurah. Ada petir yang
mendesingkan telinga di luar sana. Siti tarik nafas panjang. Nafasnya jadi sesak. Kalaulah dia tahu akan
hujan begini....tidak akan dia jejak kaki di situ. Tidak akan dimintanya Pak Amin pulang ke rumah dulu.
Perginya pun bukannya lama. Apa salahnya dia minta saja Pak Amin tunggu dia di luar. Tidaklah dia
perlu meredah hujan pagi-pagi begitu. Bayang teksi yang ditunggu-tunggu pun tidak kelihatan lagi. Siti
jadi keresahan sendiri.
Dia memang bercadang untuk singgah di situ. Sebelum pulang ke kampung esok lusa, dia ingin
beli sedikit barang untuk emak di kampung. Sebab itu, pagi tadi selepas menghantar Didi dan Fifi ke
sekolah, Siti minta Pak Amin hantarkan dia ke pasaraya tersebut. Dia berpesan kepada Pak Amin supaya
tidak perlu menunggunya. Dia boleh dapatkan teksi untuk pulang ke rumah. Bukannya jauh sangat.
Lagipun, Lisa pernah mengajarnya pulang ke rumah menaiki teksi. Rasa-rasanya dia masih ingat selok
belok jalan yang perlu dilalui.
Beberapa orang yang masih beratur didepannya, sedang sabar menunggu giliran. Siti mengangkat
kainnya tinggi-tinggi. Percikan hujan membasahi hujung kaki. Sebuah teksi bergerak perlahan di
depannya. Cepat-cepat Siti berlari anak membuka pintu. Nafas ditarik lega sebaik berada di dalam perut
teksi.
"Bukit Antarabangsa.."Dia bersuara perlahan sebaik teksi bergerak. Matanya tertancap ke arah
bintik-bintik halus di cermin tingkap. Mengkaburi pandangan. Perlahan dia menyandarkan tubuhnya,
sambil tersenyum lega. Fikirannya sedikit lapang kini. Sampai di rumah nanti, dia ingin menelefon
Azimin, memaklumkan kepada lelaki itu yang dia telah pun selamat sampai di rumah. Tidak perlulah
Azimin menjemputnya petang nanti. Kerana pada awalnya Siti bercadang untuk ke rumah Kak Melah
selepas membeli barang dan Azimin pula ingin menjemputnya di rumah Kak Melah petang nanti. Tapi
Siti jadi risau pula dengan hujan yang semakin lebat itu. Dia bercadang untuk pulang saja. Malam nanti,
dia boleh telefon Kak Melah untuk datang mengambil barang-barangnya. Dua minggu dia akan bercuti
dan pulang ke kampung. Ahh....segala-galanya terasa begitu pantas dan janggal. Dapatkah dia
berhadapan dengan semua kejanggalan ini?
Wajah Azimin yang redup dan sentiasa tenang itu, menggamit perasaan. Walaupun sampai saat
ini Siti sendiri tidak tahu perasaan apakah yang ada dalam hatinya.Sukakah. Bencikah. Atau
terpaksa....dia sendiri keliru. Dia sudah melangkah dua tapak ke hadapan dan untuk berundur walau
setapak pun dia sudah tidak mampu. Cinta dan kehidupannya telah diatur kini. Hari-hari bahagianya
akan menjelang tiba. Kalau itulah yang dikatakan bahagia. Dia tidak tahu kenapa dalam hidupnya selalu
diberi pilihan yang tidak adil. Memilih atau tidak, keadaannya tidak banyak beza. Terima atau tolak,
kedua-dua pasti menjerut lehernya juga. Kalaulah dulu dia terima saja lamaran Huzair. Tidak perlu dia
menghadapi semua ini. Mungkin saat ini dia juga sedang menanti hari bahagia. Bezanya dengan Huzair,
yang terang-terang mencintainya. Bukan dengan Azimin yang dia sendiri tidak tahu hati budinya.
Ikhlaskah dia. Relakah dia. Atau semuanya dilakukan untuk memenuhi hasrat Maria semata-mata.
Adakah masing-masing terpaksa?
Teksi terus meluncur laju, dengan keadaan hujan yang semakin lebat. Siti memeluk tubuh, cuba
mengimbangi kedinginan penghawa dingin. Sesekali dia memejamkan mata. Membayangkan wajahwajah
yang berada disekelilingnya. Wajah-wajah yang menuntut pengorbanannya. Wajah pengharapan.
Wajah Wari yang muncul, menyapu semua wajah. Rindunya pada Wari, tapi apalah gunanya dia
menyimpan perasaan itu lagi. Semuanya sudah tidak bererti. Apa yang mampu dia lakukan, cuba
sedaya upaya mengalihkan perasaannya dari Wari kepada Azimin. Kalaulah itu yang mampu dia
lakukan.
Teksi berhenti depan rumah. Siti membayar tambang, lantas buru-buru keluar. Nasib baik dia
bawa kunci rumah. Kalau tidak, berhujanlah dia diluar. Mak Ungku dan Maria pasti masih belum terjaga.
Hujan-hujan begini alangkah seronoknya dapat melengkar bawah selimut. Sampai ke tengahari pun tak
apa. Siti masuk ke ruang tamu dengan kaki dan kain yang masih basah. Dia menjengket ke dapur,
mencari alas kaki. Tubuhnya sedikit menggigil, cepat-cepat dia masuk ke bilik, mencapai tuala. Diserkup
rambutnya yang masih menitiskan manik-manik jernih. Pakaian dilucutkan satu persatu. Hanya tinggal
tuala membalut tubuh. Dia mencapai kain batik lalu disarungkan ke tubuhnya. Hujan-hujan begini
memang sejuk hendak mandi. Tapi dia selalu ingat pesan emak dulu-dulu.
Kalau ditimpa hujan, jangan lupa mandi dan cuci kepala bila pulang ke rumah. Supaya tidak
diserang demam atau pening. Siti ingin cepat-cepat mandi dan naik ke atas menjenguk Mak Ungku dan
Maria. Keadaan Maria yang masih tidak berubah sejak keluar dari hospital seminggu yang lalu. Malah
semakin melarat sampai makan dan minum pun terpaksa disuap. Siti baru teringat pagi itu dia belum
sempat memasak bubur untuk Maria. Entah Kartini sudah sampai atau belum. Mungkin belum kerana
hujan lebat di luar. Biasanya kalau hujan lebat begini, Kartini akan telefon meminta Pak Amin datang
menjemput. Tapi pagi ini, Siti sendiri tidak perasan samada Pak Amin sudah pulang ke rumah atau
belum. Dalam keadaan terkocoh-kocoh tadi, dia tidak sempat melihat ke garaj kereta, kalau-kalau ada
kereta yang selalu dipandu Pak Amin. Yang dia yakin, kereta Azimin tidak ada, kerana dia sendiri yang
melihat lelaki itu telah ke pejabat pagi-pagi tadi.
Siti mengutip pakaian basahnya. Bakul kain kotor yang separuh penuh, di pikul tepi pinggang.
Rasanya pakaian kotor tersebut perlu cepat dibasuh. Mana tahu esok lusa hujan lagi. Bila masa pula dia
hendak menjemurnya. Hujung minggu pula sudah pulang ke kampung. Kak Melah yang diharap untuk
membawa beg-beg pakaiannya pulang ke kampung entah kan datang atau tidak. Siti keluar dari bilik,
menuju ke dapur. Bilik air terletak bersebelahan dapur, harus melewati bilik kecil yang dikhaskan
untuk pembantu rumah. Bilik tersebut memang tidak ada penghuninya, tetapi Kartini menjadikannya
sebagai bilik persalinan. Kadang-kadang Siti lihat Kartini tidur di bilik tersebut waktu tengahari selepas
siap memasak. Bilik tersebut walaupun hanya untuk orang gaji, tetapi luas dan lengkap dengan
perabutnya. Tidak banyak beza dengan biliknya sendiri. Siti memperlahankan langkahnya. Matanya
melingas, melihat cahaya samar-samar dari celah pintu yang tidak tertutup rapat. Deru hujan
membataskan pendengaran. Tapi dia bagaikan dapat menangkap suara-suara lirihan dari arah pintu
sana.
"Kartini sudah sampai ke?"Bisik hatinya. Diletakkan bakul kain di atas lantai depan pintu. Suara
mendesah semakin jelas. Hati Siti jadi berdebar. Tangannya terketar saat menghampiri pintu. Lirihan
halus berselang seli rengekan kecil. Jelas sekali. Siti berdiri sejenak. Menatap daun pintu seketika. Dia
nekad. Pintu ditolak sekuat hati sambil mata dipejamkan. Takut pada apa yang bakal dilihat.
Dua tubuh tanpa seurat benang sedang bergelut di atas katil sana.
"Ya Allah!" Jeritan kecilnya mengejutkan tubuh yang sedang bersatu itu. Siti tergamam.
Kartini menolak tubuh Azimin yang sedang menindihnya. Dia buru-buru mencapai pakaian dan
bergegas menutup tubuhnya. Azimin pula langsung tidak bergerak. Dia terkaku dengan wajah pucat.
Siti menggeleng. Tidak sanggup dia menunggu lagi. Bakul kain tersepak oleh kakinya. Dan pakaian
basah jatuh berselerakan.
****************************************************
Biarlah apa mereka nak kata! Sudah dua hari Siti berada di sini. Memerhatikan anak-anak ikan
yang meliuk di permukaan air jernih. Anak-anak ikan yang tetap sama seperti dulu. Sama seperti waktu
dia di situ, bersama Huzair. Ah...Huzair.Terlalu lama rasanya dia tidak berpampasan dengan anak muda
itu. Menghilang teruskah dia? Tidak mahu kembali lagi ke kampung ini lagikah dia? Ahh...perlu apa dia
kembali. Tempat ini tidak punya apa-apa. Hanya anak ikan dan air sungai yang mengalir jernih. Hanya
pohon jambu yang saban hari menggugurkan daunnya yang kering. Hanya semut-semut hitam yang
berderet di celah-celah daun kering. Pun semua itu tidak mendamaikan lagi saat dia telah pergi. Huzair
tidak perlukan semua ini, cintanya telah dibawa pergi.
Biarlah emak mencarinya. Atau Shidah dan Murni yang mengejarnya. Dia bukannya ke manamana.
Dia cuma di sini. Di bawah pokok, di tepi sungai. Batu tempat dia berpijak dulu pun sudah
banyak berlumut. Sudah hijau dan berbau hamis. Kalau berdiri di situ boleh jatuh tergelincir. Jatuh
terhempas bagai hatinya saat itu.
Siti tidak tahu perasaannya. Dia tidak sedih atau kecewa. Cuma dia rasa sedikit bingung dengan
tindakannya. Tapi, apa lagi yang boleh dia lakukan? Meninggalkan rumah besar itu tanpa pesanan,
mungkin satu-satunya tindakan paling awal dia fikirkan. Cukup dengan sekeping surat, rasanya dia tidak
mahu jejak kaki lagi ke rumah itu. Hatinya tekad. Dalam hujan yang menggila itu, dia capai barangbarangnya.
Sumbat semua pakaian yang ada. Dia dengar suara Azimin memanggilnya. Tapi persetan!
Dia tidak cemburu. Dia tidak cemburu melihat Azimin mengulit perempuan itu. Tapi dia begitu geram.
Marah dan rasa terhina. Menyaksikan pelakuan munafik itu, mungkin akan menjadi salah satu perkara
jijik dalam hidupnya. Dia tidak dapat bayangkan bagaimana lelaki kotor itu harus menjadi suaminya.
Biarlah berbuih mulut emak bertanya, dia tetap dengan keputusannya. Biarlah walau kad
jemputan telah dilayang. Dia tidak akan melalui hari pernikahan tersebut. Semuanya batal!
"Tinggal dua minggu lagi, Siti....semua persiapan dah dilakukan....kad dah edar.."Mak Jah
menggeleng kepala. Sudah kering tekaknya memarahi Siti.
"Ampunkan Siti, mak...Siti tak nak!"
"Tapi kenapa?"
"Siti...."Dia terhenti. Tidak berani untuk berkata-kata lagi.
Biarlah semua orang tertanya-tanya. Semua orang membenci tindakannya. Dan walaupun dia
tahu tindakannya itu hanya akan memalit rasa malu kedua orang tuanya, tapi rasanya itu saja jalan
terbaik baginya. Biarlah orang kampung mengata. Dia lebih rela mendengar itu semua dari berhadapan
dengan lelaki dua muka itu. Tapi hari-hari melihat wajah sugul emaknya, Siti jadi tak sampai hati.
Melihat mata berkaca orang tua itu, Siti jadi bersalah yang amat sangat. Lantas suatu pagi, Siti
mendapatkan emaknya yang sedang termenung atas pangkin bawah pokok nangka. Didakapnya tubuh
tua itu sepenuh hati. Air mata luruh di pipi tua Mak Jah.
"Maafkan Mek Ti, mak....."Siti hela nafas lega, sebaik dia selesai bercerita. Terasa ringan
kepalanya setelah apa yang terpendam diluahkan. Mak Jah mengangguk lemah. "Maafkan Mek Ti kerana
malukan mak...bapak..."
"Tak Siti....Siti tak malukan siapa-siapa..."Mak Jah peluk tubuh Siti erat-erat. Dia faham. Dia
faham perasaan anaknya. Dia tidak kisah, walau berhabis wang harta, walau tebal muka dikata. Siti
tidak jadi kawin, dia sudah tidak kisah lagi. Biarlah dia sekeluarga menanggung malu seketika daripada
membiarkan Siti menderita.
*******************************
Telefon masih berdering lagi. Siti panggung kepala. Malas rasanya dia hendak mencapai gagang
telefon tersebut. Dia menutup matanya kembali. Seminggu memerap di rumah, tanpa membuat apaapa
terasa bosan juga. Petang-petang begini, kalau tak ke kebun ubi emak, dia lebih suka melelapkan
mata. Ke padang pun dia sudah jarang-jarang. Dia tidak ada semangat untuk menemui sesiapa. Dia
tidak mahu mereka terus-terusan bertanya. Bertanya tentang kisah cintanya mungkin. Ahh...cinta apa!
Matanya redup, merenung kepingan kad warna merah jambu yang tertulis cantik namanya. Kad
harum yang bertulisan perak itu, ditempah khas oleh Lisa sebulan yang lalu. Sudah habis diedarkan
kepada orang kampung. Saudara mara juga pasti telah menatapnya. Cantik. Mungkin itu pandangan
mereka. Tapi apalah gunanya. Tiap kali mendengar bapanya menelefon saudara mara seorang demi
seorang, memaklumkan pembatalan majlis tersebut, terasa bagai ingin luruh jantung Siti. Kalau boleh
biarlah dia saja yang menanggungnya. Tak sanggup rasanya menatap wajah kedua orang tuanya dan
membiarkan mereka menanggung sama.
"Bapak akan teruskan juga kenduri tu...."Pak Seman bersuara, memecah kesunyian, sewaktu
mereka sama-sama duduk di pangkin bawah pokok nangka semalam.
"Orang kampung pun dah dijemput...tak baik pulak rasanya nak batalkan macam tu ajer..."Siti
terkebil-kebil menatap wajah bapanya.
"Habis tu, macamana bang.....nak teruskan jugak?"Mak Jah mendengus. "Kita buat kenduri
aje...makan-makan, jamu orang kampung makan. Apa salahnya....macam kenduri kesyukuran tu.
Lagipun, barang-barang dapur pun banyak yang dah dibeli, kan.."Pak Seman tarik nafas panjang.
"Daripada membazir, biarlah kita bersedekah"
Siti gigit bibir sampai sakit. Hatinya menangis, siapalah yang tahu! Syukurlah kedua orang tuanya
memahami.
Deringan telefon menyentap lamunan. Masih tidak berhenti rupanya. Siti mengeluh. Dia bangun
lambat-lambat menghampiri meja telefon. Gagang telefon diangkat perlahan.
"Hello"
"Kak Siti, assalamualaikum!"Siti tersenyum tawar. Dia kenal suara itu. Lisa yang tidak jemu-jemu
menelefon. Memintanya kembali ke Kuala Lumpur.
"Lisa, ada apa?"
"Kak Siti...."Ada sendu dihujung talian.
"Kenapa Lisa?"Hati Siti berdebar.
"Kak Siti balik sini ye. Kak Mar dah meninggal...."
Gagang hampir terlepas.
********************************
Sayu hati Siti melihat Mak Ungku yang masih tidak berganjak. Air matanya terus-terusan
mengalir. Lisa di sisi memeluk erat Mamanya. Dia teresak sama. Siti berdiri agak jauh. Dia hanya
memerhatikan saja. Dalam hati dia rasa sedikit bersalah. Menurut Lisa, sebaik Siti meninggalkan rumah,
keadaan Maria semakin tenat. Dia begitu sedih dengan tindakan Siti. Bila ditanya pada Azimin, lelaki itu
pula hanya membisu. Dua hari Azimin hilang sampai Maria menghembuskan nafasnya. Dan hari ini
untuk kesekian kalinya dia berhadapan dengan lelaki itu. Hati Siti jadi panas. Ingin saja dia menampar
muka lelaki itu. Geram hatinya bukan kerana Azimin berpura-pura dengannya, tetapi kerana sikap
Azimin yang curang pada isterinya. Kesian Maria. Sampai ke mati dia tidak tahu perangai setan
suaminya itu. Dan Azimin pula masih bersikap selamba. Bukannya mahu minta maaf atau pun
menyesal. Mahu saja Siti menghebahkan nya pada semua orang. Biar satu keluarganya tahu.
Kalau ikutkan, berat hatinya untuk sama-sama menziarahi pusara itu. Dia tahu pandangan sinis
Mak Ungku dan Lisa terhadapnya. Lebih-lebih lagi renungan tajam lelaki di sisi Mak Ungku itu. Wari!
Ahh...lelaki itu telah muncul kini. Lama rasanya dia tidak menatap wajah lelaki itu. Yang kini sudah
ditumbuhi roma-roma kasar. Berceratuk di wajah yang dulu bersih. Tiada secalit senyuman pada
bibirnya, tatkala pandangan mereka bertaut. Terasa ingin pecah dada Siti menahan rasa.
Berat kakinya melangkah, namun dipaksakan juga. Tatkala menjejaki semula rumah besar
tersebut, Didi dan Fifi yang melihat terus menerpa ke arahnya. Siti peluk dan kucup kedua anak kecil
itu. Kemudian mereka sama-sama masuk ke dalam rumah.
"Saya minta maaf, Mak Ungku..."Siti capai jemari Mak Ungku. Dikucupnya lama. Mak Ungku diam,
tiada reaksi. Hati Siti hiba tiba-tiba.
"Saya tak terniat nak khianat pada Mak Ungku sekeluarga....saya..."
"Dah la tu..tak payah nak menangis-nangis pulak. "Wari menyampuk tiba-tiba. "Sekejap nak,
sekejap tak nak. Tiba-tiba je hilang macam tu ajer....sampai Kak Mar tu mati dibuatnya..."
"Wari...."Mak Ungku bersuara.
"Kalau dari dulu cakap tak nak kan senang. Tak payah Mama sibuk-sibuk nak buat ni semua. Ini,
bila semua benda dah beli, persiapan dah dibuat tiba-tiba dia cabut macam tu aje....menipu namanya tu
Ma..."Suara Wari keras. Siti geleng kepala. Nafas ditarik dalam-dalam, cuba mengawal debaran di dada.
"Saya akan pulangkan semua barang-barang...ganti rugi..."
"Tak payah. Mama sedekah aje!"Wari mendengus.
"Wari...cubalah dengar dulu apa Siti nak cakap...."Mak Ungku mengeluh, menggeleng kepala.
"Nak cakap apa lagi Ma.....dah dia tak nak kawin. Sebab perangai dia la....Kak Mar kecewa,
terkejut...terus...."
"Wari!"Suara Mak Ungku meninggi. Direnungnya Wari tajam.
"Kalau dia tak lari dari rumah hari tu, Kak Mar tak jadi macam ni,
Mama...."
"Maria meninggal bukan kerana Siti, Wari...."
"Tapi Kak Mar terus tenat bila dapat tahu Siti cabut dari rumah hari tu....hilang macam tu
ajerr....Kenapa tak jumpa Kak Mar cakap terus terang....kenapa tipu Kak Mar..."
Air mata Siti tumpah juga. Cepat-cepat disekanya. Dia tidak berani menatap wajah Wari. Rasa
malu, bersalah dan entah apa-apa lagi. Kerdilnya dirinya dirasakan saat itu. Bagai pesalah menanti
hukuman.
"Kenapa Siti keluar rumah tanpa beritahu. Semua orang cari Siti....kami betul-betul terkejut
Siti..."Mak Ungku bersuara, lembut. Siti angkat kepala. Menatap wajah Mak Ungku yang tenang tetapi
sedikit sugul.
"Ada yang tak kena ke, sampai Siti balik kampung tiba-tiba....tak bagitahu Makcik, atau Lisa..."
Siti diam.
"Siti ada masalah....cuba bagitahu Makcik..."Siti geleng kepala.
"Saya terpaksa batalkan perkahwinan saya dengan Abang Min, Mak Ungku...."
"Tapi kenapa?"Mak Ungku mengeluh. "Kenapa dulu Siti terima, sekarang Siti batalkan pula? Ada
apa-apa yang tak kena ke?"
"Tak ada apa-apa Mak Ungku. Saya yang berubah fikiran...."
"Uh...senang-senang je ubah fikiran. Dia ingat kerja kawin ni kerja main-main...boleh buat dan
batal sesuka hati?"Wari menyampuk. Dia bangun, meluru ke luar. Langkahnya pantas, tidak menoleh
lagi. Mak Ungku menggeleng.
"Siti ada masalah dengan Azimin ke?"Siti geleng lagi. "Mak cik tanyakan Azimin, dia kata tak ada
apa-apa pula...." Memanglah tak ada apa-apa. Mana lelaki itu nak mengaku! Mahu saja Siti
buka mulut tentang kecurangan Azimin dengan Kartini. Kartini! Mata Siti melingas. Sejak di tanah
perkuburan tadi Siti tidak nampak pula kelibat wanita seberang itu. Sudah berhenti kerjakah dia? Atau
sengaja tidak mahu menonjolkan diri? Takut kisahnya didedahkan? Kenapa Azimin melayan perempuan
itu? Tidak cukupkah keizinan Maria untuk berkahwin lain, sampai dia perlu melalui pintu belakang
begitu? Ah...Azimin, wajah kacak itu penuh dengan kepuraan.Kalaulah Maria tahu! Tapi Maria pun sudah
tiada. Sudah pergi membawa penderitaannya. Dan kini, dia yang menanggung segala-galanya. Bukan
niatnya untuk menyeksa Maria begitu. Dia tidak tahu ajal Maria akan sampai selepas dia keluar dari
rumah itu. Bukan dia penyebabnya!
"Kalau ada masalah...cerita pada makcik.....jangan pendamkan Siti...."Mak Ungku elus rambut
Siti.
"Siti cuma harap Mak Ungku sekeluarga tak salahkan Siti atas kematian Kak Mar..."
"Siti, makcik tak pernah beranggapan begitu. Maria meninggal kerana ajalnya sudah sampai.
Siapa-siapa tak boleh pertikaikan. Cuma makcik nak tahu, kenapa Siti tiba-tiba batalkan pernikahan
dengan Azimin. Siti kan tahu, Didi dan Fifi perlukan kasih sayang seorang ibu."Suara Mak Ungku begitu
lembut.
"Siti tak dapat nak tunaikan permintaan itu. Siti minta maaf..."
"Tapi kenapa Siti?"Mak Ungku menghela nafas.
"Errr....Siti belum bersedia untuk kawin...."Siti menggeleng.
Wari dihujung pintu, menjuih bibir. Sakit betul hatinya pada gadis itu!
Tuesday, June 06, 2006
Bukan Cinta Biasa - Part 20 (Finale)
Dia sakit hati. Sakit hati melihat wajah gadis itu. Tapi dia bukan membenci. Tidak. Sesekali tidak
pernah terlintas rasa benci dalam hatinya. Walaupun Siti telah pernah melukakan hatinya. Dia sakit hati
kerana setelah susah payah dia mengubat luka, tiba-tiba pula Siti membatalkan hasratnya. Kenapa tidak
dari dulu lagi dia menolaknya? Kenapa setelah dia hampir putus asa, benar-benar kecewa, gadis itu
bertukar fikiran tiba-tiba dan membatalkan perkahwinannya. Kenapa Siti perlu menyakiti hatinya
dengan berdolak dalih begitu. Bukankah mudah kiranya dia menolak perkahwinan itu dari awal-awal
lagi. Banyak perkara dapat dielakkan. Dan mungkin Maria dapat diselamatkan. Mungkin Maria tidak
akan kecewa. Tapi............ahh...kematian Maria bukan disebabkan Siti. Tak patut dia menyalahkan
gadis itu begitu. Tetapi tindakan Siti telah meninggalkan kesan yang tersendiri.
Wari sendiri tidak tahu apa muslihat Siti, menerima kemudian menolaknya. Seolah perkahwinan
itu satu permainan. Atau hatinya tidak pernah tetap pada keputusan. Cintanya boleh berubah dalam
sekelip mata? Atau dia sengaja mempermainkan Maria, Mama ataupun Azimin? Kesian Mama, yang
terpaksa menanggung malu. Nasib baik kad masih belum diedar lagi. Sebetulnya Mama memang ingin
melakukan upacara pernikahan itu secara kecil-kecilan kerana ia merupakan pernikahan kali kedua
Azimin, tetapi pastinya perkara seperti itu juga telah dihebahkan kepada rakan-rakan atau saudara
mara terdekat. Jadi, bagaimana harus mereka sekeluarga menghadapi semua itu. Dan satu lagi yang
menjengkelkan Wari. Sikap Azimin sendiri. Kalau dulu, dia yang beriya-iya, bersetuju untuk mengahwini
Siti. Tetapi kini, hanya berdiam diri. Langsung tidak menghalang keputusan Siti. Malah, bila ditanya, dia
seolah cuba mengelak diri. Apa yang terjadi antara mereka sebenarnya?
Wari jadi bingung sendiri. Walaupun dalam hati dia sedikit lega kerana akhirnya Siti tidak menjadi
milik Azimin, tetapi dalam masa yang sama dia juga sebal dengan sikap Siti yang tidak menentu itu. Dia
kecewa kerana Maria telah pergi. Tanggungjawab yang besar kini tertanggung di bahunya. Untuk
menguruskan keluarga, lebih-lebih lagi syarikat arwah bapanya. Semuanya dalam sekelip mata
berpindah kepadanya. Kalau dulu, semasa Maria terlantar dia masih mengharap agar Maria sembuh dan
meneruskan usahanya mengembangkan syarikat. Tetapi kini, tiada siapa lagi yang boleh diharapkan
selain darinya. Azimin pula, kedudukannya samar-samar. Setelah Maria meninggal, Wari tidak tahu
kedudukan Azimin. Adakah dia masih berhak menguruskan syarikat itu, sedangkan setahu Wari, Azimin
tidak punya apa-apa saham di dalam syarikat, selain dari ihsan Maria yang memberi jawatan selesa
kepada suaminya itu. Walaupun ikatan kekeluargaan mereka tidak akan putus kerana Azimin tetap
abang iparnya, Fifi dan Didi tetap anak saudaranya walaupun suatu hari nanti anak-anak kecil itu akan
memperoleh ibu baru. Dan Wari tahu, bukan Siti yang akan mengambil tempat itu.
*****************************
"Siti nak ke mana ni? " Mak Jah cepat-cepat menghampiri Siti yang sedang menyarung selipar.
"Mek Ti nak pergi rumah Shidah, Mak. "Siti angkat muka.
"Mek Ti nak tidur kat sana"
"Kenapa nak tidur kat sana pulak. Tidur je la kat rumah. Mak Ngah baru sampai tu..."Siti tarik
nafas panjang. Tangannya mengepit beg plastik warna hitam.
"Siti tak nak la duduk rumah, Mak. Nanti macam-macam diorang tanya. Apa Siti nak jawab?"Balas
Siti perlahan.
Mak Jah mengeluh. Mulutnya sendiri dah berbuih memberi alasan. Setiap pertanyaan yang
singgah di cuping telinga, bagai api yang membakar. Kadang-kadang mahu saja dia berteriak satu
rumah. Memberitahu semua orang yang pernikahan anaknya tidak akan berlangsung. Sudah dibatalkan
Dan kenduri tersebut hanyalah kenduri kesyukuran, sementelah kad pun sudah dilayang. Jadi hendak
tak hendak, segan tak segan, ia tetap diteruskan. Biarlah orang mengata. Dia sudah tua. Telinganya
sudah lali dengan umpat keji orang. Tapi anaknya itu! Siti manalah biasa dengan keadaan ini. Hatinya
masih rapuh. Kesian anak itu terpaksa menghadapi keadaan seperti ini. Biarlah dia membawa diri. Mak
Jah sendiri jadi serba salah. Sejak orang ramai datang ke rumah, Siti lebih banyak memerap di bilik.
Hendak keluar pun segan-segan. Takut kalau-kalau orang sibuk bertanya tentang bakal suaminya yang
tak jadi datang itu. Orang mana, kerja apa. Mak Jah sendiri terkial-kial hendak menjawab. Bukankah
sudah dibatalkan. Kenapa mesti sibuk bertanya, memanjang-manjangkan cerita. Kalau diikutkan, mahu
saja Mak Jah cili mulut orang yang tak penat-penat bertanya. Dijemput sudah dikira untung. Hormatlah
tuan rumah sedikit! Mak Jah mendengus.
"Boleh tak mak?"Siti goncang tangan Mak Jah. Mak Jah tersedar. "Emm....pergilah...tapi pagi esok
balik cepat..."Mak Jah membalas. Dia tersenyum tawar. Melihat Siti yang mula melangkah. "Kalau ada
apa-apa, mak telefonlah rumah Shidah ye!"Siti menoleh sebelum meneruskan langkah. Dia susup sasap
di bawah pokok rambutan. Sengaja dia melalui jalan singkat belakang rumah. Jalan tersebut kecil,
bersemak tetapi terlindung dari pandangan luar. Dia tidak mahu melalui jalan biasa. Dia segan kalau
terserempak orang-orang kampung yang pastinya akan bertanya tentang dirinya. Tentang perkahwinan
nya. Kalau boleh esok, pada hari kenduri tersebut dia tak mahu menjenguk muka. Biarlah orang tuanya
saja yang menguruskan. Dia lebih rela memencilkan diri dari berdepan dengan orang ramai yang pasti
akan mempertikaikan keputusannya.
10 minit meredah semak, Siti sampai di atas bukit. Di bawah sana, padang hijau yang terbentang,
masih seperti dulu. Siti lihat Shidah sedang menopang dagu di bawah pokok saga tepi padang.
Pandangannya asyik ke tengah padang. Melihat tubuh-tubuh yang terkinja-kinja di sana. Angin petang
yang nyaman, menggugurkan daun-daun saga,dan biji-biji merah berselerakan bawah pokok. Siti
melajukan langkah.
"Lambat la kau!"Shidah menoleh, menyedari kedatangan Siti. "Aku keluar senyap-senyap. Takut
orang nampak.."Balas Siti perlahan lalu melabuhkan punggung di sebelah Shidah. Beg plastik di letak
tepi akar yang berbonjol. "Kenapa keluar senyap-senyap? Mak kau tahu, tak?"Shidah mengerut dahi.
Siti angguk kepala.
"Mak aku tahu. Tapi rumah aku tu dah ramai orang. Tu yang aku curi-curi keluar...kalau tak nanti
diorang banyak tanya.."
"Siapa je kat rumah kau tu..?"
"Sedara mara belah mak aku dah datang. Jiran-jiran sebelah pun ada. Diorang rewang kopek
bawang. Aku rimaslah Shidah....aku rasa semua mata macam tertumpu kat aku...pandang sinis kat
aku...."Siti tarik nafas panjang. Shidah menggeleng.
"Perasaan kau aje kot...."
"Tak...aku tahu...diorang mesti cakap bukan-bukan pasal aku.."
"Pedulikan je laa....."
"Aku kesian kat mak bapak aku tu....mesti diorang malu. Habis, bapak aku tu nak teruskan jugak
kenduri ni...aku kenalah ikut..."Siti melemparkan pandangan ke tengah padang. Sinar matahari hampir
jatuh. Bayang pokok saga nampak memanjang. Redup.
"Kesian kau, Mek Ti..."Shidah renung wajah Siti lama.
"Dah nasib aku..."
"Tapi...aku sokong tindakan kau tu. Kalau aku jadi kau...aku pun tak nak kawin dengan lelaki
tu..."Siti tersenyum tawar. Dia sedikit gembira kerana Shidah dan Murni tidak menyalahkan tindakannya
setelah dia menceritakan perkara sebenar. Dia tahu, dia tidak boleh mengelak dari dua kawannya itu.
Lambat laun dia akan terpaksa menceritakannya juga. Dan dia bersyukur kerana kedua mereka
memahami. Biarlah orang lain tidak memahaminya asalkan Shidah dan Murni tahu keadaannya.
"Kau sedih Mek Ti?"
"Emm....entah!"Siti ketawa kecil. Shidah ketawa sama. Dia bangun, mengibas-ngibas punggung.
"Jom, balik rumah aku. Malam ni kita buat kek lapis yang kau nak belajar buat tu"Siti mendongak.
Dia menghulurkan tangannya lalu disambut Shidah. Bersungguh Shidah cuba menarik Siti bangun.
Akhirnya mereka ketawa sama.
"Alamak Mek Ti, aku lupa nak bagitahu kau...."Shidah kebam bibir. Matanya mengecil,
memandang Siti.
"Kenapa?"
"Emm...aku lupa nak bagitahu...mamat tu balik sini mlm tadi...."Shidah sengih.
"Siapa?"
"Tuu...."Shidah memuncungkan bibir. Siti berpaling ke belakang. Senyuman terukir di ulas bibir
lelaki itu. Siti membulatkan mata.
Huzair!
******************************************************************
"Aku dengar, kau nak kawin?"Siti masih berdiam. Cuma tangannya saja yang ligat mencarik daundaun
hijau di sekelilingnya. Pandangannya menunduk. Tak sanggup dia menentang wajah lelaki itu.
Tidak disangka, setelah terpisah beberapa ketika, dia masih ada peluang menatap wajah lelaki itu.
Sangkanya Huzair tidak akan kembali lagi ke kampung.
"Aku ada dapat kad jemputan kau.."
"Ahhhh...."Siti mendengus. Dia benci untuk terus mengulang ayat-ayat itu. Dia malas untuk
menyatakannya lagi. Pernikahannya telah batal. Batal!
"Kenapa Mek Ti?"Huzair mendekat.
"Tak ada apa-apa..."Siti menggeleng.
"Tahniah dari aku.."Huzair hulur tangan. Siti mendongak, menentang pandangan Huzair. Dia tidak
menyambut huluran tangan itu. Untuk apa? Dia tidak akan berkahwin dengan siapa-siapa. Tidakkah
Huzair tahu itu?
"Aku balik ni sebab nak tengok kau bersanding. Nenek yang bagitahu aku. Aku sebenarnya segan
juga nak jumpa kau ni. Mana tahu kau tak sudi..."Huzair tersengih.
"Maafkan aku Zair, sebab lari dari kau dulu..."Siti mengeluh. Dia rasa segan. Tak patut dia buat
Huzair begitu. Pergi tanpa jawapan. Mungkin ini balasan yang diperoleh akibat mengecewakan hati
orang.
Huzair menyandarkan belakang badannya ke pokok jambu. Dia berpeluk tubuh. Matanya masih
tancap. Merenung Siti penuh makna. Siti akui lelaki itu sudah banyak berubah. Dia tampak dewasa kini.
Terserlah pada rona wajahnya itu.
"Aku tahu, cinta tak boleh dipaksa. Cinta jangan dicari. Lambat laun ia akan sampai sendiri. Suatu
masa dulu aku yakin cinta yang aku cari telah hadir pada diri ini..tetapi.."Dia menarik nafas, terhenti
seketika.
"Aku terlalu mentah untuk menilai cinta. Cinta itu terlalu muda, dan akhirnya aku
kehilangannya..."
Siti kertap bibir. Dia jadi tidak keruan. Adakah Huzair memperkatakan tentang dirinya? Tentang
cintanya yang tidak kesampaian?
"Aku kecewa kau pergi tinggalkan aku dulu..."Suara Huzair mengendur.
"Maafkan aku Zair.."Lirih Siti. Pandangan mereka bertaut. Siti jadi serba salah. Bersalah kerana
menolak Huzair dulu.
"Tapi aku gembira juga akhirnya kau jumpa orang yang kau cinta.."Siti tersenyum tawar. Dia rasa
seperti ingin menangis. Kalaulah Huzair tahu hal sebenar!
"Lepas ni, kau tinggal di mana. KL?" Siti tidak menjawab. Dia biarkan saja Huzair terusan
bertanya.
"Kalau di KL, bolehlah kita berjumpa..."Huzair ketawa kecil. "Tapi masa tu kau dah jadi kepunyaan
orang lain. Tentu payahkan...."
"Zair..sudahlah..jangan cakap macam tu. Apa-apa yang terjadi pun, kita tetap kawan...."Siti
mendongak, menentang mata Huzair.
"Ya, sebab aku ingat kawan lah..aku datang hari ni untuk jumpa kau.."
"Terima kasih!"
"Aku nak jumpa bakal suami kau nanti...."
"Untuk apa?"
"Untuk ucapkan tahniah...."
"Zair...."Siti menggeleng, dia mendekati Huzair.
"Datanglah rumah aku esok. Kau akan tahu perkara sebenarnya.."
"Memang aku nak datang"Huzair tersenyum.
"Dan bersyukurlah kalau kau dapat jumpa aku masa tu.."
"Kenapa kau cakap macam tu?"
Siti mengeluh. Dia mengundur beberapa langkah ke belakang. Sukarnya untuk meluahkan
perasaan, apatah lagi membuat keputusan. Dia sendiri tidak tahu adakah dia kuat untuk menghadapi
hari esok. Kenduri pernikahannya yang hanya atas nama! Kalau boleh, dia ingin lari saja.Lari sekali lagi,
kali ini dari semua orang. Biarlah...mungkin dia tidak layak mencintai atau dicintai sesiapa. Cintanya
bukan cinta biasa mungkin!
******************************************************
"Mama! "Wari masukkan beg ke dalam kereta. "Sempat lagi tak ni, Ma?"
"Ya Allah Wari...kenapa kelam kabut sangat ni?"Mak Ungku menggeleng kepala. Dihulurkan
begnya kepada Wari. Wari menarik pantas lalu dicampakkan ke dalam bonet kereta.
"Bawak-bawak la bersabar sikit...."Mak Ungku merungut.
"Takut tak sempat, Mama..."Balas Wari.
"Entah Acik ni....kalut la.."Lisa memuncung. Dia bercekak pinggang, memerhatikan gelagat
abangnya. "Baru pukul berapa ni...sempat lagi laa..."
"Dah Lisa...cepat masuk kereta...."Wari mengeluarkan rokok, dikepitkan di dua bibir.
"Kejap haa..orang nak masukkan barang-barang ni laaa..."Lisa mendengus. Dia masuk semula ke
dalam rumah sambil merungut-rungut. Mak Ungku menggeleng, sedang Wari sudah pun enak
menghembus asap. Ada sedikit kepuasan pada wajah itu. Dia mengepal-ngepal penumbuknya.
Melihat sendi jemarinya yang sedikit kemerah-merahan. Peristiwa semalam masih jelas di ruang
matanya. Saat penumbuknya jatuh bertubi-tubi di muka Azimin. Dia sudah tidak dapat kawal diri saat
itu. Kalaulah tidak kerana Pak Amin datang menghalang, rasanya pecah muka Azimin dikerjakannya.
Walau lembam dan sengal-sengal jemarinya, tetapi dia puas. Puas kerana akhirnya sisa kemarahannya
dilepaskan kepada orang yang sepatutnya.
Dia ingat airmata Mama yang mengalir tatkala melihat Azimin tersembam dengan cairan darah di
muka. Tersengguk-sengguk orang tua itu menahan sebak melihat menantunya itu terkial-kial untuk
bangun. Azimin yang bersandar di dinding, mengesat darah yang keluar dari hujung hidung. Ditatapnya
Wari dengan pandangan tajam. Ada kemarahan yang tersemat, tapi dia tidak mampu berbuat apa.
Tubuhnya longlai benar. Kepalanya berpinar dan rasa panas membuak seluruh badan. Azimin rasa bagai
ingin pitam.
"Apa yang dah jadi ni, Wari?"Terjerit Mak Ungku melihat adegan tadi. Dia mendengar keriuhan di
bawah tadi. Cepat-cepat dia panggil Lisa untuk memapahnya turun. "Apa yang kau dah buat ni?" Wari
mendengus. Dia memandang Azimin yang terkapar. Kemudian beralih kepada Pak Amin yang mengurut
dada. Lisa di sisi Mak Ungku menekup mulut.
"Wari...apa yang kau dah buat ni..."Mak Ungku tersedu. Baru berapa hari Maria meninggal,
keadaan dah menjadi kucar kacir.
"Mama jangan tanya saya, tanya jantan ni!"Wari mendengus.Dia menghela nafas panjang.
Tenaganya banyak terbuang tadi.
"Kenapa Azimin...Wari..kenapa gaduh macam ni..?'
Azimin mendengus. Diseka hidungnya yang berair sekali lagi. Terkial-kial dia ingin bangun, tetapi
akhirnya kembali bersandar di dinding. Rasa geram pada Wari begitu membuak. Tapi, apa yang boleh
dia buat. Kalau tak kerana perempuan Indon tu, tak akan dia jadi begini. Kurang ajar Kartini!
"Saya dah tahu Mama...."Wari bersuara keras. Mak Ungku mendongak, menatap wajah Wari yang
basah. "Saya tahu kenapa Siti tak nak kawin dengan jantan ni.."
"Wari..kenapa cakap kurang ajar macam tu..."
"Memang patut Ma!"Wari jerit kecil. "Jantan ni la yang menyebabkan Kak Mar terseksa, sampai
meninggal dibuatnya.."
"Astagfirullah al azim.....apa yang Wari cakap ni?"Mak Ungku menolak kerusi rodanya.
"Saya tak nak cakap!"Wari masuk ke dapur, datang kembali sambil menarik tangan Kartini. Kartini
yang teresak sambil menutup muka."Biar perempuan ni yang cakap!"
Mak Ungku memandang Kartini penuh tanda tanya. Lisa di sebelah juga sedikit terkejut. Apa
kaitan perkara ini dengan Kartini? Kenapa Kartini menangis begitu?
"Biar dia yang bagitahu.."Wari menarik kerusi, duduk dengan nafas mengah. Dia memandang
Kartini, menanti wanita itu membuka mulut. Kartini masih tersedu. Sudah banyak airmatanya yang
keluar mungkin. Dia melihat semua kejadian tadi. Dia melihat Azimin yang dipukul bertubi-tubi. Dia
tidak sangka Wari akan naik berang begitu.
"Kartini, cakaplah apa yang awak cakap pada saya pagi tadi.."Suara Wari mengendur. Dadanya
kembali tenang kini. Kartini mengangkat muka. Matanya yang merah berair memandang Wari.
Kemudian kepada Mak Ungku. Bila beralih kepada Azimin, dia mencebik dan manik jernih meluncur lagi.
"Saya....saya...sama Azimin.."Dia teragak-agak. Tidak berani dia memandang Mak Ungku.
"Kenapa kamu dan Azimin?"Mak Ungku tidak sabar.
"Azimin.... sama saya!"Kartini menekup muka. Azimin gelisah. Kalau boleh ingin saja dia
menampar mulut Kartini. Tidak pandai simpan rahsia!
"Maksud kamu?"
"Kami....berselingkuh!"Mak Ungku terdiam. Matanya saja yang terkebil-kebil memandang Kartini.
"Sudah lama...sejak Azimin pindah ke mari. Saya sama sekali tidak keberatan bu!.."
"Astagfirullah al azim...."Mak Ungku tersandar di kerusi roda. Dia mengurut-mengurut dadanya.
Wajahnya sebak, sambil menggeleng kepala dia memandang Azimin yang menunduk.
"Ya Allah Azimin...."Mak Ungku menyeka matanya yang berair. Tak disangka menantu yang paling
diharap, yang selama ini bersopan, melayan Maria dengan penuh kasih sayang, rupanya berbeza
perangai di belakang. Sukar bagi dia untuk mempercayai.
"Kenapa selama ini kamu berdiam. Kenapa sekarang baru kamu ceritakan? Kerana Maria sudah
meninggal?"Mak Ungku sedikit kesal.
"Tidak.."Kartini menggeleng. "Saya takut bu...saya sangka Azimin akan menikahi saya....tapi dia
nggak mau...saya takut...lagi pula saya sudah......"
"Sudah apa?"
"Saya sudah hamil, bu!"Kartini mula menangis lagi."Saya mahu Azimin nikahi saya...tapi dia
nggak mahu....maka saya nekad beritahu Wari...saya tahu dia cinta sama Siti. Siti tak bersalah bu!"
Azimin bangun serta merta. Wajahnya memerah.
"Mama jangan percaya cakap dia ni Ma, dia tak mengandung!!"Azimin bersuara keras.
"Benar bu, saya sudah 2 bulan tidak datang bulan...saya takut..."Kartini melutut depan Mak
Ungku. Dia teresak-esak di situ.
"Masa buat, kamu tak takut?"Jengil Mak Ungku. Semakin kuat esakan Kartini.
"Saya salah bu..ampunkan saya..."Suaranya tenggelam timbul. Azimin menghampiri Kartini.Cuba
menarik tangan wanita itu. Kartini mengesot ke arah Mak Ungku.
"Azimin..."Mak Ungku bersuara. "Betul apa yang Kartini cakap?
Azimin diam. Dia menunduk, wajah penuh kekeruhan. Tapi untuk menafikan, dia tidak punya
alasan. Sedangkan Siti sendiri telah menyaksikan kecurangannya. Dan Maria juga telah mengetahuinya.
Ahhh..Maria mati kerana dia. Dia yang menyeksa hidup isterinya itu. Tapi dia sendiri tidak mampu
mengawal dirinya. Kartini terlalu menggodanya. Tidak perlu banyak rintangan atau wang, Kartini sendiri
rela menyerahkan. Dan dia yang telah lama kehausan, sukar untuk menolaknya. Dia perlu
melampiaskan keinginan batinnya. Dia tahu dengan Siti dia tidak akan peroleh itu. Siti gadis yang baik
dan dia ingin mengahwininya. Tapi dalam masa yang sama dia tidak dapat menghindari Kartini. Dia
memang kecewa kerana Siti telah melihat perbuatannya, dan akhirnya dia kehilangan gadis itu.
"Azimin....., Mama nak kamu bertanggungjawab atas perkara ini. Kamu mesti nikah dengan
Kartini. Kerana dia sedang mengandungkan anak kamu. Mama memang kecewa sekali dengan sikap
kamu ni. Kamu curang pada Maria!"Mak Ungku terhenti. Cuba mengawal nada suaranya.
"Mama masih boleh terima kamu kerana kamu bapa kepada cucu-cucu Mama. Kalau tidak kerana
Didi dan Fifi, Mama dah halau kamu....."
"Ma...."Azimin mengeluh.
Wari puas hati. Dia sudah tahu kini, kenapa Azimin hanya berdiam diri bila Siti lari. Dia tidak
langsung mengambil tindakan apa-apa. Kerana semuanya berpunca dari dirinya sendiri. Mana mungkin
dia boleh memaksa Siti mengahwininya sedangkan dia manusia kotor. Yang hanya memuaskan
nafsu sendiri. Tak mungkin Siti menjadi milik orang seperti itu. Wari percaya, Siti sengaja tidak mahu
menghebahkannya. Dia tidak mahu menjatuhkan maruah Azimin. Tapi kenapa? Kenapa Siti tidak
berterus terang kepada mereka. Kenapa sanggup menerima kemarahan orang lain semata-mata untuk
melindungi manusia yang tidak berhati perut seperti Azimin? Atau hati gadis itu terlalu lembut sampai
tidak sanggup melukakan hati orang lain? Kecewakah Siti bila mengetahui sikap sebenar Azimin?
Ahh...pastinya Siti lebih kecewa lagi dengan sikap aku ini. Yang membuta tuli menuduh dan
memarahinya. Menyalahkan dia atas kematian Maria. Ah, Siti, maafkan aku...kerana berkasar
denganmu. Kalaulah aku dapat temui kau sekarang juga...
"Acik, acik! cepatlah!"Didi dan Fifi menjerit dari dalam kereta. Rimas mereka menunggu dari tadi.
Wari tergegau. Rokok di tangan di baling ke tanah lalu ditenyeh dengan kasut. Dia memandang ke pintu
yang masih terbuka. Cepat-cepat dia masuk ke dalam kereta. Bayang Siti menerjah mindanya. Tak
sabar hendak menemui dia! Wari senyum dalam hati.
***********************************************
Siti sudah membaringkan tubuhnya di atas tilam. Dia bergolek ke kanan. Shidah masih belum
kelihatan. Rasanya Shidah masih menonton tv kerana malam masih awal lagi. Belum pun jam sepuluh.
Tapi Siti tidak larat lagi melayan matanya. Fikirannya kusut. Dia terkenangkan esok hari, yang terpaksa
dia lalui. Bagaimanakah keadaannya nanti? Berjalan lancarkan segalanya. Bagaimanakah tanggapan
orang ramai terhadap keluarganya? Akan terkeluarkah kata-kata cemuhan atau tohmahan-tohmahan
liar atas pembatalan pernikahan itu?Dan sanggupkah keluarganya menghadapi semua itu?
Ahhhh...bapanya pun silap. Kenapa mesti diteruskan juga majlis tersebut. Batalkan saja dan
mereka boleh lari ke Kuala Lumpur esok hari. Bila keadaan reda nanti, mereka boleh kembali lagi. Tak
payahlah mereka menjawab setiap pertanyaan nanti. Tapi, bapak orang lama di kampung ini. Tak patut
dia lepas tangan begitu. Lagipun bukan salah bapak. Bukan kehendak keluarganya. Mereka mangsa
keadaan, kalaupun bukan mangsa Azimin yang menconteng arang. Sampai hati Azimin bersikap dusta
begitu. Kenapa dia tidak berterus terang tentang perbuatannya dengan Kartini dulu-dulu. Kenapa mesti
bersetuju berkahwin sedangkan nafsunya untuk orang lain. Sia-sia pengorbanannya selama ini.
Mengorbankan kasihnya pada Wari untuk memenuhi permintaan orang lain. Memenuhi hasrat Maria.
Dan Maria sendiri tidak sempat menyaksikan hasil pengorbanannya itu. Benarkah Maria meninggal
kerana perbuatannnya? Ahh....tak mungkin!
Siti menarik selimut menutupi sebahagian tubuh. Dia merenung zink rumah yang ada lubanglubang
halus. Sudah ada yang berkarat, dan sawang putih memenuhi kayu bestos yang dijadikan alang
rumah. Sama seperti zink rumahnya. Dan orang-orang kampung yang lain. Jauh bezanya dengan
rumah-rumah di bandar sana. Terutama rumah Mak Ungku.Ahhh...rumah besar itu, tidak akan dijejaki
lagi. Tidak akan dilihat lagi taman bunga yang redup itu, air kolam yang merenek di bawah pancaran
mentari, silingnya yang berukiran halus, dan manusia-manusia yang mendiaminya. Rindunya pada
mereka masih berbekas. Pada Lisa yang keletah, pada Fifi dan Didi yang nakal, pada Mak Ungku yang
baik hati dan....pada lelaki itu! Biarlah apa pun tanggapan mereka terhadap dirinya, dia akan tetap
rindu pada mereka.
Siti mendengar derap langkah di luar sana. Dia menoleh ke arah pintu yang tidak tertutup, hanya
dibatasi dengan langsir. Shidah terjengul, wajah agak cemas.
"Siti, jom turun bawah jap!"Shidah berdiri tepi pintu.
"Ada apa?"
"Mak kau ada kat bawah tu.."
"Hah?"Siti bangun serta merta. Dia bergegas turun dari katil.
"Mak aku? ada apa dia datang. Aku cakap tadi kalau ada apa-apa hal telefon aje..."Gerutu Siti.
Risau juga dia dalam hati. Mesti ada kecemasan. ataupun dia perlu pulang ke rumah semula.
"Aku pun terkejut tengok mak kau datang tadi. Mak aku pun tak balik lagi dari rumah
kau...."Mereka menuruni tangga. Siti menerjah ke beranda rumah. Dia melihat emaknya ada di situ.
Bapanya pun ada sekali. Hati Siti jadi berdebar.
"Mak?"Sapa Siti, mendapatkan Mak Jah. Pandangannya beralih ke laman rumah. Sebuah kereta
tersergam di situ, dan Siti kenal benar kereta itu.
"Kak Siti!"Didi dan Fifi menerpa ke arah Siti. Siti terkejut. Dia tegak berdiri memandang Didi dan
Fifi yang berlari ke arahnya. Anak-anak kecil itu memaut pinggangnya erat. Siti gamam.
"Kak Siti, naper tak balik umah kita lagi?"Didi mendongak, menggoncang tangan Siti. Siti terharu.
Dia rasa seperti ingin menangis. Diusapnya kepala Didi.
"Kak Siti tak boleh balik sana. Rumah Kak Siti kat sini..."Balas Siti perlahan. Dia menjeling ke
dalam kereta. Mak Ungku sudah turun, sambil dipimpin Lisa. Dan lelaki yang duduk di bahagian
pemandu itu, sedang merenung tajam ke arahnya. Siti cepat-cepat alih pandangan.
"Mak Ungku.."Siti memeluk Mak Ungku. Dan Siti rasakan Mak Ungku membalasnya dengan erat.
Bahu Siti jadi panas. Ada cairan menitis di bahunya. "Mak Ungku apa khabar?"
"Mak Ungku baik, Siti"Pelukan dilepaskan. Siti masih bingung dan tidak percaya dengan kehadiran
mereka. Apa yang menyebabkan mereka datang ke sini, pada malam-malam buta begini. Adakah
Azimin yang menyuruhnya? Tapi dia tidak melihat kelibat Azimin di dalam kereta. "Masuklah Mak
Ungku...."Siti pimpin tangan Mak Ungku. Tapi Mak Ungku tidak berganjak. "Kenapa Mak Ungku?"Siti
sedikit terkejut.
"Siti, ada orang yang benar-benar ingin berjumpa Siti...biarlah Siti jumpa dia dulu ye...."Mak
Ungku senyum."Nanti kita borak panjang.."
"Siapa?"
"Pergilah..."Mak Ungku menunjuk arah kereta. Wari baru saja menutup pintu. Pandangannya jatuh
ke wajah Siti. Siti jadi serba salah.
"Makcik masuk dalam dulu...."Mak Ungku berjalan ke dalam rumah. Diikuti Lisa, emak dan
bapanya. Tinggal Siti saja, dan Wari yang sedang melangkah ke arahnya. Nasib baik ada Didi dan Fifi.
Walaupun mereka tidak tahu apa-apa, sekurang-kurangnya ia dapat meredakan debaran Siti. Entah
kenapa, hatinya betul-betul tidak keruan. Dia jadi takut berhadapan dengan lelaki itu. Apalah yang
hendak dia marahkan lagi. Mungkin Wari masih beranggapan dialah penyebab kematian Maria. Kalau
itulah tujuan dia datang ke sini dia lebih sanggup tidur dari berjumpa dengan lelaki ini.
"Siti..."Wari berhenti betul-betul di depan Siti. Degup nafasnya bagaikan terdengar.
"Mesti Siti terkejut saya datang malam-malam begini. Maafkan saya..."Suaranya perlahan, sedikit
bergetar. Siti masih diam.
"Saya nak minta maaf pada Siti atas sikap saya tempohari. Saya berkasar pada Siti, dan saya
tahu saya tak patut buat macam tu.."Ada nada kekesalan pada suara itu. Siti mendongak dan
pandangan mereka bertaut.
"Saya dah tahu perkara sebenar...."
"Maksud awak?"Wari menarik nafas.
"Tentang Azimin dan Kartini...."Siti sedikit terkejut.
"Bagaimana awak tahu?"
"Kartini telah ceritakan semuanya...."
"Pelik...kenapa Kartini ceritakan semua ni..."
"Mereka akan bernikah tak lama lagi...."
"Azimin dan Kartini?"Wari angguk. Ada senyuman pada bibirnya.
"Kartini minta maaf pada Siti.....dia rasa bersalah..sebab itu dia ceritakan hal sebenar.."
"Baguslah kalau mereka akan bernikah....ada orang yang akan jaga Didi dan Fifi...."Siti tersenyum
nipis, lalu menarik sebuah kerusi. Dia menoleh sekilas ke dalam rumah. Agak rancak perbualan Mak
Ungku dan ibubapanya. Apalah yang mereka borakkan, hati Siti tertanya-tanya. Sengaja tinggalkan aku
sorang-sorang dengan lelaki ni!
"Tapi, kalau boleh, saya nak Siti yang jaga Didi dan Fifi" Wari datang mendekat. Duduk di hadapan
Siti.
"Gila! Biarlah Kartini yang jaga. Takkan awak nak hantar Didi dan Fifi ke kampung ni, suruh saya
jaga pulak...."Siti tarik muka. Wari tersengih.
"Tak....bukan Didi dan Fifi yang datang sini, tapi awak yang duduk kat rumah saya.."
"Oh, awak nak saya jadi orang gaji Azimin pulak?" Siti jengil mata.
Wari tidak mampu bersabar lagi. Ditariknya tangan Siti lalu digenggam erat. Siti terkejut, cuba
menarik kembali tangannya. Takut kalau-kalau dilihat ibubapanya.Tapi genggaman jemari Wari terasa
erat, seperti tidak mahu dilepaskan.
"Siti, saya nak awak balik semula ke KL. Tinggal bersama saya. Jadi milik saya!"Wari dekatkan
wajahnya ke wajah Siti. Siti jadi makin tidak keruan. Mampus aku, kalau mak nampak!
"Wari, janganlah macam ni...."
"Siti, dengar sini. Saya bersalah marahkan awak hari tu. Tapi saya rasa marah sangat sebab awak
telah kecewakan saya. Awak tolak saya semata-mata untuk puaskan hati orang lain. Saya tahu awak
tak cintakan
Azimin..."
"Mana awak tahu?"
"Saya tahu cinta awak pada orang lain....."Wari menghela nafas. "Pada saya..." Siti terdiam. Dia
menunduk.
"Jadi milik saya?"Wari mengerutkan wajahnya.
"Semuanya dah terlambat, Wari.."
"Belum...belum terlambat. Saya percaya jodoh kita ada. Awak sayangkan saya, bukan?"Siti diam.
Dia tidak tahu untuk berkata apa. Kalaulah dia katakan semua itu benar!
"Kita nikah esok!" Siti serta merta bangun. Genggaman terlepas.
"Awak dah gila!"
"Saya tak gila Siti. Tolonglah percaya pada saya. Pada Mama, pada Lisa, pada Didi dan Fifi. Kami
semua mengharapkan kepulangan Siti. Saya tak akan datang malam-malam begini kalau saya tak
ikhlas. Saya cintakan awak Siti!"
Siti menoleh. Pandangan mereka bertaut lama. Hati Siti jadi sebak. Akhirnya, kau lafazkan jua!
"Saat awak terima Azimin pun, cinta saya tak pernah mati."Wari menunduk. Walau apa cara
sekalipun, dia akan dapatkan Siti. Inilah peluangnya yang masih ada.
"Wari...."Siti cuba tenangkan dirinya. "Terima kasih kerana berterus terang dengan saya.....saya
hargainya.."
"Jadi..?"
"Saya akan fikirkan dulu..."
"Jangan hampakan saya Siti..."
"Kalau awak sanggup tunggu sampai esok?"Wari mula tersenyum. Rasa seperti ingin dipeluknya
Siti saat itu.
"Kenapa awak senyum? Saya belum habis cakap lagi. Kalau dulu Azimin jumpa mak dan bapak
saya sebab nak kawin dengan saya. Kalau awak sanggup buat macam tu.."
"Lebih dari itu...."Wari ketawa kecil. "Tapi ada syaratnya...."
"Syarat? hai...awak yang nak, awak yang bagi syarat?"
"Sebab bukan saya seorang yang nak, awak pun nak, kan. Siti, katakan sekali saja....."Wari
mendekati Siti. Menatap wajah Siti sungguh-sungguh. "Katakan yang awak pun sayangkan saya.."
Siti tarik nafas panjang. Hatinya berdegup kencang. Dia tidak sanggup lafazkannya.
"Saya akan lafazkannya...."Siti tatap matanya Wari lama. "Saya akan lafazkannya setelah awak lafazkan
akad nya...."
Wari tersenyum lebar. Segala gundah dan resahnya hilang pergi. Terasa malam yang pekat
menjadi terang benderang. Dia ingin ketawa sepuas hati. Digenggamnya jemari Siti erat. Dan Siti hanya
membiarkan saja. Biarlah. Biarlah kali ini hanya hati yang berkata 'ya'.


Tamat....


mjbookmaker by:
http://jowo.jw.lt

0 comments:

Posting Komentar

Tinggalkan komentar anda di sini :)

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | blogger mura
Ping Blog Ping your blog HyperSmash